Tuesday, November 24, 2009

Mukhriz bukan calon BN di Kota Siputeh

dari Mkini Nov 24, 09 3:17pm

Barisan Nasional akan menamakan calon yang sesuai selain anggota parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir jika mahkamah memutuskan kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh, kata timbalan perdana menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata langkah itu bukan bermakna Mukhriz tidak sesuai tetapi bagi memberi peluang kepada orang di kawasan itu.


Katanya, Mukhriz boleh membantu dalam kempen pilihan raya kecil nanti berikutan beliau mempunyai pengaruh dan diterima baik ramai pengundi di kawasan parlimen itu.

"Di kawasan parlimen (Jerlun), Mukhriz menang lebih banyak majoriti daripada calon kita di peringkat DUN (Kota Siputeh). Ini bermakna satu penerimaan yang baik.

"Jadi, beliau (Mukhriz) boleh mempengaruhi, boleh turun membantu, tak kira siapa calon yang akan ditetapkan nanti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mineral Negara ke-7 di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Mukhriz, yang juga timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri, disebut-sebut akan menjadi calon bertanding jika berlaku pilihan raya kecil DUN Kota Siputeh dalam kawasan parlimen Jerlun.

No comments:

Post a Comment