Monday, June 15, 2009

Rakyat Tuntut Janji MB, Dimana Agenda ‘Rakyat Di Dahulukan’?

Penduduk Pantai Kuala Ibai, menuntut kerajaan negeri memindahkan mereka ke kawasan penempatan baru sebagaimana janji Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said

Majoriti penduduk terbabit adalah mangsa kejadian banjir air laut dan diancam ombak besar sejak beberapa tahun lalu melahirkan rasa kesal kerana sehingga ini kerajaan masih gagal mengotakan janji.

Pada 7 Disember 2008, ketika saat hampir menjelang pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Said telah berkunjung ke kawasan berkenaan dan berjanji akan memindahkan penduduk ke penempatan baru di Lot Perpindahan Tok Adis (gambar kiri) pada Februari lalu.

Antara 89 penduduk terbabit adalah warga emas Wook Salleh, 63, yang berasa hairan kerana menurutnya kediaman di Lot Perpindahan Tok Adis telah siap dibina pada tahun lalu, namun sehingga hari ini pihak terbabit belum mengambil tindakan sewajarnya.

“Sebelum pilihan raya, kami pernah dipanggil mengadakan mesyuarat dan penduduk dijemput menyertai cabutan nombor rumah. Kami dijanjikan untuk berpindah ke kawasan penempatan baru pada Febuari dan dibenarkan tinggal selama enam bulan “Malangnya, kami mendapat nombor rumah sahaja sedangkan sehingga sekarang pihak berkenaan langsung tidak memberi apa-apa maklumat dan mengambil tindakan untuk membenarkan kami tinggal di situ,” katanya.


Menurut Wook, penduduk memerlukan kunci rumah secepat mungkin, walaupun rumah tersebut masih belum dilengkapi kemudahan fasiliti seperti elektrik dan air, namun mereka bersedia untuk membiayai sendiri kemudahan itu.

Katanya, penduduk memerlukan kediaman lebih selesa untuk didiami memandangkan rumah setinggan yang diduduki sekarang sudah tidak selamat kerana terlalu uzur dan boleh mengancam keselamatan mereka sekeluarga.

“Ramai penduduk di sini terpaksa mencari inisiatif untuk berpindah ke kawasan lain. Ada di antara mereka menyewa dan ada juga terpaksa menumpang di rumah keluarga lain sementara menunggu kebenaran untuk tinggal di Lot Perpindahan Tok Adis.

“Jadi, sampai bila kami harus hidup berpindah randah dan menumpang? Kerajaan sepatutnya melaksanakan agenda di mana ‘rakyat didahulukan’. Mengapa perkara itu tidak dibuktikan?” Katanya.

Seorang lagi penduduk, Midah Musa, 40, berkata, dia terlalu mengharapkan pihak kerajaan menyelesaikan masalah itu secepat mungkin kerana sehingga hari ini, dia sekeluarga terpaksa bergadai nyawa tinggal di rumah uzur dan hampir roboh.

“Saya merayu agar kerajaan selesaikan masalah ini. Saya adalah ibu tunggal yang mempunyai lapan orang anak. Cuba bayangkan kami sekeluarga hidup dalam ketakutan setiap hari. Jika angin kencang, kami hanya mampu berdoa semoga diselamatkan. Jika hujan, rumah kami dipenuhi air kerana atap semua sudah bocor,” katanya tidak mampu menanggung kos berkaitan.

BuletinOnline

No comments:

Post a Comment