Wednesday, April 15, 2009

Najib suruh masuk balik.....

10 ADUN boikot DUN kembali hari ini

PEMANDANGAN di Dewan Undangan Negeri Terengganu ekoran tindakan 10 ADUN Barisan Nasional memboikot sidang hari kedua semalam.

Kesemua 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) termasuk bekas Menteri Besarnya, Datuk Seri Idris Jusoh, menghadiri semula sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pagi ini - akur arahan Perdana Menteri dikeluarkan semalam.
Maklumat diperoleh menunjukkan sehingga pukul 9.45 pagi tadi kesemua 10 ADUN tiba di DUN walaupun 15 minit sebelum itu hanya dua orang wakil rakyat terbabit kelihatan berada dalam Dewan.
Mereka yang memulaukan sidang semalam ialah ADUN Tepoh, Muhammad Ramli Noh, Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Datuk Rosol Wahid (Ajil), Alias Abdullah (Alor Limbat), Zakaria Abdullah (Paka), Ramlan Ali (Jabi), Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih) dan Mohd Pehimi Yusof (Kota Putera).
Rosol ketika dihubungi 7.30 pagi tadi mengesahkan kesemua mereka akan hadir sidang hari ini.
"Presiden kita (Umno, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak) telah meminta kami supaya hadir sidang dan Ketua Polis Terengganu juga telah memberi jaminan berhubung keselamatan kami.
"Kami tidak bimbang dengan soal keselamatan... jadi kami kesemua 10 ADUN akan menghadiri sidang pagi ini," kata Rosol mewakili wakil rakyat berkenaan ketika dihubungi di Kuala Terengganu.
Sidang DUN bermula pukul 9.30 pagi ini.
Sepuluh ADUN BN itu, buat kali pertama dalam sejarah negeri Terengganu memutuskan untuk memulaukan sidang DUN pagi semalam atas alasan menerima SMS ugutan dan keselamatan mereka terancam.
Semalam Perdana Menteri Najib mengarahkan kesemua ADUN itu yang memboikot sidang DUN pagi tadi, supaya kembali hadiri sesi seterusnya seperti biasa.
"Setakat ini mereka (ADUN) hanya dapat SMS tapi ia tidak berpunca dari Pejabat Menteri Besar jadi tidak ada kesahihan SMS yang dihantar," kata Najib di Putrajaya.
Sesi hari ketiga sidang DUN Terengganu - hari terakhir, akan berlangsung hari ini.
Ketika ditanya sama ada mereka telah dihubungi Najib ataupun Timbalan Perdana Menteri sejak kejadian itu, Rosol memberitahu:
"Saya dimaklumkan Datuk Seri Idris ada menerima panggilan."
Bagaimanapun kata beliau, mereka tidak menerima apa-apa panggilan ataupun ada menemui Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said.

Read more : http://mstar.com.my/

No comments:

Post a Comment