Thursday, July 9, 2009

DEBAT PAS – UMNO WAJAR

KUALA TERENGGANU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat wajar meneruskan hasratnya berdebat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun Presiden UMNO itu menolak pelawaan itu.

Ketua Dewan Pemuda Pas Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, usaha itu juga supaya UMNO mengingati kembali kegagalan debat antara parti berkenaan dan Pas yang sepatutnya berlangsung pada tahun 1980-an dahulu.

Menurutnya, debat yang dicadangkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri tidak menjadi realiti.

“Sehubungan itu, idea debat terbaru cetusan Nik Abdul Aziz harus diadakan.

“Pada dasarnya bagi saya, debat ini memang patut supaya UMNO dapat jawab secara jelas dan jujur semua persoalan dibangkitkan Pas,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini, semalam.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Payong berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat Nik Abdul Aziz meneruskan debat dan bertemu terlebih dahulu dengan Najib sekiranya ia menjadi kenyataan.

Nik Abdul Aziz berkata, pertemuan empat mata itu bertujuan membincangkan pelbagai perkara berhubung garis panduan debat yang dicadangkan itu.

Mengulas lanjut Mohd Nor menjangkakan debat antara Pas dan UMNO tidak akan menjadi kenyataan kerana parti itu tidak mampu menjawab dan tidak mempunyai hujah menjawab soalan Pas.

“Mahathir sendiri sebelum ini pernah beritahu pemimpin UMNO generasi baru tidak akan mampu dan gagal berdebat dengan Pas, Najib adalah salah seorang pemimpin yang disebutkan itu.

“Walau apa pun, debat adalah cadangan yang baik dan saya harap ia akan menjadi realiti walaupun Najib menolaknya,” katanya.

BuletinOnline

No comments:

Post a Comment