Wednesday, January 13, 2010

Taat setia kepada Pemangku Raja - Nik Aziz



Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 13 Jan : Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyeru seluruh rakyat termasuk pegawai kerajaan dan pemimpin masyarakat negeri ini menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra demi untuk kesejahteraan, keamanan dan kebajikan semua pihak.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri yakin Pemangku Raja telah bertindak dengan sebaik mungkin untuk melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan iaitu menjalankan segala kuasa dan tanggungjawab Sultan Kelantan mengikut perlembagaan.

Tegasnya lagi, selaras dengan tataurus dan pentadbiran kerajaan negeri yang dijalankan berlandaskan undang-undang, terutamanya Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, maka kerajaan negeri sentiasa mematuhi serta menjalankan segala perkara yang dititah termasuk segala arahan baginda selaras dengan peruntukan Perkara 4 Fasal 1 Perlembagaan.

“Antara lain perlembagaan menyebut Kebawah Duli Yang Maha Mulia, maknanya Sultan bagi negeri dan termasuk Waris Gantinya dan, jika kebetulan dengan maknanya termasuk Al-Marhum Raja-Raja yang memerintah yang dahulu daripadanya dan jika ada Pangkuan Raja, termasuk Pemangku Raja atau jika ada Majlis Pangkuan Raja, termasuk majlis itu,” ujarnya.

Jelasnya, kerajaan negeri adalah sebuah kerajaan yang sah dan dipilih oleh rakyat mengikut saluran undang-undang, sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berpelembagaan mengikut Perkara 10 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, dengan jelas memperuntukkan undang-undang berkenaan.

“Kuasa memerintah hendaklah diserah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia tetapi tanggungan-tanggungannya bolehlah di bawah undang-undang, dikurniakan kepada mana-mana orang atau mana-mana kuasa,” jelasnya.

Beliau mewakili kerajaan negeri turut menyeru rakyat seluruhnya berdoa kepada Allah semoga Sultan Kelantan bertambah sihat dari kegeringan dan menyertai solat sunat hajat yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV malam esok.

Katanya, majlis bermula dengan solat Maghrib akan dihadiri Pemangku Raja.

“Solat sunat hajat ini diadakan bertujuan untuk memohon pada Allah semoga Kelantan yang sentiasa aman bertambah makmur tanpa sebarang kacau-bilau,” ujarnya.

Harakahdaily

No comments:

Post a Comment