Thursday, November 26, 2009

Husam tidak mahu jadi MB K'tan

dari Mkini Nov 25, 09 7:27pm

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan, Datuk Husam Musa berkata beliau akan menolak tawaran jika dilantik menjadi menteri besar Kelantan, untuk menggantikan Datuk Nik Abdul Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berkata Datuk Ahmad Yaakob lebih layak menjadi menteri besar kerana kekananan serta hirarki dalam kerajaan dan parti iaitu sebagai timbalan menteri besar dan timbalan pesuruhjaya I PAS Kelantan.

"Semua calon layak, timbalan menteri besar lebih layak lagi sebab dia paling senior.

"(Cuma) jangan calonkan nama saya cukup, kerana saya tidak mahu dicalonkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada ibu tunggal yang terpaksa menanggung anak yang menghidap down syndrome di Kampung Becah Keranji dekat Kota Bharu hari ini.


Beliau mengulas laporan Bernama semalam bahawa Nik Abdul Aziz tidak menolak wujud kumpulan pelapis dalam PAS Kelantan yang bakal mengambil alih tempatnya sebagai menteri besar sekiranya beliau melepaskan jawatan itu.

Bagaimanapun, Nik Abdul Aziz enggan membayangkan siapa nama yang disebut-sebut bakal menggantikannya, tetapi memberi gambaran ia tertakluk kepada hirarki dalam parti di peringkat negeri seperti pesuruhjaya, timbalan pesuruhjaya satu hingga tiga.

Pesuruhjaya PAS III Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dipetik sebagai berkata Nik Aziz perlu mengumumkan calon penggantinya bagi mengelak perebutan dan konflik dalam PAS Kelantan apabila beliau tiada.

Sehingga kini Ahmad yang disebut-sebut di kalangan pemimpin dan penyokong PAS Kelantan kerana ketokohan ulama dan dirinya yang dilihat tidak pernah dicemari dengan pelbagai isu kontroversi.

Selain Ahmad, Husam dan Mohd Amar turut disebut-sebut sebagai bakal menggantikan Nik Abdul Aziz.

Husam, yang juga pengerusi Jawatankuasa Perancangan Kewangan, Ekonomi dan Kebajikan Kelantan berkata, berkata isu itu tidak perlu dihebohkan, kerana siapa yang dipilih memegang jawatan itu beliau akan menyokong.

Katanya, beliau akan mengkaji dengan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap laporan akhbar New Straits Times dan Utusan Malaysia yang menyiarkan berita berbau fitnah terhadapnya.

Katanya, beliau memberi tempoh seminggu ke atas kedua-dua akhbar itu untuk menyiarkan kenyataan permohonan maaf terhadapnya sebelum beliau mengemukakan saman di mahkamah.

Husam sebelum ini "diserang" oleh media tempatan dengan dakwaan beliau telah meletak jawatan dalam kerajaan dan politik berikutan konon beliau memberikan kata dua kepada Nik Abdul Aziz berhubung pelantikan ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Abdul Ariffahmi Abdul Rahman yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengenai kenyataan Nik Aziz yang memuji beliau sebagai pemimpin muda PAS yang berkaliber, Husam berkata beliau berterima kasih di atas penghargaan itu.

"Saya ucap terima kasih kerana saya dua tahun menderita kerana (dikatakan) menentang kerajaan perpaduan dan saya difitnah kiri kanan, blog yang tidak ada nama hentam saya, macam-macam program diatur untuk menanyakan saya, tetapi saya tidak boleh balas balik kerana nak jaga perpaduan dalam parti dan imej parti," kata Husam. BERNAMA

No comments:

Post a Comment