Thursday, January 14, 2010

Nik Aziz : Politik suku agama suku punca Melayu lemah

“Kalau orang nak kalimah Allah dengan ikhlas, betul... lebih baik dia naik setangga lagi iaitu agama Allah sendiri, Islam. Ambil agama-Nya,”


Oleh Mohd Zuharman

KOTA BARU, Jan 13 – Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) mengulangi pendiriannya amalan agama suku politik suku menjadi punca kekuatan orang Melayu terhakis, sekali gus menyebabkan banyak kecelaruan di kalangan masyarakat dalam negara.

“Dasar, ataupun prinsip itu ternyata bercanggah dengan apa yang dilakukan Nabi. Bercanggah dengan al-Quran dan bercanggah juga dengan sirah Nabi Muhammad SAW.

“Disebabkan percanggahan-percanggahan sedemikianlah timbulnya pelbagai kecelaruan. Dan kecelaruan itu sebenarnya berpunca dari kelemahan orang Melayu sendiri, orang Melayu yang memperlekehkan agamanya sendiri.

“Masyarakat sebenarnya celaru dengan apa yang dikatakan agama suku dan politik suku ini... bahkan disebabkan itu juga orang beragama lain cuba mencuri peluang untuk mencelarukan kita,” kata beliau di sini hari ini.

Mursyidul Am PAS ini mengulas ancaman gejala sosial di kalangan masyarakat yang sanggup bertindak ganas membakar gereja ekoran kontroversi isu penggunaan kalimah ‘Allah’ bagi penerbitan akhbar mingguan Herald.

Padah ajaran agama suku politik suku, Nik Aziz mengingatkan kembali salah seorang pemimpin kerajaan sanggup berkata Islam sesuai dan munasabah pada zaman unta.

“Seolah-olah baginya Islam sudah tidak sesuai pada zaman ini. Ini juga satu kecelaruan.

“Jadi apa peliknya kalau orang lain pun cuba untuk mencelarukan kerana kelemahan kita sendiri,” katanya.

Mengulas lanjut penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh Herald, Nik Aziz sebaliknya bertanya “kenapa tidak ambil Islam terus?”

“Pada asasnya saya telah jawab. Perkataan itu boleh digunakan tapi oleh kerana ada mainan di belakang, usul fekah menyebut, benda harus melibatkan perkara bahaya ia hendaklah disekat. Benda harus juga, tapi kalau ada manfaatnya, wajib.

“Kalau orang nak kalimah Allah dengan ikhlas, betul... lebih baik dia naik setangga lagi iaitu agama Allah sendiri, Islam. Ambil agama-Nya,” jelasnya.

themalaysianinsider

No comments:

Post a Comment