Wednesday, June 3, 2009

Ibrahim Ali Tak Dapat Melihat (BUTA), Tak Dapat Mendengar (TULI) Mendengar dan Kemajuan Kelantan Di Bawah Kerajaan PAS

Ibrahim Ali yang 'buta' dan 'tuli'?

Semakin melalut nampaknya Ahli Parlimen Pasir Mas, Dato' Ibrahim Ali (dalam bahasa Kelantan, ia disebut 'borak' dengan sabdu pada 'b'). Sikap sebenar beliau terhadap PAS, parti yang memberi laluan selesa kepadanya memenangi kerusi berkenaan dalam pilihan raya lalu, semakin dizahirkannya.

Kalau sebelum ini segala luahannya diterima sekadar teguran dan kritikan ikhlas terhadap kepimpinan parti dan kerajaan negeri Kelantan, kini nadanya sudah berubah menjadi kutukan dan penghinaan.

Beliau memang terkenal seorang pemimpin yang lantang menyuarakan sikap dan pendapatnya. Kelantangannya mutakhir ini bagaimana pun sudah terbabas jauh melangkaui batasan toleransi, terutama oleh para penyokong PAS. Butir cakapnya kini malah lebih layak disebut keceluparan.

Kritikan yang lebih berupa kutukan terhadap PAS, terutamanya kepimpinan kerajaan Kelantan sudah di luar kewajaran sebagai seorang yang mahu membina parti dan kerajaan. Beliau malah lebih sesuai dilabelkan sebagai alat propaganda dan senjata Barisan Nasional (BN).

Apa lagi yang belum dibuatnya bagi membuktikan sikapnya yang sangat bertentangan dengan PAS? Di dalam persidangan Parlimen, beliau bukan sekadar memilih untuk bertegang leher dengan wakil PAS, malah mengeluarkan kata-kata kesat dan nista terhadap mereka.

Di dalam banyak kenyataannya sebelum ini pun, Ibrahim sudah acapkali melabelkan PAS dan Pakatan Rakyat dengan berbagai nama. Terbaru ialah label hipokrit yang diucapkannya terhadap parti-parti yang membantunya sebelum ini dalam kes pergolakan politik di Perak.

Kenyataannya penuh sinis memperlekeh kepimpinan PAS di Kelantan sudah semakin lumrah. Sudah banyak pihak yang hangat hati terhadap perbuatannya. PAS Kelantan, khususnya di kawasan Pasir Mas, memberikan reaksi munasabah menuntut Ibrahim lebih rasional dalam ucapan dan tindakannya.

Malah ada pihak yang mendesak beliau mengundurkan diri dan memulangkan hak menentukan nasib politiknya kepada rakyat. Dalam erti kata lain, Ibrahim secara bermaruah dituntut melepaskan jawatan Ahli Parlimen Pasir Mas dan dicabar bertanding atas tiket Bebas atau parti lain bagi membuktikan pengaruhnya benar-benar kuat di kawasan berkenaan.

Namum, bagai diduga setiap pihak yang mengenali beliau, segala teguran, kritikan dan desakan itu tidak pernah dihiraukannya. Ibrahim ibarat seorang pekak dan tuli yang tidak langsung mendengar bantahan dan kemarahan rakyat yang mengundinya dalam pilihan raya lalu.

Beliau terus mengutuk PAS dan memperlekeh kerajaan Kelantan. Skrip sama diulang suara Isnin (1 Jun). Kerajaan Kelantan didakwanya gagal menyediakan pelan tindakan bagi membangunkan segala sumber semula jadi di negeri itu secara terancang, meski pun telah memerintah hampir 20 tahun.

Katanya, dalam tempoh itu, kerajaan pimpinan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat hanya mampu menjana pendapatan RM300 juta setahun sedangan kekayaan alam semula jadi boleh dieksploitasi bagi menjana pendapatan lebih besar.

"Ia bukan satu pencapaian sebaliknya satu kegagalan... seolah-olah ada satu sikap eskapisme dengan sepanjang masa berpolitik, berceramah siang dan malam dengan selalu menyalahkan Kerajaan Pusat bagi menutup apa yang tidak upaya dilakukan," katanya.

Ibrahim menyenaraikan beberapa pemerhatiannya mengenai kegagalan itu. Antaranya disebutkan kerajaan Kelantan jarang mengadakan seminar mengenai peluang-peluang pelaburan di negeri itu. Dikatakan juga, kerajaan negeri tidak ada inisiatif menarik pelaburan dari luar negara.

Kerajaan Kelantan turut didakwa gagal mengeksploitasi sepenuhnya kepelbagaian bentuk muka bumi negeri sebagai destinasi pelancongan.

Beliau turut membayangkan seolah-olah kepimpinan ulama (Tok Guru sebagai Menteri Besar) terhad kepada soal keagamaan sahaja menyebabkan kehidupan rakyat semakin melarat tanpa kemajuan.

Katanya lagi, tidak ada peluang pekerjaan di Kelantan selain berkhidmat dengan sektor awam semata-mata. Hal itu menyebabkan sebanyak 60,000 penduduk negeri itu terpaksa berhijrah mencari pekerjaan.

"Ini teguran, kita bukan bercakap buta tuli dan tanpa akal," simpul Ibrahim.

Meneliti hujah dan fakta diberikan Ibrahim itu, sukar dinafikan bahawa itulah juga hujah dan fakta yang sering termuat dalam propaganda BN memburukkan kerajaan Kelantan pimpinan PAS.

Kelantan sudah sekian lama diratib sebagai sinonim dengan kemunduran, kelembapan ekonomi, ketiada peluang pekerjaan, penghijrahan penduduknya, kegagalan itu dan ini.

Namun, di sebalik segala serangan dan usaha pemburukan itu, masyarakat umum dapat melihat kemakmuran negeri, kemajuan ekonomi, pembangunan pesat di sana-sini, berserta keselesaan rakyatnya meneruskan penghidupan.

Dalam hal ini, penulis teringat ucapan sangat bernas oleh Almarhum Ustaz Bunyamin Yaacob. Tidak syak lagi bekas Ahli Parlimen Bachok dan Pegawai Penerangan PAS Kelantan itu adalah pemidato dan pengulas politik yang sangat pintar dalam hujahnya. Pemergiannya sukar digalang ganti dalam kelasnya yang tersendiri.

Almarhum Ustaz Bunyamin dalam penghujahannya mematahkan serangan dan kutukan BN terhadap kerajaan Kelantan sering mengajak hadirin melihat dan menilai sendiri sejauh manakah kebenaran hujah dan fakta dikemukakan BN itu.

Setelah disyarahnya dengan panjang lebar dan disenaraikannya satu persatu kepalsuan hujah musuh itu, Almarhum akan menyimpulkan, "sekiranya masih ada orang yang kata Kelantan tidak membangun, tidak maju, orang Kelantan sesak (miskin), hidup susah,orang itu sama ada buta (tak dapat melihat) atau tuli (tidak dapat mendengar kebaikan dan kemajuan di bawah kerajaan PAS)".

Kini, antara orang yang giat mengulangi hujah dan fakta basi dilaungkan BN sejak hampir dua dekad lalu itu ialah Ibrahim Ali. Apakah beliau juga termasuk dalam kategori manusia 'buta' dan 'tuli' sebagaimana disebutkan Almarhum Ustaz Bunyamin itu?

HarakahDaily

No comments:

Post a Comment