Tuesday, May 12, 2009

KEMENANGAN NIZAR HADIAH SEMPENA HARI IBU

Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh bersyukur di atas keputusan Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Dato' Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Beliau yang berada di Mahkamah Tinggi Jalan Duta itu sejak awal pagi berkata, tidak sia-sia segala pengorbanan yang dilakukan oleh ahli dan pimpinan PAS bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Nizar.

Keputusan itu juga katanya, sebagai satu pengajaran kepada Umno-BN yang melakukan perbuatan tidak sopan dan zalim terutama dalam sidang Dewan Undangan Negeri Perak (DUN) pada 7 Mei lalu.

Menurut beliau, Umno-BN telah menggunakan kuasa dan kekuatan pihak polis untuk menghalang Speaker DUN yang sah serta Adun Pakatan Rakyat bersidang.

"Hari ini Allah telah memberi kemenangan kepada kita dan ini juga hadiah kepada ibu-ibu sempena sambutan hari Ibu," katanya yang dihubungi Harakahdaily.

Tambah beliau, tidak sia-sia pengorbanan kaum wanita dan ahli Parlimen serta Adun wanita yang ditangkap oleh pihak polis ketika berada berhampiran dengan bangunan SUK pada 7 Mei lalu.

Hakim Dato' Abdul Aziz Abdul Rahim memutuskan perkara itu selepas mendapati kerusi itu tidak kosong kerana Nizar tidak pernah meletak jawatan dan tiada sebarang usul undi tidak percaya yang dilakukan terhadapnya dalam sidang DUN.

Mahkamah telah menolak permohonan peguam Zambry untuk menangguhkan keputusan pengesahan Nizar sebagai MB Perak. Bagaimanapun, Zambry boleh mengemukakan rayuan rasmi.

artikel asal : HarakahDaily

No comments:

Post a Comment