KUALA LUMPUR, 8 Julai (Hrkh) - Seratus hari pentadbiran Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak nampaknya tidak memberi apa-apa perubahan terutama dalam merangsangkan ekonomi negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan (Paroi) Taufek Abdul Ghani berkata, Najib lebih berminat melaungkan slogan 1Malaysia berbanding berusaha untuk memulihkan ekonomi negara.
"Saya lihat Najib tidak ada perkara baru yang diketengahkan sepanjang 100 hari pentadbiran beliau selain lontarkan slogan 1 Malaysia," katanya semasa dihubungi.
Tegasnya, inilah masa yang sesuai untuk rakyat melihat Petunjuk Indeks Prestasi (KPI) Najib bagi menilai kemampuannya sepanjang menerajui negara sehingga hari ini.
Jelasnya, keputusan pilihan raya kecil Manek Urai 14 Julai sebagai platform untuk rakyat menilai KPI Najib Tun Razak.
"Kita mahu supaya rakyat buat satu keputusan mungkin di Manek Urai akan menjadikan satu platform untuk rakyat menyatakan bahawa pemimpin kerajaan mereka gagal dalam tempoh 100 hari ini," katanya.
Membandingkan kepimpinan Najib dengan Tun Mahathir, beliau berkata Mahathir bukanlah pemimpin yang bagus tetapi perancangan dan perubahan tidak dapat dinafikan.
Dalam membentangkan pakej rangsangan sebanyak RM70 bilion menjelang Najib menjadi Perdana Menteri, Taufek berkata pakej itu seperti tidak wujud pada hari ini.
Apa yang paling penting, katanya, sewaktu proses peralihan kuasa sekurang-kurangnya Najib memiliki plan rancangan tindakan untuk menyelesaikan masalah ekonomi negara.
Pada 3 April 2009, Najib mengambil alih pentadbiran negara selepas Tun Abdullah Badawi, 11 Julai ini genaplah 100 hari pentadbiran beliau.
HarakahDaily
No comments:
Post a Comment