Tuesday, May 5, 2009

RAIS : LELAKI YANG TIDAK BERTANGGUNGJAWAB

"Berani buat berani tanggung." Seringnya ungkapan seperti ini dituju kepada golangan belia yang terlajak dalam pergaulan .

Terlalu bebas antara lelaki dan perempuan sehingga menimbulkan masalah gejala sosial.

Hasil hubungan bebas itu, kerapkali berlaku perempuan mengandung anak luar nikah. Apabila sampai kepengetahuan keluarga atau insentif perempuan itu sendiri bagi mengelak malu, maka diancam lelaki supaya bertanggungjawab. "Sudah buat kena bertanggungjawab."

Sekiranya bernasib baik si lelaki mengambil sikap bertanggungjawab maka selamat nama baik kedua keluarga terbabit. Bagaimanapun tidak kurang juga yang menghilangkan diri sama ada mahu menjaga nama baiknya atau keluarga beliau kerana perbuatannya merosakkan anak orang.

Atau mungkin juga kerana perangainya yang jahat dan suka lari daripada tanggungjawab. Kalau sebut soal taubat jauh sekali. Malah orang seperti ini boleh memangsakan gadis lain pula. Kejahatan orang seperti ini mungkin kerana ada uminiti, orang berpangkat dan terhormat atau memang perangainya jahat.

Perangainya yang jahat mungkin kerana feelnya jahat. Malah kejahatan ini boleh menjadi orang seperti itu cukup licik yang boleh mengelak daripada undang-undang sama ada menggunakan keilmuan undang-undang atau taktikal sebagaimana yang dikatakan "tidak termakan dengan undang-undang."

Kalau Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim tetap membisu dalam menjawab isu debat beliau mencabar bekas Menteri di Jabatan Perdana, Dato' Zaid Ibrahim, beliau seolah seperti lelaki tidak bertanggungjawab tadi.

Kenapa Rais berani 'buat', maksudnya kenapa Rais berani mencabar Zaid berdebat. 'Sampai mengandung gadis itu' - Zaid menyambut cabaran debat tersebut. 'Berani buat berani tanggung' - Berani cabar kena berani sahut.

Menteri berkenaan mendakwa Zaid sering dipetik oleh media asing untuk memburukkan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak. Oleh itu, Rais mencabar Zaid untuk berdebat di khalayak ramai jika beliau yakin dakwaan terhadap Najib itu benar.

Rais juga dilaporkan pernah berkata, tohmahan yang dikeluarkan oleh media asing terhadap Najib mempunyai tujuan tertentu untuk menjatuhkan beliau atau satu "grand design". Katanya, perbuatan media itu bukan satu perkara baru kerana mereka pernah menggunakan taktik yang sama tetapi gagal sewaktu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerajui kepimpinan negara.

'Sudah buat tidak pula mahu taubat'. Kalau tidak berani berdebat minta maaf kerana mencabar Zaid. Bertaubat tidak mengulangi kerana cabaran beliau itu memberi implikasi bahawa beliau yang betul dan orang lain salah. Jangan mahu tegak benang basah dan menunjukkan orang lain tidak betul.

Sebaliknya kemuncak drama ini 'bisu'. Apakah keputusan Rais sama ada ambil tanggungjawab atau hilangkan diri (membisu). Dimana prinsip Rais ini?

Nanti hilang kredibiliti kerana Najib tetap melantik beliau dalam Kabinet walaupun kalah dalam pertandingan dalaman Umno. Sepatutnya Rais kena jaga nama baik beliau.

Apakah Rais sudah silap pertimbangan dalam usaha menjaga nama baik ketuanya kerana berkelulusan Phd dalam bidang undang-undang yang lebih tinggi keilmuannya daripada Zaid, rupa-rupanya tersilap mencabar 'harimau yang ada taring'.

Di mana hilangnya keberanian Rais yang mencabar Zaid sehingga tiba-tiba timbul pengcut dan membisu seribu bahasa sebaliknya pandai pula berdalih dengan alasan bagi mengelak kenyataannya kepada media berhubung sahutan debat Zaid.

Rais kena buang sifat pengecut. Tunjuk kejantanan sepertimana jantannya bekas Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Chik bersedia berdebat dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Julai lalu, di Dewan Bahasa dan Pustaka disiar secara langsung oleh televisyen swasta.

Buktikan keilmuan 'pengajian habis darjah' yang diperolehi beliau itu betul-betul bermanafaat pada negara dan mempertahankan ketuanya daripada serangan musuh politik Najib. Jika tidak apa faedahnya Najib melantik beliau yang ada ilmu tinggi tetapi langsung tidak mampu menjadi barisan pertahanan Najib menangkis dakwaan pembangkang.

Atau apakah Rais berhasrat menggunakan penyimpan mohor diraja bagi mengumumkan debat terpaksa dibatalkan seperti mana pernah berlaku pada 1986 dimana penyimpan mohor tersebut mengumumkan melalui televisyen bahawa debat antara PAS dengan Umno tidak jadi.

Debat tersebut bagi membincangkan tuduhan Umno mengatakan PAS mengkafirkan Umno. Semua tarikh dan masa serta tempat debat ditentukan Umno. PAS tidak memberikan apa-apa syarat bagi menjayakan debat tersebut. PAS menyebut debat tersebut sebagai muzakarah sebaliknya media terus menggunakan istilah debat.

Selama ini penyimpan mohor diraja hanya keluar tiga kali dalam televisyen Malaysia iaitu bagi menentukan tarikh berpuasa, menyambut raya Aidilfitri dan tarikh tentukan raya Aidiladha.

Apabila penyimpan mohor keluar televisyen pada hari tersebut bagi mengumumkan debat tidak jadi ia cukup mengejutkan rakyat Malaysia.

Jadi siapa sebenarnya yang mainkan raja-raja Melayu?

artikel asal : HarakahDaily

Mengapa PM baru perlu segera melawat negara jiran?

Sewaktu aplikasi Microsoft Word dibuka untuk menulis artikel ini pada petang Rabu, 29 April, Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak bersama isteri beliau serta rombongan terdiri daripada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Dr Rais Yatim; Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ketua Menteri Sabah, Dato' Seri Musa Aman; Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu dan Timbalan Menteri Luar, A Kohilan Pillay; dan beberapa pegawai kanan kerajaan tiba di Bandar Seri Begawan.

Menurut ceritanya, rombongan Najib dijangka membincangkan isu kepentingan bersama dengan matlamat memperkukuh dan meningkatkan persahabatan serta kerjasama dua hala antara Malaysia dan Brunei.

Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa adalah penting Malaysia menjalin hubungan diplomatik sihat dengan negara-negara luar terutamanya negara anggota ASEAN, tetapi nampaknya sudah menjadi semacam satu tabiat mahal yang kerap dilakukan bagi PerdanaMenteri baru negara membuat lawatan seumpama ini tidak lama setelah mengangkat sumpah jawatan.

Dahulupun ketika (Tun) Abdullah Ahmad Badawi mula-mula menjadi Perdana Menteri beliau begitu tergesa-gesa mengadakan lawatan bukan sahaja ke negara ASEAN malah ke negara-negara lain sehinggakan beliau mencipta rekod peribadi tersendiri dalam mengadakan lawatan luar ke luar negara.

Kini tidak sampai pun sebulan Najib mengambil tempat Abdullah selaku Perdana Menteri, beliau dan rombongannya telahpun mengadakan lawatan ke dua buah negara ASEAN bermula dengan Indonesia.

Tentulah sesuatu yang baik, setidak-tidaknya untuk diri beliau sendiri sekiranya Najib bercita-cita mahu menjadikan dirinya sebagai Perdana Menteri yang sekurang-kurangnya lebih menonjol daripada Abdullah kerana merasakan tidak mungkin dapat menyamai kecermelangan Tun Abdul Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sejauh ini, iaitu dalam masa sebulan selepas menjadi Perdana Menteri, dari segi mencipta slogan Najib sudahpun menunjukkan kegarangannya apabila dengan tergesa-gesa mengidentifikasikan kepimpinannya dengan slogan 'Satu Malaysia' sehinggakan dunia tertanya apakah fokus dan cita-cita negara rakyat Malaysia mengalami perubahan sebaik sahaja bertukar Perdana Menteri.

Tatkala Dr Mahathir mula-mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Tun Hussein Onn pada 1981, beliau memiliki beberapa slogan dalam begnya. Antaranya termasuklah Penerapan Nilai-Nilai Islam, Dasar Pandang Ke Timur dan beberapa lagi.

Sebelum bersara Dr Mahathir mencipta pula Wawasan 2020 dengan harapan setidak-tidaknya slogan itu kekal menjadi popular dan diasosiasikan kepada dirinya lama setelah beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

Mungkin Dr Mahathir menyedari cita-cita menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju tidak mungkin dapat dicapai pada tahun 2020 sekiranya ia hanya berdasarkan pertumbuhan ekonomi tahunan pada kadar 7 peratus yang dinikmati Malaysia pada beberapa tahun sekitar 1980-an.

Beliau sendiri sudah tentu lebih maklum prestasi seperti itu sukar dikekalkan kerana keadaan ekonomi yang tidak statik dan sentiasa berubah-rubah dari masa ke semasa. Namun, bagi beliau, selagi rakyat Malaysia percaya cita-cita itu berkemungkinan dicapai menerusi semangat Malaysia Boleh, maka selagi itulah Wawasan 2020 akan kekal diperkata dan dikumandangkan.

Begitupun, disebabkan terlalu lama menjadi Perdana Menteri, beliau terlupa bahawa jawatan tersebut bukan sekadar kepimpinan dan khidmat untuk rakyat dan negara tetapi ia juga adalah semacam satu perlumbaan peribadi 'siapakah sebenarnya lebih tahu macam mana nak jadi Perdana Menteri'.

