Wednesday, May 6, 2009

Jika sudah sedar kesilapan, bubar DUN Perak kembalikan mandat rakyat : Tian Chua


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Barisan Nasional (BN) terlalu gopoh bertindak untuk mengambil alih kembali pentadbiran di Perak dan berpendapat bahawa Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa seorang Raja tidak mempunyai hak untuk memecat seorang ketua kerajaan.

“Kita tak patut terlalu gopoh. Semuanya perlu dilakukan dengan baik dan lancar. Jika terlalu gopoh, kita akan buat kesilapan,” kata Tun Mahathir pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama Siri Syarahan Perdana kesembilan di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai krisis perlembagaan yang berlaku di Perak, Dr Mahathir berkata, BN mungkin terlalu gopoh bertindak untuk mengambil alih kembali pentadbiran di Perak.

Ditanya sama ada undang-undang tersebut terpakai di negeri Perak, beliau berkata: “Saya fikir ia sama kepada setiap negeri tapi jika Perak mempunyai perlembagaan yang berbeza, saya sedia untuk diperbetulkan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai soalan sama ada pelantikan Menteri Besar Perak, Zambry Abdul Kadir bertentangan dengan undang-undang atau sebaliknya.

Jelas beliau, Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Perdana Menteri tetapi tidak mempunyai hak untuk memecat Perdana Menteri tersebut sehinggalah adanya undi tidak percaya terhadapnya.

“Yang di-Pertuan Agong boleh melantik tetapi tak boleh pecat kecuali ada undi tak percaya terhadap Perdana Menteri tersebut,” katanya lagi.

Sementara itu, mengulas kenyataan tersebut, Ahli Majlis Tertinggi KeADILan Tian Chua berkata beliau bersetuju dengan pendapat Tun Mahathir dan rakyat sememangnya sudah mengetahui dan sedar akan perkara ini.

“Maka BN Perak harus berpatah balik dan membetulkan keadaan dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri itu serta membuat pilihanraya baru,” kata Tian Chua.

“Jelas, BN Perak tidak mengikut undang-undang dan saluran secara logik dengan menafikan hak demokrasi rakyat Perak.

“Kembalikan mandat rakyat dengan mengadakan pilihanraya di Perak,” jelas Tian Chua

artikel asal : Suara KeAdilan

No comments:

Post a Comment