Monday, June 15, 2009

DEWAN RAKYAT : "BUBAR DUN PERAK"

Gara-gara lilitan Bubar DUN, Nizar diarah keluar Dewan Rakyat

BEKAS Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin mengadakan sidang media di lobi Parlimen bersama sebahagian ahli Parlimen Pakatan Rakyat selepas diarah keluar dari Dewan oleh Speaker kerana ingkat arahan supaya menanggalkan lilitan 'Bubar DUN'--fotoTHE STAR oleh Raja Faisal Hishan

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin diarah keluar Dewan Rakyat tidak sampai lima minit selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Arahan itu dikeluarkan oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia ekoran tindakan Nizar melaungkan slogan "bubar Dewan Undangan Negeri" sebaik sahaja menurunkan tandatangan angkat sumpah sebagai Ahli Parlimen dan ingkar arahan supaya menanggalkan lilitan "BUBAR DUN" Perak.

Nizar mengenakan lilitan di kepalanya sejurus mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat Bukit Gantang.

Tindakannya mencetuskan kekecohan apabila Speaker mengeluarkan arahan itu dan turut disokong oleh ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional.

Nizar terpaksa menanggalkan lilitannya sebelum kembali ke tempat duduk beliau di blok "F".

Bagaimanapun Nizar terus diminta keluar Dewan Rakyat ketika beberapa wakil rakyat pembangkang turut mengenakan lilitan tersebut.

Turut diarah keluar ialah beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat yang enggan mematuhi arahan Speaker supaya tidak memakai lilitan itu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming dan Datuk Ngeh Koo Ham (Beruas) serta N. Gobalakrishnan (Padang Serai).

Ada wakil rakyat yang mengikat pada kepala dan ada yang memakai pada lengan masing-masing.

Malah Dewan Rakyat juga mengarahkan sekumpulan tetamu yang hadir, dipercayai penyokong Pakatan Rakyat dari Perak yang turut memakai lilitan "BUBAR DUN".


Insiden itu menyebabkan sesi soal jawab soalan lisan tertangguh 15 minit.

mStarOnline

No comments:

Post a Comment