Maka tidak lama selepas beliau bersara, Wawasan 2020 segera dipeti-besikan oleh Abdullah. Beliau menggantikannya dengan Islam Hadhari, Cemerlang, Gemilang, Terbilang dan tiba-tiba fokus dan orientasi cita-cita rakyat Malaysia mengalami satu transformasi minda dan psikologi yang besar.

Kini tibalah pula giliran apa yang menjadi lencana keperdana-menteriannya (premiership) dibungkus satu persatu oleh Najib sebelum disimpan dalam peti-besi sejarah buat selama-lamanya.

Islam Hadhari dikatakan akan dikaji semula dan slogan Cemerlang, Gemilang dan Terbilang pula sudah tidak kedengaran lagi.

Nampaknya Najib memulakan perlumbaannya di atas landasan yang dibina Dr Mahathir dan dijejaki oleh Abdullah. Bermula dengan pencipataan slogan, diikuti pula dengan pengukiran janji untuk membuat itu dan ini seolah-olah secara tidak langsung mengatakan 'segala sesuatu yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri terdahulu tidak betul dan dialah sebenarnya yang benar-benar tahu bagaimana membuatkan apa yang salah menjadi betul'.

Kini Najib seolah-olah berusaha keras untuk memintas rekod Abdullah dalam membuat lawatan luar negara.

Nampaknya semua ini dan banyak lagi sudah menjadi semacam satu tradisi pemimpin Umno apabila dilantik menjadi Perdana Menteri.

Selain membazirkan wang awam bagi membuat lawatan hanya untuk memberitahu pemimpin negara yang dilawati bahawa "I'm the new boss now", atas alasan kononnya mahu menjalinkan persabahatan dan kerjasama dua-hala lebih erat (seolah-olah sebelum ini persahabatan dan kerjasama kurang erat di bawah kepimpinan lama), rakyat juga akan kehilangan fokus apabila slogan baru diperkenalkan bagi menggantikan slogan yang telah dipopularkan dengan kos yang ditanggung rakyat sendiri.

Ini belum lagi mengambil kira bagaimana kita dipersenda dan ditertawakan oleh orang lain.

Kini Najib sibuk bercakap tentang liberalisasi. Tapi apakah beliau telah membebaskan dirinya dari tradisi memulakan jawatan Perdana Menteri ini dengan pelbagai pembaziran yang sebenarnya tidak diperlukan sama sekali?
artikel asal : HarakahDaily

ADUN PERAK DILARANG BAWA PEMERHATI

Wakil-wakil rakyat Perak dilarang membawa penyokong masing-masing "bagi mengelakkan sebarang kerumitan", demikian arahan terbaru yang dikeluarkan oleh setiausaha kerajaan negeri.

"Untuk mengelakkan sebarang kerumitan, Yang Berhormat Datuk, tuan-puan TIDAK DIBENARKAN membawa pemerhati. Segala kerjasama amat dihargai, terima kasih," arahan pejabat Datuk Abdul Rahman Hashim dipetik.

Dalam kad undangan kepada ADUN Tebing Tinggi, Ong Boon Piow, turut disertakan aturcara majlis istiadat pembukaan rasmi penggal kedua persidangan DUN oleh Sultan Perak, Khamis ini.

Beliau menerima undangan tersebut melalui khidmat Poslaju pada 11.15 pagi ini, katanya.

Dalam kenyataannya, wakil rakyat DAP itu mempertikaikan arahan tersebut yang disifatkannya "tidak telus dan autokratik."

Ong juga berkata arahan itu satu percubaan menghalang orang ramai melihat sendiri perjalanan sidang tersebut.

Persidangan DUN Perak kali ini sangat genting untuk BN dan Pakatan Rakyat susulan krisis perebutan kuasa sejak Februari lalu.

Kedua-dua pihak mengakui menteri besar yang sah - Datuk Zambry Abd Kadir (BN) dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (Pakatan) - dan tuntutan ini masih belum diputuskan di mahkamah.

Keadaan tidak menentukan dipercayai boleh menimbulkan suasana tegang dan penuh emosi di dalam dan luar bangunan DUN tersebut.

Polis semalam melarang orang ramai berhimpun dekat Bangunan Perak Darul Ridzuan, yang menempatkan bangunan DUN, setelah penyokong Pakatan ingin tampil menyaksikan peristiwa penting itu dan menyatakan sokongan kepada kerajaan pilihan mereka.

artikel asal : malaysiakini

Menjelang Sidang DUN, Polis Sekat Penyokong DAP ke Perak

Penyokong DAP dakwa disekat ke Ipoh


Polis cuba menghalang penyokong DAP yang merancang ke Perak bagi menyatakan sokongan persidangan penting DUN Perak – yang menentukan masa depan pemerintahan Pakatan Rakyat – Khamis ini.

Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching berkata, seorang anggota polis unit Cawangan Khas telah menghubungi pembantunya kelmarin agar membatalkan niat mereka membawa kira-kira 25 penyokong ke Ipoh.

"Sekiranya orang lain naik bas boleh pergi ke Pulau Pinang, Singapura, kenapa tidak boleh naik bas ke Ipoh?" katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Teo berkata larangan polis itu berkemungkinan kerana beranggapan mereka akan terlibat dalam perhimpunan haram pada hari persidangan tersebut.

Beliau menolak dakwaan ingin terlibat dalam perhimpunan haram dan menyifatkan dakwaan tersebut tidak berasas.

Ahli parlimen DAP itu menegaskan akan meneruskan hasratnya untuk menyertai saat-saat penting itu – kemuncak perebutan kuasa antara dua menteri besar, Datuk Zambry Abd Kadir (BN) dengan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (Pakatan Rakyat) sejak Februari lalu.

Selain percubaan BN memecat Speaker DUN V Sivakumar, ADUN DAP di Tronoh, keadaan kelam-kabut akibat susunan kerusi yang masih tidak jelas sewaktu persidangan dijangka mengundang kejadian tidak diingini.

Semalam polis Perak melarang orang ramai berhimpun di luar Bangunan Perak Darul Ridzuan – yang menempatkan bangunan DUN itu – seperti diseru dalam ceramah Pakatan dan blog.

"Perhimpunan tanpa permit adalah perhimpunan haram dan menyalahi undang-undang dan tindakan akan diambil mengikut undang-undang sedia ada ke atas mereka yang terlibat dalam perhimpunan haram termasuk mereka yang merancang atau yang menganjurkan perhimpunan-perhimpunan tersebut," kata Ketua Polis Perak, Datuk Zulkefli Abdullah.

Mengulas lanjut senario yang bakal ditempuhinya, Teo tidak menolak kemungkinan rombongannya akan ditahan atau disekat oleh polis ketika dalam perjalanan ke sana.

"Saya akan memberitahu rombongan, (mengenai) tindakan berjaga-jaga kepada mereka sebelum bertolak, sama hari ini atau esok," katanya.

Mereka akan bertolak dari Serdang ke Ipoh pada jam 11.30 malam esok.

artikel asal : malaysiakini

NAJIB, SELESAIKAN DULU 4 KELUH-KESAH RAKYAT

Alangkah lunaknya telinga dan damainya hati rakyat tatkala menyaksikan Perdana Menteri melontarkan keyakinan dan kesungguhan merencanakan perubahan positif dalam pentadbirannya.

Setelah sebelum ini menzahirkan keterbukaan kerajaannya terhadap kebebasan media, diikuti beberapa siri tinjau mesra beliau sendiri ke kawasan tertentu bagi mendekati rakyat, kini Dato' Seri Najib Razak beralih pula menyarankan anjakan di sektor awam.

Pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-10 di Putrajaya, Selasa (28 April) lalu, Najib meminta pentadbirannya memahami denyut nadi rakyat agar mereka berupaya menyelami keluh kesah dan gundah gulana sebenar kehidupan rakyat.

Untuk itu, beliau mengarahkan para pegawai tinggi kerajaan turut turun padang bersama pemimpin politik dari semasa ke semasa.

"Jika kita benar-benar ingin berkhidmat untuk rakyat, kita perlu mengetahui rintihan massa. Kita perlu fahami setiap masalah, kekangan dan kesulitan dihadapi rakyat. Barulah kita mampu mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah tersebut," katanya.

Wah! Syabas Perdana Menteriku, syabas! Kita percaya andainya beliau benar-benar berpegang kepada kata-katanya itu dan memastikan pentadbirannya berjalan seiringan dengan prinsip digariskannya itu, nescaya kedamaian akan menggunung di hati rakyat.

Apatah lagi Najib turut menegaskan pihaknya tidak akan mengambil sikap 'hangat-hangat tahi ayam' bagi melaksanakan pembaharuan dimaksudkannya itu.

"Saya mahu mengatakan kepada anggota perkhidmatan awam bahawa apa yang saya katakan hari ini, apa yang saya janjikan hari ini, akan berkesinambungan dengan tindakan susulan," ujarnya serius.

Kita lupakan sejenak pengkhususan beliau terhadap sektor awam. Kita ambil semangat kesungguhannya beserta lafaznya mengenai pembaharuan itu secara umum. Kita andaikan Najib mahukan perubahan positif bukan sahaja melibatkan sektor awam, tetapi juga pentadbiran politik di bawahnya.

Maka di sana sebenarnya sudah tersedia sebilangan keluh kesah dan gundah gulana rakyat untuk diselami dan diteliti Najib serta pentadbirannya. Sebahagiannya malah kita percaya sudah didengari dan dimaklumi Najib, lama sebelum punggungnya menghenyak kerusi empuk di meja Perdana Menteri, sebelum isterinya tersenyum lebar hingga ke pipi menikmati status 'Wanita Pertama' negara.

