Tuesday, July 7, 2009

Berani SPRM siasat Khir Toyo?

Laporan SPRM berhubung banglo Khir Toyo

Gerakan Rakyat Anti Korupsi (GERAK) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor berhubung isu banglo milik bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Pengerusinya, Mohd Nazree Mohd Yunos berkata GERAK membuat laporan berhubung isu pembelian dua lot tanah serta sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam oleh Dr Mohd Khir Toyo yang didakwa berharga RM24 juta oleh ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim.

"Laporan dibuat setelah kita rujuk sebuah lamanweb yang menyiarkan mengenai kontroversi banglo Dr Mohamad Khir serta akhbar hari ini yang melaporkan dakwaan ADUN Sekinchan mengenai isu yang sama.

"Kita minta pemerhatian dari SPRM untuk mengambil tindakan sewajarnya sekiranya dakwaan itu terbukti benar atau sebaliknya," katanya, lapor Bernama.


Media hari ini melaporkan dakwaan Ng bahawa kos pembinaan banglo termasuk pengambilan dua bidang tanah masing-masing berkeluasan 0.2 hektar dan 0.1 hektar itu, mencecah RM24 juta dan jumlah itu tidak mungkin mampu dibiayai Dr Mohd Khir melalui pendapatannya selama lapan tahun menjadi menteri besar.

Bekas menteri besar Selangor itu ketika diminta mengulas mengenainya, mengakui membeli dua lot tanah berserta sebuah banglo terbabit tetapi dengan harga RM3.5 juta dan bukan RM24 juta seperti yang didakwa oleh Ng.

Sementara itu, kata Mohd Nazree, GERAK turut membuat laporan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa dalam pelantikan pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

Katanya, beliau mengemukakan laporan dan dokumen berkaitan kepada pegawai SPRM Selangor di pejabat suruhanjaya itu di Shah Alam pada jam 10.40 pagi.

Mohd Nazree berkata, GERAK mengemukakan laporan kepada SPRM berhubung dakwaan kemungkinan berlaku penyalahgunaan kuasa dalam proses pelantikan pengerusi LPK, Datuk Lee Hwa Beng.

"Laporan ini adalah inisiatif GERAK sendiri berdasarkan pemerhatian dan penyelidikan kita terhadap isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). Kita lihat ada keanehan dalam hal ini (pelantikan pengerusi LPK) dari sudut beberapa prosedur," katanya.

Ditanya sama ada laporan itu dibuat terhadap Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat, Mohd Nazree berkata: "Itu kena tanya menteri yang bertanggungjawab. Saya tidak boleh sebutkan siapa yang terlibat kerana SPRM telah nasihatkan kita supaya tidak dedahkan bagi memudahkan siasatan."

PKFZ, sebuah hab pindah muatan kapal seluas 405 hektar yang menempatkan gudang, blok pejabat dan hotel bertaraf empat bintang, diselubungi kontroversi selepas didedahkan bahawa kos pembangunannya melambung dari RM2.5 bilion kepada RM4.6 bilion.

malaysiakini

No comments:

Post a Comment