Wednesday, May 6, 2009

Wong Chin Huat, dijangka ditahan reman pagi ini.

Hasutan: Penyelaras Bersih dijangka ditahan reman pagi ini


Salah seorang penyelaras Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Wong Chin Huat, dipercayai terlibat dalam gerakan baju hitam menjelang sidang Dewan Undangan Negeri Perak esok, dijangka ditahan reman pagi ini.

Wong ditahan di bawah Akta Hasutan malam tadi.

Ketika dihubungi sebentar tadi, peguamnya, Edmund Bon berkata, beliau sedang ke kompleks mahkamah di ibu negara untuk menguruskan soal itu.

"Saya sedang ke mahkamah untuk berhujah permohonan polis untuk menahan reman Wong. Saya dimaklumkan dia akan ditahan reman," katanya.

Semalam Bon berkata, anak guamannya itu ditahan kira-kira pukul 7.45 malam tadi di rumahnya di Kuala Lumpur.

"Saya dimaklumkan dia ditahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan tetapi jenis kesalahan tidak diketahui. Wong telah dibawa ke Bukit Aman (untuk siasatan)," kata beliau.

Difahamkan polis bertindak atas aduan yang dibuat terhadap Wong.

Polis juga telah merampas komputer milik Wong yang juga penulis bebas dan ahli akademik pusat pengajian tinggi swasta.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman (JSJK), Datuk Koh Hong Sun mengesahkan Wong ditahan untuk membantu siasatan.

"Kami akan menyoal siasat (Wong) untuk mendapatkan maklumat lanjut," katanya.

Wong dipercayai telah dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Bukit Perdana.

Penahanan Wong dipercayai berkaitan dengan satu sidang media yang telah diadakan oleh Bersih semalam.

Bersih dipercayai merancang untuk mengadakan perhimpunan protes baju hitam menjelang sidang DUN Perak yang bermula esok.

Ia merupakan sidang pertama sejak tercetusnya krisis politik Perak Februari lalu.

Krisis itu membawa peralihan kuasa daripada Pakatan Rakyat kepada Barisan Nasional.


artikel asal : mStarOnline

No comments:

Post a Comment