Banyak sekali keluh kesah rakyat, terlalu banyak. Kita ambil saja beberapa antaranya yang agak ketara dan mudah difahami. Pertama, kita pergi ke Perak. Tanyakan rakyat di sana apa sebenarnya keluh kesah dan gundah gulana utama mereka?

Sudah dapat diduga jawaban mereka. Bahkan, soalan itu tidak perlu ditanya sebenarnya.

Rakyat Perak mahu krisis politik tidak berkesudahan yang melanda negeri mereka ditamatkan.

Selesaikan kemelut itu secara telus dan adil. Cara sebaiknya ialah memulangkan hak menentukan kerajaan yang sah kepada rakyat. Mereka telahpun memilih kerajaan yang mereka mahu setahun lalu, namun pilihan itu telah dikhianati.

Maka cara terbaik bagi Najib memperbetulkan keadaan ialah mengusahakan pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak dan adakan satu pilihan raya semula. Nah, apakah sanggup Najib berbuat demikian?

Sehubungan itu juga rakyat berharap pentadbiran Najib lebih 'gentlemen' menerima keputusan rakyat menolak parti itu di empat lagi negeri. Hormatilah pilihan rakyat yang mahukan parti lain memerintah Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Kedah.

Jangan lagi ada usaha atau sekelumit hasrat menjatuhkan kerajaan-kerajaan itu secara tidak bermoral, yakni di luar proses pilihan raya. Jangan digugat dan digigit kerajaan pilihan rakyat itu dengan segala macam tindakan tidak bertanggungjawab. Jangan ditimpakan mereka dengan karenah birokrasi antara kerajaan, sekatan bantuan mahu pun sabotaj pentadbiran.

Kemudian, kita selami pula keluh kesah rakyat terhadap batang tubuh Najib sendiri. Maaf cakap Dato' Seri, banyak tuntutan kedengaran di luar sana agar Dato' Seri membersihkan diri daripada dakwaan dan palitan dengan satu isu moral yang sangat masyhur. Rasanya tidak perlu lagi disebut apakah isu tersebut.

Rakyat sangat gundah gulana apabila Perdana Menteri menjadi balunan dan persendaan media asing atas fitnah itu. Lalu ada rakyat menggesa Najib menyaman media asing terbabit. Buktikan Perdana Menteri kita bersih dan apa yang mereka laporkan itu fitnah semata.

Rakyat mendambakan seorang Perdana Menteri yang bersih. Bukan sahaja pada nilaian partinya, tapi dalam sanubari rakyat dan juga di mata dunia.

Panjang lagi senarai keluh kesah rakyat. Kalau dapat ditangani yang empat di atas tadi pun sudah cukup baik buat Perdana Menteriku!

artikel asal : HarakahDaily

DUN Kota Alam Shah: Isteri Manoharan kemungkinan ambil alih kerusi

Isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah, S. Pushpaneela berkemungkinan akan memikul jawatan wakil rakyat secara rasmi jika beliau meletak jawatan pada 19 Mei ini.

Banyak pihak dalaman parti telah memperkatakan tentang kemungkinan tersebut.

“DAP akan menghormati sebarang keputusan Manoharan, tetapi bukan semua orang akan bersetuju dengan cadangan supaya kerusi berkenaan diserahkan secara automatik kepada Pushpaneela,” kata seorang sumber dalaman parti yang juga merupakan pemimpin tempatan.

Pushpaneela ketika ditanya pendapat beliau berkata “Saya menyerahkan perkara tersebut kepada pengundi Kota Alam Shah untuk membuat keputusan sama ada menerima saya ataupun sebalinya.”

Bagaimanapun tegas beliau, keutamaannya ialah adalah untuk berjuang bagi membebaskan Manoharan daripada terus ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Saya mahu membolehkan beliau berkhidmat secara peribadi kepada rakyat yang mengundinya sebelum ini

Sementara itu Kerajaan Selangor akan memberi masa kepada Manoharan untuk membuat keputusan sama ada melepaskan jawatan atau kekal sebagai wakil rakyat kawasan itu.

Menteri Besar Abdul Khalid Ibrahim berkata KeADILan serta Pas tidak akan masuk campur dalam keputusan Manoharan yang merupakan wakil daripada DAP.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Badan Bertindak Tanah Orang Asli Selangor (BBTOAS) semalam, beliau berkata pakatan pembangkang di Selangor bersedia menghadapi pilihanraya kecil jika Manoharan membuat keputusan untuk mengosongkan kerusi itu.

Penasihat Undang-Undang Hindraf itu ditahan pada 13 Disember 2007.

artikel asal : Suara KeAdilan

Pakatan Rakyat Selangor Sedia Menghadapi Pilihanraya Bila-bila Masa, Tan Sri Khalid Ibrahim




klip video ehsan : greenboc

Insiden bomoh : JAMAIY mahu Zambry, SUK Perak bertaubat


JAMAIY salah satu Gabungan NGO Islam Perak hari ini merasa kesal dengan 'insiden khurafat' yang berlaku di Dun Perak baru-baru ini seperti yang dilaporkan sebelum ini oleh Adun Titi Serong, Idham Lim.

Pengerusinya Dr Khairuddin Dato' Abd Malik berkata, beliau telah dimaklumkan oleh kakitangan kerajaan Perak bahawa mereka kesal dan marah apabila khidmat bomoh telah dibawa ke Kompleks SUK Perak pada pagi 30 April lalu oleh salah seorang Wakil Rakyat Adun Barisan Nasional (BN) yang juga bertaraf Exco.

Bomoh tersebut dikatakan dibawa khusus ke bilik persidangan dan fokusnya adalah tempat duduk VIP seperti kerusi DYMM Tuanku Sultan Perak, Speaker dan Menteri Besar.

"Menteri Besar Barisan Nasional Dr. Zambry dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato? Dr. Abdul Rahman Hashim perlu mengambil tanggungjawab atas insiden kurafat yang memalukan ini.

"Jika insiden ini dalam pengetahuan Dr. Zamry dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato? Dr. Abdul Rahman Hashim maknanya mereka telah merestui kerja-kerja syirik yang dikutuk oleh Allah, " katanya dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Mereka katanya mesti bertaubat dan memohon maaf kepada Sultan sebagai Ketua Agama Negeri dan seluruh rakyat beragama Islam dan dalam masa yang sama meletakkan jawatan.

"Jika perkara tersebut berlaku tanpa pengetahuan, mereka tidak layak memegang tugas besar Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan kerana kecuaian yang melampau.

"Siasatan mesti dibuat oleh jabatan Agama Islam Perak secepat mungkin tanpa rasa takut," katanya.

Bagi DYMM Tuanku Sultan Perak adalah disarankan demi menjaga nama baik baginda supaya membatalkan keberangkatan ke Sidang DUN pada 7 Mei inii kerana insiden yang mencemarkan institusi Raja sebagai Ketua Agama dan Payung Rakyat, katanya.

artikel asal : TVAntara

'Saya ada bukti bomoh ke DUN Perak' : ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim

Seorang wakil rakyat PAS – yang mendakwa menteri besar BN membawa masuk bomoh ke DUN sebelum persidangan penting, Khamis ini – berkata beliau mempunyai "bukti" berhubung dakwaannya itu.

ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim menambah, beliau bersedia memberikan keterangan berhubung kenyataannya itu yang diadukan kepada polis oleh Datuk Zambry Abd Kadir semalam.

"Mustahil saya tidak bersedia memberikan keterangan. Saya keluarkan fakta, takkan saya hendak lari daripada memberikan keterangan.

"Kita ada bukti yang diberitahu (oleh) sumber tertentu. Maka saya buat kenyataan (kepada media)," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Zambry ke sebuah balai polis malam tadi, melaporkan kenyataan Khalil di laman blognya idhamlim.blogspot.com yang disifatkan sebagai "tuduhan melampau dan keterlaluan".

Coretan itu antara lain mendakwa Zambry dan BN membenarkan bangunan DUN dimasuki bomoh untuk menjampi kerusi Speaker DUN V Sivakumar dan mendesak Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria mengeluarkan fatwa berhubung amalan berkenaan.

Selain itu, Khalil turut berkata, lima ADUN Pakatan didatangi sekumpulan polis yang "mengambil gambar dalam keadaan mencurigakan dan menimbulkan pelbagai persoalan."

Sehubungan itu, beliau membantah tindakan itu yang dianggapnya "semacam provokasi untuk menakut-nakutkan ADUN Pakatan Rakyat" menjelang persidangan bersejarah itu - untuk menentukan kesahihan Zambry dan menteri besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

Diminta menjelaskan lanjut bukti dakwaannya itu, Khalil berkata:

"Sekarang masalahnya, orang memberitahu saya, (itulah) bukti saya. Maklumat daripada orang yang tahu betul cerita ini."

Mengulas laporan polis itu, Khalil berkata Zambry berhak membuat laporan berkenaan bagi mempertahankan dirinya.

"Tetapi (menjadi) hak saya melaporkan (kepada media) dan minta mufti memberikan fatwa.

"Ada, (atau) tak ada pun (perbuatan itu), saya rasa mufti kena beri fatwa dialah, pandangannya macam mana (sama ada) boleh pakai bomoh," katanya.

Diminta menjelaskan lanjut kehadiran polis itu, Khalil berkata, pasukan keselamatan itu muncul Jumaat lalu antara jam 5.30 hingga 6 petang.

"Sebagaimana dijelaskan Thomas Su (dalam sidang media semalam), wakil rakyat Pasir Pinji, yang menulis surat waktu mula jadi exco (Perak) supaya keselamatan rumah beliau ditinjau polis.

"Tetapi surat beliau tidak diberikan respons sampai sekarang. Tiba-tiba bila dewan hendak bersidang, 20 orang polis datang rumah beliau.

"Apa cerita? Semasa kita minta bantuan mereka tidak datang," kata Khalil.

"Apalah salahnya kami diberitahu dulu (apabila) hendak datang rumah. Sekurang-kurangnya bolehlah minum teh. Wakil rakyat ini biasalah, rumah dia kurang-kurang ada biskut kering. Boleh makan biskut kering."

Empat ADUN lain yang didatangi polis: Lim Phek Her (Menglembu), Loke Chee Yan (Kepayang), Chang Lih Kang (Teja) dan A Sivasubramaniam (Buntong).

artikel asal : malaysiakini

PAS Anjur Munajat Perdana Mohon Keamanan Negeri Perak 7 Mei Sempena Sidang DUN

Rakyat diminta hadir dengan berpakaian serba hitam sebagai tanda matinya demokrasi di Malaysia





klip video ehsan : tvpas09

ISU GUNA PERKATAAN 'ALLAH' : Wanita Kristian Dapat Kebenaran Mahkamah Cabar Tindakan KDN Rampas VCD

Wanita dibenar cabar rampasan CD guna 'Allah'.

Seorang wanita beragama Kristian mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk mencabar tindakan Kementerian Dalam Negeri merampas lapan CD ajaran agama Kristian yang mengandungi perkataan "Allah".

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman mengeluarkan perintah itu kepada Jill Ireland Lawrence Bill, 27, yang berasal dari Sarawak, untuk memulakan prosiding di mahkamah bagi mendapatkan tiga relif iaitu perintah certiorari bagi membatalkan keputusan kementeriaan merampas CD berkenaan, perintah mandamus bagi mengarahkan kementerian memulakangkan CD itu kepadanya, dan perintah bahawa dia berhak menyimpan, mengguna dan mengimport bahan penerbitan mengandungi perkataan "Allah".

Beliau mengeluarkan perintah itu dalam kamar selepas mendengar hujah peguam yang mewakili wanita itu, Annou Xavier dan Henry Teh, dan Peguam Kanan Persekutuan, Suzanna Atan, yang mewakili kementerian dan kerajaan, yang dinamakan sebagai responden.

Kesemua CD itu dirampas pada 11 Mei tahun lepas semasa Jill tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

Antara tajuk-tajuk CD berkenaan ialah "Cara Menggunakan Kunci Kerajaan Allah, Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah and Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah". Ia dibawa masuk dari Indonesia.

Jill, seorang kerani, mendakwa dia menggunakan "Allah" dalam amalan dan pendidikan agamanya dengan menggunakan Bahasa Malaysia, dan juga ALKITAB dalam Bahasa Indonesia yang menggunakan perkataan "Allah".

Katanya beliau menerima surat bertarikh 7 Julai tahun lepas dari Kementerian Dalam Negeri yang menjelaskan bahawa rampasan itu dibuat kerana CD itu mengancam keselamatan, mengandungi perkataan-perkataan yang dilarang dan melanggar garis panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

artikel asal : mStarOnline

Isu Agama Anak : Pakatan Rakyat berjaya memaksa kerajaan tarik balik ketetapan

Tekanan dari pihak Pakatan Rakyat telah berjaya memaksa kerajaan Barisan Nasional untuk bermesyuarat bagi mencari penyelesaian berhemah berhubung status agama anak apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk agama Islam membabitkan beberapa kementerian dan Jabatan Agama.

Menurut satu laporan Bernama hari ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom berkata mesyuarat tertutup itu juga berkemungkinan disertai oleh beberapa pertubuhan agama tetapi ia belum dimuktamadkan lagi.

Berikutan kenyataan dari Ketua Umum KeADILan Anwar Ibrahim semalam mahukan kerajaan BN menarik balik ketetapan bahawa status ugama anak saudara baru harus mengikut ugama asal mereka seperi yang dilaporkan.

Kenyataan BN telah dikecam hebat oleh semua pemimpin Pakatan Rakyat kerana BN tidak mengambil kira keputusan ulama dan undang-undang sivil bagi menanggani kes yang amat sensitif di mata masyarakat berbilang kaum dan agama dinegara ini.

Pakatan Rakyat juga telah mengambil langkah drastik dngan menubuhkan satu jawatankuas khas bagi membincangkan kes ini.

Jamil Khir berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Nazri Aziz yang bertanggungjawab mengenai perundangan dan Koh Tsu Koon yang bertanggungjawab mengenai isu perhubungan kaum bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai mesyuarat itu.

Antara kementerian yang akan terlibat dalam mesyuarat itu termasuk Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar “Kepimpinan Integrasi: Isu dan Cabaran dalam Perkhidmatan Awam” di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai pelbagai pendebatan mengenai keputusan Kabinet pada 22 April lepas di mana anak-anak di bawah umur kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing semasa berkahwin, walaupun ibu atau bapa mereka kemudiannya memeluk agama lain.

Jamil Khir berkata sehingga mesyuarat itu diadakan beliau tidak akan memberi sebarang ulasan berkaitan isu tersebut.

“Sehingga menunggu mesyuarat tersebut diadakan, akan ada kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan berkaitan yang akan mengambil tanggungjawab masing-masing untuk selesaikan isu itu,”katanya.

artikel asal : Suara KeAdilan

PAKATAN RAKYAT Kutuk UMNO Arahkan SUK Perak Hadkan Liputan DUN

Menteri Besar Perak Mohammed Nizar Jamaluddin mengalu-alukan semua media untuk menghadiri mensyuarat sidang Dewan Undangan Negeri Perak yang akan berlangsung pada 7 Mei ini.

“Saya amat mengalu-alukan semua jenis media termasuk ‘Media Baru’ dan mereka bebas membuat liputan semasa persidangan Dun berlangsung dan saya ingin nyatakan Pakatan Rakyat tidak sekali-kali pernah menghalang sebarang liputan media,” jelas beliau semasa sidang akhbar di ibupejabat KeADILan semalam.

Berikutan setiausaha dewan Abdullah Antong Sabri yang digantung Speaker V. Sivakumar telah mengeluarkan kenyataan tidak membenarkan media membuat liputan semasa sidang Dun pada 7 Mei dan hanya membenarakan media tertentu sahaja dapat masuk ke dewan.

Sivakumar, dalam satu kenyataan beliau hari ini memberitahu bahawa rakyat berhak mengetahui segala gerak-geri dan hujah wakil rakyat mereka di dalam Dewan Negeri seiring mendukung prinsip-prinsip demokrasi dan kebebasan media.

Sempena hari Kebebasan Media Sedunia 2009 yang sisambut semalam, Penasihat Agong Dap Lim Kit Siang berkata bahawa tindakan tersebut adalah sebagai satu diskriminasi dan ketidakadilan terhadap media yang tidak seharusnya berlaku.

“Saya merasa kesal atas tindakan demikian terjadi pada waktu seluruh dunia memperjuangkan hak dan kebebasan media. Ini adlah satu tindakan yang memalukan,” jelas beliau semasa sidang akhbar tersebut.

Berpegang kepada prisnsip itulah, maka Sivakumar telah membuat ketetapan membenarkan semua pihak media membuat liputan persidangan Dewan Negeri Perak pada 7 Mei ini.

“Semua media termasuk mana-mana media yang telah dihalang untuk masuk dewan diminta untuk membuat permohonan bertulis di Pejabat Speaker, Aras 2, Bangunan Perak Darul Ridzuan. Permohonan boleh dibuat mulai 9.00 pagi pada 4 Mei 2009.

“Saya akan mengeluarkan surat kebenaran kepada media-media mengikut pertimbangan saya,” katanya dalam kenyataan yang disiar dalam blognya.

artikel asal : Suara KeAdilan



klip video ehsan : greenboc

Monday, May 4, 2009

MUKTAMAR Tahunan PAS Pusat ke 55 : "Hanya ulama profesional layak jadi Presiden Pas," TG Nik Aziz

Hanya ulama profesional layak jadi Presiden Pas: Nik Aziz

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menegaskan hanya golongan ulama profesional yang layak memegang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu pada pemilihan yang akan diadakan bulan depan.

Beliau berkata, mereka yang ingin menawarkan diri bertanding jawatan tertinggi parti itu perlu bermuhasabah diri sama ada mereka benar-benar memenuhi kriteria yang ditetapkan parti.

"Pas parti pimpinan ulama. Memang dulu ulama tidak berpelajaran tapi kini ulama sudah banyak yang terpelajar dan pandai. Dia ulama dia jugalah profesional.

"Ulama dan profesional ni kita gabungkan. Dah lama dah selesai benda ni, sepatutnya tak timbul lagi isu," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman beliau di Pulau Melaka, dekat sini, hari ini.

Beliau mengulas pemilihan parti bulan depan yang dijangka menyaksikan saingan sengit untuk jawatan Timbalan Presiden yang dikaitkan dengan hala tuju sebenar parti.

Penyandang jawatan, Nasharuddin Mat Isa telah mengesahkan untuk mempertahankan jawatan itu.

Antara nama yang disebut-sebut akan mencabarnya ialah dua Naib Presiden, Datuk Husam Musa dan Mohammad Sabu, selain Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.

Bagaimanapun Husam hanya membayangkan untuk menawarkan diri bagi jawatan tersebut berdasarkan perkembangan semasa terutama apabila timbulnya keraguan tentang "hubungan sulit" Pas-Umno.

Kenyataan Nik Aziz itu senada dengan ketetapan Dewan Ulama Pas yang mahu dua jawatan tertinggi parti iaitu Presiden dan Timbalan Presiden perlu disandang oleh golongan ulama yang mempunyai pendidikan formal dan berpengetahuan tinggi dalam bidang agama.

Ketetapan yang dibuat Dewan Ulama Pas itu bagi memastikan dasar parti untuk menubuhkan sebuah negara Islam diteruskan pada masa akan datang.

Sebelum ini, Ketua Dewan Ulama, Datuk Mohamed Daud Iraqi, meminta anggota parti mengutamakan kepimpinan ulama kerana dua pemimpin tertinggi itu berperanan memberikan nasihat dan memastikan hala tuju parti bertepatan dengan ajaran Islam.

Berhubung rasa tidak senang hati sebilangan anggota parti itu terhadap pimpinan Pas yang pro-pakatan pembangkang, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan meminta supaya mereka yang tidak bersetuju akur dengan keputusan pimpinan.

"Saya sendiri pro-pakatan, kita dah buat perjanjian dalam Muktamar (Tahunan Pas) di Ipoh dulu. Pakatan ni benda baru, baru setahun. Tak boleh tegak selalu. Kadang-kadang dia mati. Macam Semangat 46 dulu, mati.

"Dalam Islam begitu juga. Zaman Nabi dulu ada orang murtad. Ini benda baru, apa yang peliknya," katanya.

artikel asal : BeritaHarian

LAGU UNTUK UMNO/BN DI PENANTI : MENGHITUNG HARI.. HARI DEMI HARI..

Keputusan Umno tanding di Penanti hari ini

Kedudukan sama ada Umno dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti akan diketahui hari ini, apabila Biro Politik Umno bermesyuarat bagi menentukannya.

Mesyuarat Biro Politik Umno itu akan dipengerusikan Perdana Menteri selaku Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Mengikut maklumat awal, mesyuarat berkenaan dijadual diadakan di Putrajaya dan keputusan mesyuarat dijangka diumumkan sebelum petang ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) minggu lalu menetapkan penamaan calon pilihan raya kecil Penanti pada 23 Mei, manakala pengundi 31 Mei.

artikel asal : BeritaHarian

SULTAN AZLAN PERKENAN BUBAR DUN SEBELUM 7 MEI?

Dalam pada persiapan menghadapi segala kemungkinan yang bakal berlaku pada sidang Dewan Undangan Negeri Perak mulai 7 Mei depan sedang rancak direncanakan oleh kerajaan kudeta Zambry, timbul pula desas desas di kalangan ahli politik Perak dan bisikan pihak istana bahawa Sultan Azlan Shah berkemungkinan besar akan memperkenankan permohonan Menteri Besar Pakatan Rakyat untuk membubarkan DUN sebelum pun DUN sempat bersidang.

Sumber-sumber memberitahu TV Antara, Sultan Perak akan terlebih dahulu memperkenankan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin untuk mengadap baginda bagi mempersembahkan permohonan pembubaran DUN dan dijangka baginda akan memperkenankan permintaan itu.

Kesimpulan ini dibuat memandangkan pergolakan politik Perak tidak mungkin reda dalam masa terdekat sejak Umno dan Barisan Nasional merampas kuasa daripada kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang dipilih melalui 52 peratus jumlah undi yang diperolehi semasa Piliha Raya Umum ke 12 tahun lalu.

Datuk Seri sebelum ini telah menulis dua kali kepada Sultan Perak bagi memohon mengadap baginda untuk berbincang mengenai pembubaran DUN setelah Umno dan BN "menculik" tiga daripada Ahli Dewan Undangan Negerinya dan memaksa mereka menyokong kerajaan kudeta Zambry.

Walau bagaimanapun pihak istana sampai kini belum lagi memberi apa-apa jawapan terhadap permintaan mengadap yang dipohon oleh Datuk Seri Nizar.

Pertama kali beliau menghantar surat berhubung perkara tersebut ialah pada 11 Mach lalu bagi memohon menghadap Sultan Azlan Shah bagi menyembahkan tiga resolusi yang diluluskan ketika sidang tegempar di bawah pokok di Ipoh pada 3 Mach.

Usul-usul itu ialah menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Nizar sebagai Menteri Besar, membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan dan mengesahkan keputusan Speaker V. Sivakumar melarang Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exco kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan dewan.

Susulan kepada surat pertama itu telah dihantar kepada istana sejurus sahaja Datuk Seri Nizar diisytiharkan menang pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang 7 April lalu.

artikel asal : TVAntara

SURAT SPEAKER KEPADA TUANKU SULTAN PERAK

Kenyataan Media YB. V.Sivakumar, Yang Dipertua Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan pada 4 Mei 2009.

Surat Speaker Kepada Tuanku Sultan Perak


Saya telah menulis surat kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Seri Sultan Perak Sultan Azlan Muhibuddin Shan pada hari ini. Surat telah dihantar ke Pejabat Istana Kinta lebih kurang jam 11.00 pagi. Saya telah memohon kepada Tuanku Sultan untuk mempertimbangkan supaya persidangan Dewan Negeri Perak ditangguhkan sehingga satu tarikh yang ditetapkan oleh Tuanku Sultan kemudian. Sidang Dewan Negeri Perak dijadualkan bermula pada 7 Mei 2009.

Saya membuat permohonan ini kerana kedudukan Menteri Besar Perak masih dalam pertimbangan mahkamah. Kes Dato Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Dato Seri Hj Mohammad Nizar Bin Jamaluddin sedang dalam proses perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Saya berpendapat bahawa adalah tidak munasabah sidang Dewan Negeri diadakan dalam kedudukan YAB Menteri Besar Perak yang masih dalam pertikaian di mahkamah.

Tambahan pula, saya juga merasa bimbang akan berlaku perselisihan dan pertelingkahan yang sukar dikawal pada hari tersebut. Pada jangkaan saya, kedua-dua pihak akan bertikam lidah mempertahankan pendirian masing-masing. Untuk menjaga keharmonian, kemuliaan dan kehormatan dewan, saya telah memohon kepada Tuanku Sultan menangguhkan persidangan ini buat sementara waktu.


YB. V.Sivakumar
Yang Dipertua Dewan
Negeri Perak Darul Ridzuan


artikel asal : http://speakforperak.blogspot.com/

Isu Zambry Guna Bomoh : Drs. Khalil Idham Lim Pertahan Kenyataannya

Idham pertahan isu 'bomoh' Zambry, jampi Dewan


Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Perak Pakatan Rakyat (BBC-PR) Drs. Khalil Idham Lim hari ini mempertahankan kenyataan yang dibuat semalam berhubung tindakan Dr Zambry Abdul Kadir membenarkan Dewan Negeri dimasuki oleh "bomoh" untuk menjampi kerusi speaker.

"Pada kesempatan ini saya ingin memberi penjelasan dan penegasan sekali lagi bahawa saya bukan orang yang mudah mengeluarkan kenyataan tanpa ada bukti dan alasan yanag kukuh.

"Oleh itu dalam persoalan ini saya mengulangi sekali lagi pendirian bahawa Dewan Negeri telah dimasuki oleh "Bomoh" dan saya mempersoalkan pihak yang bertanggung jawab kepada dewan negeri pada masa ini," katanya dalam blognya.

Selain itu beliau tidak berhajat menyeret mufti dalam isu tersebut namun jika di waktu kempen pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang Mufti sangat cepat mengeluarkan pandangan, adalah wajar memberi respon yang segera juga dalam hal terbabit.

"Mufti sangat cepat mengeluarkan pandanganmengenai hukum orang bukan Islam baca Quran, apalah salah saya kalau saya meminta mufti mengeluarkan pendapatnya menurut hukum Islam kalau Dewan sampai di jampi sedemikian rupa," katanya yang juga Adun Titi Serong.

Semalam dilaporkan Zambry telah membuat satu laporan polis berhubung kenyataan Idham itu yang turut mengaitkan isu provokasi dan gangguan pihak tidak bertanggungjawab terhadapa Adun-Adun Pakatan Rakyat menjelang Sidang Dun 7 Mei ini.

Berikut adalah antara petikan kenyataan Idham di dalam blognya baru-baru ini :-

"Oleh itu saya sebagai Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Perak Pakatan Rakyat (BBC-PR) yang juga ADUN Titi Serong bersama-sama ADUN PR yang lain menyatakan :-

1.Membantah tindakan semacam "provokasi" untuk menakut-nakutkan ADUN Pakatan Rakyat sebelum Sidang DUN pada 7 Mei depan.

2.Mempersoalkan apakah tujuan rumah ADUN berkenaan dilawati secara tidak diundang dan apakah tujuan gambar dan kehadiran ramai polis.

3. Kami akan sentiasa mematuhi undang-undang yang sedia ada dan sanggup berkerjasama dengan pihak keselamatan tetapi bukan dengan cara "tidak diundang" dan kami tidak tahu menahu dengan kehadiran mereka kalau tidak dimakulum oleh keluarga dan jiran.

4. Apakah kesalahan dan tindakan melanggar undang-undang yang telah dilakukan oleh ADUN Berkenaan ?

5. Pada kesempatan ini saya mempersoalkan tindangan Zambry dan BN membenarkan Dewan Negeri dimasuki oleh "bomoh" untuk menjampi kerusi speaker. Oleh itu saya mendesak Mufti Kerajaan Negeri Perak untuk mengeluarkan fatwa mengenai perkara tersebut."

artikel asal : HarakahDaily

'Rakyat berhak tahu gerak-geri wakil rakyat mereka' - V.Sivakumar

Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V. Sivakumar memberitahu bahawa rakyat berhak mengetahui segala gerak-geri wakil rakyat mereka di dalam Dewan Negeri seiring mendukung prinsip-prinsip demokrasi dan kebebasan media.

Berpegang kepada prisnsip itulah, beliau telah membuat ketetapan membenarkan semua pihak media membuat liputan persidangan Dewan Negeri Perak pada 7 Mei ini.

"Semua media termasuk mana-mana media yang telah dihalang untuk masuk dewan diminta untuk membuat permohonan bertulis di Pejabat Speaker, Aras 2, Bangunan Perak Darul Ridzuan. Permohonan boleh dibuat mulai 9.00 pagi pada 4 Mei 2009.

"Saya akan mengeluarkan surat kebenaran kepada media-media mengikut pertimbangan saya," katanya dalam kenyataan yang disiar dalam blognya.

Katanya beliau menggunakan Perintah-perintah 84 yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua Dewan Negeri untuk mengeluarkan kebenaran am kepada wakil mana-mana jurnal menghadiri persidangan dewan dan Perintah-perintah tetap ini juga membolehkan Yang Dipertua Dewan untuk membatalkan kebenaran yang diberi.

Arahan itu kata Sivakumar dikeluarkan untuk menjamin prinsip-prinsip demokrasi dan kebebasan media malah rakyat harus mengetahui apakah yang berlaku dalam persidangan secara telus.

"Tidak ada sebab untuk menghalang mana-mana media untuk membuat liputan. Rakyat berhak mengetahui segala gerak-geri wakil rakyat mereka di dalam Dewan Negeri,"katanya.

Sementara itu dalam bolgnya itu juga menjelaskan bahawa Dato' Setiausaha Kerajaan Negeri tidak boleh menghalang media untuk membuat liputan berpandukan kepada peruntukan yang ada dalam Perintah-Perintah Tetap 84, Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan

"Tuan Speaker boleh mengeluarkan kebenaran kepada wakil mana-mana jurnal kerana menghadiri persidangan Dewan di bawah apa-apa peraturan yang dikeluarkannya dari semasa ke semasa. Jika wakil itu melanggar peraturan-peraturan itu, maka kebenaran itu boleh dibatalkan.

"Adakah perintah-perintah tetap ini memberi kuasa kepada Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mengeluarkan arahan menyekat mana-mana media membuat liputan sidang? Bukankah arahan beliau untuk melarang beberapa media merupakan salahguna kuasa?," katanya.

artikel asal : HarakahDaily




klip video ehsan : greenboc

PAS, jangan kacau PKR di Penanti : TG Nik Aziz


Mursyidul am PAS berkata beliau tidak mahu anggota parti itu membuat kacau dan membelakangi perjanjian dengan sekutunya dalam Pakatan Rakyat dengan menuntut PAS meletakkan calon pada pilihanraya kecil DUN Penanti.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga menteri besar Kelantan, berkata PAS perlu berpegang pada janji yang dibuat dengan PKR berhubung pengagihan kerusi pilihanraya yang dibuat sebelum ini, lapor Bernama.

"Kalau itu kawasan PKR, hak dialah. Kita kena balik kepada perjanjian. Kita orang Islam pentingkan janji, jangan buat kacau, janji mesti sempurna.

"Macam di Kelantan, kita ikut perjanjian. Kita beri (kerusi) kepada PKR, dia nak menang ke, kalah ke, itu dia punya pasallah," beliau dipetik berkata di kediaman beliau di Pulau Melaka hari ini.

Nik Abdul Aziz mengulas desakan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd Hafiz Mohd Nordin supaya pimpinan parti itu menimbangkan untuk meletak calon PAS bertanding di DUN Penanti.

Kerusi itu kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya yang juga bekas timbalan satu ketua menteri Mohammad Fairus Khairuddin, 16 April lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 23 Mei dan hari pengundian 31 Mei.

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi
pendirian parti itu untuk menyokong calon PKR Mansor Othman dan keputusan itu adalah muktamad.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan beberapa faktor, antaranya, PKR telah bertanding di kawasan berkenaan pada pilihanraya umum tahun lepas dan memenanginya.

BN akan memutuskan hari ini, sama ada akan bertanding atau tidak pada pilihan raya kecil kali ini.

artikel asal : malaysiakini

Anwar rancang 4 hingga 5 pilihan raya kecil lagi?


Di tengah-tengah tanggapan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'penggerak' beberapa pilihan raya kecil sejak Ogos lalu, penganalisis meramalkan Ketua Umum Pakatan Rakyat itu akan 'mencetuskan' antara empat hingga lima pilihan raya kecil lagi menjelang pilihan raya umum ke-13.

Malah, penganalisis berpendapat bahawa penstrukturan semula kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang diumumkan Isnin lalu, kemungkinan merupakan antara strategi parti itu khususnya Anwar bagi menghadapi siri pilihan raya kecil.

Malah, Anwar yang juga Penasihat PKR dipercayai sudah mengambil langkah untuk membuka laluan bagi empat hingga lima pilihan raya kecil selepas ini.

Pilihan raya kecil keenam membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di bahagian Permatang Pauh, yang Anwar merupakan Ahli Parlimennya, diadakan hujung bulan ini.

Menjelaskan perkara ini, Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Prof Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, Anwar telah membentuk satu kepimpinan baru yang akan menjadi penggerak utama PKR bagi menghadapi satu demi satu pilihan raya kecil yang telah pun dirancangnya.

"Anwar dah tentukan pilihan raya kecil ini... beliau sudah tentukan di mana, tentukan cara peperangannya dan tentukan hasil pilihan raya itu.

"Saya jangkakan sebelum pilihan raya umum ke-13, akan ada empat hingga lima pilihan raya kecil lagi yang sudah pun dirancang oleh Anwar.

"Bila melihat senarai kepimpinan baru parti itu, maka itulah jagoan-jagoan PKR yang akan digunakan Anwar untuk menjayakan strategi itu," kata beliau ketika dihubungi mStar Online.

Isnin lalu, Anwar mengumumkan penstrukturan jawatan dalam PKR yang dikatakan bertujuan untuk memperkemaskan jentera, menggilap semula idealisme perjuangan, muhasabah bagi memperbaiki kelemahan, menjana kekuatan parti serta meningkatkan khidmat kapada rakyat.

Antara perubahan yang dilakukan adalah mewujudkan pasukan petugas yang dianggotai oleh semua Naib Presiden, diketuai Azmin Ali bagi memastikan kelayakan dan keberkesanan serta disiplin pimpinan negeri, bahagian, ahli-ahli Parlimen dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri.

Selain Presidennya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail diberikan semula peranan penting, Pengarah Strategik PKR, Saifuddin Nasution pula dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya pusat.

Sehubungan itu, Mustafa percaya Anwar hanya merancang untuk mengadakan pilihan raya kecil di kawasan-kawasan yang beliau yakin boleh peroleh kemenangan selese terutama di kawasan-kawasan yang kini sudah sedia diterajui PKR.

"Anwar hanya rancang (pilihan raya kecil) di kawasan yang mana dia yakin akan peroleh kemenangan lebih 70 peratus.

"Kalau kurang daripada itu, dia tidak akan berani. Dia hanya menumpukan terhadap kawasan yang dipegang oleh PKR... DAP dan PAS tidak akan buat begitu (rancang pilihan raya kecil)," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan siri pilihan raya kecil itu nanti bertujuan untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada perbicaraan kes liwatnya Julai ini.

Selain itu, Mustafa berkata, siri pilihan raya kecil itu juga bertujuan untuk memberi tekanan kepada Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang telah mengalami empat kekalahan dalam pilihan raya kecil sebelum ini.

"Anwar sengaja mengalihkan tumpuan Najib daripada menumpukan kepada ekonomi dan kebajikan rakyat kerana sibuk dengan politik.

"Najib telah pun dapat baca strategi Anwar ini dan sebab itu, beliau berkata, BN mungkin tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Penanti bulan depan," katanya.

STRATEGI ATASI MASALAH DALAMAN

Pensyarah sains politik Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Dr. Azeem Fazwan Ahmad Faruq mempunyai pandangan berbeza.

Katanya, PKR sememangnya perlu kepada perubahan struktur dalaman parti memandangkan masalah yang dihadapi mereka.

"Pergeseran kumpulan tertentu dalam PKR telah menjejaskan imej parti dan pergeseran itulah yang membawa krisis dalaman contohnya isu (bekas ADUN Penanti) Mohammad Fairus (Khairuddin) yang mana ada kumpulan dalam PKR sendiri yang tidak berpuas hati dengan pencapaian beliau sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang.

"Dalam politik ini, memang ada yang berkhidmat kepada parti secara sukarela tetapi ada juga yang mahu mendapatkan sesuatu habuan termasuk jawatan," katanya.

Jelas beliau, terdapat beberapa golongan dalam PKR yang mempunyai aliran yang berbeza sehingga membawa kepada ketidaksepakatan dalam parti itu.

"Mungkin dengan penstrukturan semula parti itu, hal ini dapat diatasi dan sedikit sebanyak akan memperkukuhkan lagi parti.

"Kesannya mungkin kita dapat lihat dalam pilihan raya kecil Penanti bulan depan jika ada pertandingan," katanya.

PKR TIDAK MANTAP

Sementara itu, pensyarah Pembangunan Sosial Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, perubahan itu wajar dilakukan memandangkan struktur PKR pada masa ini tidak begitu mantap.

"Masa pilihan raya umum 8 Mac lalu, PKR tidaklah kuat sangat. Mereka hanya letak calon bertanding untuk menang, bukan untuk memantapkan pentadbiran parti," katanya.

Ahmad Atory berkata, mengikut kajiannya, terdapat banyak bahagian PKR yang hanya mempunyai Ketua Bahagian tanpa ada struktur organisasi yang tersusun.

"Bahagian ada tapi hanya mempunyai ketua, sementara ahli-ahli yang lain tidak tentu hala.

"Selain itu, ada juga bahagian yang masih belum mempunyai cawangan.

"Kemungkinan dengan struktur yang baru ini, mereka boleh merancang struktur parti yang lebih mantap termasuk mendaftar cawangan-cawangan kerana kalau cawangan tidak berdaftar, bagaimana mereka mahu mengadakan mesyuarat," katanya.

Beliau berkata, perubahan PKR itu adalah sejajar dengan perubahan kepimpinan Umno yang baru sahaja berlaku MAc lalu.

"Umno sudah bertukar (kepimpinan), jadi PKR pun perlu lakukannya. Pada Jun ini, PAS juga akan membuat perubahan kepimpinan dalam pemilihannya.

"Semua ini adalah satu persediaan dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti kerana semua parti pastinya 'bernafsu besar' untuk memenangi pilihan raya itu," katanya.

artikel asal : mStarOnline

Guna Bomoh Jampi Speaker DUN V. Sivakumar : ZAMBRY LAPOR POLIS ADUN TITI SERONG, DRS. KHALIL IDHAM LIM

Guna bomoh, Zambry buat laporan polis

Oleh KUMARA SABAPATTY
kumara.sabapatty@kosmo.com.my


ZAMBRY menulis laporan polis malam tadi mengenai dakwaan beliau membenarkan bomoh memasuki Dewan Undangan Negeri Perak.



IPOH - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir membuat laporan polis terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim Abdullah berhubung dakwaan beliau menggunakan bomoh kononnya untuk menjampi kerusi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), V. Sivakumar.

Menurut Zambry, beliau tidak akan bertoleransi dengan tuduhan liar yang dibuat oleh Khalil melalui laman blognya idhamlim.blogspot.com.

"Tindakan Khalil adalah bagi menanam kebencian rakyat menjelang sidang DUN yang bakal bersidang 7 Mei ini.

"Tuduhan yang dikeluarkan oleh seorang yang bergelar Yang Berhormat (YB) itu adalah bahaya dan boleh mencetuskan kemarahan rakyat," kata beliau pada sidang akhbar khas yang diadakan di kediamannya di Taman Golf di sini.

Sidang akhbar itu diadakan selepas beliau membuat laporan di Balai Polis Kampung Rapat di sini pada pukul 8.45 malam tadi.

artikel asal : KosmoOnline

PAS tidak cabar PKR di Penanti

PAS tidak akan meletakkan calonnya di DUN Penanti dalam pilihanraya kecil hujung bulan ini walaupun ada desakan dari dalam parti itu sendiri, lapor Bernama.

"(Keputusan) ini kerana PAS tertakluk kepada perjanjian yang telah dipersetujui dalam Pakatan Rakyat.

"Semua parti dalam Pakatan telah bersetuju, jika berlaku pilihanraya kecil, calon yang bertanding mestilah daripada parti yang bertanding pada pilihanraya umum sebelum itu," kata pengarah pilihanraya PAS Datuk Mustafa Ali.

Selain PAS kawasan Permatang Pauh - yang tidak akan menurunkan jentera kempennya dalam pilihanraya antara 23 hingg 31 Mei sebagai membantah calon PKR - desakan yang serupa dibuat oleh ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd Hafiz Mohd Nordin.

Kerusi DUN tersebut kosong susulan peletakan jawatan Mohammad Fairus Khairuddin 16 April lalu, tidak lama selepas melepaskan jawatan-jawatan exco negeri dan timbalan satu ketua menteri 1 Pulau Pinang.

PKR mencalonkan Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, sementara BN belum menamakan calonnya.

artikel asal : malaysiakini



klip video ehsan : greenboc

DEMO BANTAH KABINET ISU AGAMA ANAK

Pemuda PAS hari ini menganjurkan perhimpunan ringkas membantah keputusan kabinet berhubung pengekalan agama asal anak walaupun ibu atau bapanya telah memeluk Islam.

Dengan plakad putih bertulisan "tarik balik", lebih kurang 100 penyokong parti itu berkumpul kira-kira 15 minit selepas solat Jumaat di perkarangan masjid Kampung Baru.

Dalam ucapan ringkasnya, ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad menyifatkan keputusan kabinet itu tidak dibuat mengikut saluran yang betul.

"(Oleh itu) kita berikan tekanan kepada kabinet supaya tarik balik keputusan ini," katanya.

Selain dihalang polis, mereka juga memberhentikan dengan segera demonstrasi kecil itu selepas pentadbiran masjid menegur penganjur yang dianggap "tidak menghormati" satu majlis di pusat ibadat itu.

Selain Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, perhimpunan itu turut dianjurkan oleh Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Dewan Pemuda PAS pusat.


Dalam satu kenyataan awalnya, Kamaruzaman menganggap keputusan kabinet pada 23 April sebagai "paling biadap terhadap Yang di-Pertuan Agong, mufti, Parlimen dan juga sistem kehakiman negara."

"Sesungguhnya kabinet sedar bahawa mereka hanyalah berkuasa dalam sudut eksekutif bukannya legistatif dan kehakiman.

"Maka tidak selayaknya mereka mengeluarkan keputusan dan arahan melangkaui bidang kuasa mereka terutamanya dalam isu yang membabitkan soal agama," katanya.

Keputusan jemaah menteri itu pernah dibantah oleh beberapa NGO Islam, termasuk Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Selain keputusan membesarkan anak di bawah umur mengikut agama asal ibu bapanya, kabinet juga memutuskan pasangan yang memeluk Islam harus menyelesaikan segala isu berkaitan perceraian dan penjagaan anak-anak di mahkamah sivil.

Langkah itu selaras dengan pendirian jemaah menteri bahawa enakmen syariah hanya boleh digunakan terhadap perjanjian berkaitan perkahwinan yang dibuat bermula dari tarikh individu itu memeluk Islam dan bukannya sebelum itu.

Keputusan terbaru kabinet itu berdasarkan pandangan jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menyelesaikan kes K Pathmanaban, atau nama Islamnya Mohd Ridzuan Abdullah, dengan bekas isterinya M Indira Ghandi.

Lelaki itu menukar agama tiga anak mereka sejak penghujung tahun lepas.

artikel asal : malaysiakini

Isu Agama Asal : Pakatan Rakyat Mencapai Kata Sepakat Dalam Hak Menentukan Agama Anak, Membabitkan Pasangan Yang Bercerai

Pakatan Rakyat telah membentuk sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji undang-undang syariah peringkat negeri yang berkaitan dengan status agama kanak-kanak apabila salah seorang ibu bapa mereka menganut Islam.

Justeru, jawatankuasa tersebut juga mengadakan perbincangan dengan pemimpin agama, pakar perundangan serta mereka yang berkaitan.

Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Kabinet telah gagal dalam mendapatkan pandangan beberapa agensi sebelum memutuskan bahawa kanak-kanak bawah umur harus dibiarkan mengikuti agama ibu bapanya pada waktu perkahwinan mereka. "Kami juga hendak menekankan bahawa Islam menggalakkan kebebasan beragama dan menegaskan bahawa ia tidak membenarkan tekanan digunakan apabila menentukan agama seseorang," kata beliau selepas pertemuan Pakatan Rakyat di sini.

Turut hadir ialah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dand Penasihat DAP Lim Kit Siang.

artikel asal : mStarOnline



klip video ehsan : greenboc

Friday, May 1, 2009

Nizar: ADUN Pakatan tetap hadir sidang DUN Perak 7 Mei

SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar (tengah) bersama Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (kiri) dan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham (kanan) pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama Anggota Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat hari ini. Mesyuarat itu mengambil keputusan untuk tidak memboikot persidangan Dewan Undangan Negeri Perak yang dijadualkan pada 7 Mei depan. --fotoBERNAMA

Pakatan Rakyat hari ini membuat keputusan bahawa semua wakil rakyat mereka akan menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 7 Mei ini, kata bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammadd Nizar Jamaluddin.

Beliau berkata, keputusan itu adalah muktamad walaupun sebelum ini ada kenyataan mengatakan Pakatan Rakyat akan memboikot sidang DUN tersebut. "Soal memboikot kini tidak timbul dan kita akan memberi kerjasama sepenuhnya semasa persidangan berkenaan.

"Saya berharap persidangan itu mengikut segala peraturan sebagaimana yang diagendakan dan kita akan mengikut apaapa ketetapan yang akan dibuat oleh Speaker," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Ahli DUN (ADUN) Pakatan Rakyat di sini hari ini.

Beliau juga berharap semua pegawai yang ditugaskan pada sidang DUN itu akan mengikut perintah daripada Speaker dan menegaskan semua ADUN Pakatan Rakyat juga akan patuh dan akur apa saja arahan Speaker.

Sementara itu Speaker, V. Sivakumar ketika ditanya mengenai usul pelucutan jawatan beliau mengakui memang ada usul yang telah diterima berkaitan perkara itu tetapi menegaskan pihaknya belum membuat apa-apa keputusan lagi.

Beliau berkata, sebelum persidangan pada 7 Mei ini berlangsung, banyak isu akan dibangkitkan beliau melalui perbincangan dengan pihak polis, Setiausaha Kerajaan Negeri dan pihak yang terlibat dalam persidangan tersebut.

artikel asal : mStarOnline




klip video ehsan : greenboc

Thursday, April 30, 2009

Kes Adnan Yaakob : 6 Mei dengar permohonan penangguhan bayaran penghakiman berjumlah RM63 juta

6 Mei untuk dengar permohonan MB Pahang

Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 6 Mei ini bagi mendengar permohonan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, untuk penangguhan keputusan bayaran penghakiman berjumlah RM63 juta kepada sebuah syarikat kerana didakwa melanggar perjanjian pemberian konsesi pembalakan di Pekan dekat sini.

Hakim Datuk V T Singham menetapkan tarikh itu selepas mahkamah diberitahu bahawa peguam utama Menteri Besar, Datuk Mohammad Shafee Abdullah, terbabit dalam kes lain di Mahkamah Rayuan.

Syarikat Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd yang diwakili peguam Rajoo D Moothy tidak membuat bantahan pelaksanaan perintah mandamus yang sepatutnya berakhir 4 Mei ini ditangguhkan.

Pada 20 April lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Halim Aman memutuskan bahawa Adnan perlu melunaskan bayaran penghakiman dalam tempoh 14 hari selepas membenarkan permohonan perintah 'mandamus' (untuk memaksa) kepada syarikat pembalakan tersebut.

Pada 17 September tahun lalu, kerajaan Pahang diperintah membayar RM60 juta kepada syarikat itu selepas ia gagal dalam usaha terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mendapat kebenaran merayu.

Mahkamah Persekutuan dengan itu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 memerintahkan kerajaan Pahang membayar RM37,127,471.60 beserta faedah lapan peratus setahun mulai 31 Disember 2000.

artikel asal : BeritaHarian

Isu Agama Anak : Bantahan Berterusan Keputusan Kabinet Dari NGO Islam

klip video ehsan : tvpas09

Pembela pertahan umat Islam dari konflik tukar agama

Kami pertubuhan-pertubuhan NGO Islam yang bergabung di bawah PEMBELA menyeru seluruh lapisan rakyat Malaysia agar bertenang dalam menghadapi kemelut berkenaan dengan isu agama yang tercetus kembali baru-baru ini susulan kes Muhammad Ridzuan Abdullah dan Indira Ghandi.

Seruan ini berasaskan pada kebimbangan kami bahawa isu ini boleh memberi kesan langsung kepada keharmonian hubungan di antara kaum di negara ini.

Perbicaraan ini masih dijalankan, baik di Mahkamah Syariah mahupun Sivil.

Justeru, PEMBELA berpandangan proses undang-undang perlu dibiarkan berjalan tanpa tekanan dari mana-mana pihak.

Kami ingin merayu semua pihak yang berkenaan dan pihak yang mempunyai kepentingan supaya jangan mengambil kesempatan dan memperalatkan perbezaan yang timbul di antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil.

Sehingga keharmonian undang-undang dapat dipersetujui, PEMBELA meminta semua pihak menghormati undang-undang syariah dan undang-undang sivil.

PEMBELA tetap mematuhi ajaran Islam dan akan terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab membela hak-hak orang Islam dan masyarakat Malaysia secara umumnya secara adil dan saksama.

PEMBELA sedang menjalankan kajian mendalam berkaitan konflik undang-undang syariah dan sivil dan bersedia mencari penyelesaian dengan mana-mana pihak.

Dalam menangani sebarang konflik membabitkan perundangan syariah dan sivil, PEMBELA menyarankan satu penyelesaian jangka panjang harus diusahakan agar ia mampu membawa kebaikan kepada semua pihak terbabit.

Sebarang perbezaan pendapat harus disalurkan menerusi proses perbincangan ilmiah membabitkan pelbagai pihak agar semua perbezaan ini dapat diselesaikan serta tidak menjejaskan kestabilan negara.

Kami juga menyeru agar umat Islam berterusan dalam bermunajat kepada Allah SWT dengan mengadakan solat hajat dan berdoa agar penyelesaian isu ini dapat dicapai dengan baik dan keharmonian Malaysia dapat ditingkatkan atas semangat persefahaman, muhibbah dan setiakawan di antara semua kaum.

Kenyataan Media
Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)
29 April 2009 / 4 Jamadilawal 1430.

artikel asal : HarakahDaily

Pilihanraya Kecil di Selangor?



ADUN Kota Alam Shah, M Manoharan yang sedang ditahan di bawah ISA, dipercayai sedang menimbang untuk mengosongkan kerusi tersebut, demikian Malaysiakini difahamkan.

Satu sumber yang rapat dengan peguam tersebut berkata, beliau semakin kecewa kerana tidak dapat memberi khidmat kepada para pengundinya di DUN tersebut.

"Beliau juga menyedari bebanan yang ditanggung oleh isterinya yang terpaksa menjadi wakilnya semasa ketiadaannya sekarang," tambah sumber itu.

"Isterinya, S Pushpaneela (kanan), terpaksa membahagikan masanya antara menjadi empat anak-anak mereka, menjaga firma guamannya dan kawasan pilihanrayanya.," kata sumber itu lagi.

Manoharan ditahan di bawah ISA pada 13 Disember 2007 bersama empat lagi pemimpin Hindraf.

Beliau merupakan penasihat undang-undang Hindraf, yang telah diharamkan oleh kerajaan.

Manoharan bertanding atas tiket DAP di DUN Kota Alam Shah, Selangor dalam pilihanraya umum tahun lalu, dan berjaya menewaskan calon BN dari Greakan, Ching Su Chen dengan majoriti 7,184 undi.

artikel asal : malaysiakini





klip video ehsan : greenboc

MANOHARA ODELIA PINOT : Kemunculannya Menepis Dakwaan Ibunya dan Media AntaraBangsa



klip video ehsan : malaysiakini

Boikot media: Mencabar kebebasan atau membantah ketidaktelusannya?

Apabila kerajaan negeri Pulau Pinang menghalang wartawan sebuah syarikat akhbar daripada membuat liputan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) baru-baru ini, reaksi diberikan masyarakat umum agak pelbagai.

Sebahagian mereka melihat rasional di sebalik tindakan kerajaan Pakatan Rakyat itu. Apatah lagi dimaklumkan keputusan itu dibuat setelah mengambil kira peranan dimainkan media terbabit dalam memburukkan kerajaan negeri.

Beberapa laporan dan sorotan dibuat akhbar itu sebelum ini membabitkan isu-isu pemerintahan Pakatan Rakyat Pulau Pinang dikatakan amat menyimpang daripada kebenaran. Ia malah dianggap mengandungi unsur-unsur putar belit yang berniat serong disulami kepentingan parti pemerintah negara.

Satu pihak lain mempertikaikan ketelusan kerajaan Pakatan Rakyat atas larangan itu. Malah mereka beranggapan tindakan menghalang wartawan akhbar terbabit menyertai rakan mereka membuat liputan persidangan itu amat bertentangan dengan prinsip kebebasan media.

Antara mereka, ada yang menyoal, bukankah selama ini para pemimpin Pakatan Rakyat yang menjadi juara memperjuangkan prinsip kebebasan itu? Ke manakah perginya prinsip diperjuangkan itu dalam kes ini?

Ekoran pertembungan tanggapan itu, timbul pula persoalan lain. Apakah motif dan alasan sebenar di sebalik tindakan memboikot media tersebut? Apakah tindakan itu pula boleh dianggap mencabar kebebasan media, atau ia sebenarnya satu menifestasi rasa kecewa terhadap sikap tidak bertanggungjawab agensi media terbabit dalam laporan-laporannya?

Persoalan-persoalan itu akan segera mengingatkan kita kepada beberapa siri pemboikotan media yang pernah terjadi sebelum ini. Seingat kita, PAS adalah antara parti paling kerap melancarkan boikot terhadap media ini.

Pernah suatu ketika lebih dua dekad lalu, parti itu bermuktamar tanpa sebarang liputan media. Parti itu mengharamkan terus semua wartawan, termasuk dari akhbar-akhbar nyamuk daripada mengikuti perjalanan persidangan tahunan itu.

Malah ada sebuah akhbar Inggeris yang terlalu kecewa tidak dapat mengeksploitasi isu-isu sepanjang muktamar itu mengubah istilahnya sebagai ?mute-tamar? bagi menggambarkan 'kebisuan' perjalanan persidangan itu dari sebarang liputan media.

Kemudian ada pula pemboikotan lebih terpencil. Pada 16 Mei 1999, sekumpulan ahli PAS di Durian Daun, Melaka mendapat perhatian media apabila melakukan upacara pengebumian terhadap beberapa akhbar tempatan. Mereka menggali lubang dan 'menguburkan' naskhah akhbar tertentu disaksikan orang awam.

Sejurus selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-10 menyusul pula pemboikotan media lebih meluas oleh parti-parti pembangkang. Pada 1 Februari 2000, mereka sepakat mengumumkan memboikot akhbar-akhbar Utusan Malaysia, New Straits Times dan stesen televisyen TV3.

Ketiga-tiga kumpulan media ini didakwa secara sengaja dan bersangatan memutar belitkan fakta dan menggunakan cara mengancam serta menggertak untuk memaksa para pengundi supaya mengundi parti kerajaan yang berkuasa (Barisan Nasional).

"Islam telah digambarkan sebagai agama yang zalim dan undang-undang Islam digambarkan sebagai bersifat primitif dan liar. Media tersebut juga menakut-nakutkan rakyat dengan membuat ramalan bahawa rusuhan dan sengketa kaum akan tercetus ? sama seperti yang terjadi 30 tahun lalu pada tahun 1969 ? jika kerajaan yang ada gagal mempertahankan kelebihan suara dua pertiga," baca risalah boikot media dikeluarkan parti pembangkang.

Menurut risalah itu lagi, tujuan utama pemboikotan itu ialah lebih merupakan satu proses 'pendidikan politik demokrasi' terhadap rakyat negara ini.

Dalam konteks politik, media adalah salah satu institusi sosial paling penting dalam sistem pemerintahan demokrasi. Ia memungkinkan rakyat mendapat maklumat yang tepat dan sepenuhnya untuk mereka dapat membuat pilihan yang saksama antara pelbagai parti yang menawarkan pelbagai dasar dan pendekatan.

Selaku pemilih, rakyat ada hak mendapatkan maklumat yang benar dan tepat mengenai sesuatu perkara atau pihak. Maka peranan media ialah melaporkan secara telus, adil dan bertanggungjawab.

Kegagalan sebilangan media arus perdana memainkan peranan secara bertanggungjawab menyebabkan timbul rasa kecewa di kalangan rakyat. Apatah lagi ada ketikanya mereka dijadikan mangsa dan sasaran putar belit media berkenaan.

Media yang sepatutnya menjadi suara hati nurani rakyat sebaliknya menjadi tali barut dalam kegiatan mengancam rakyat dan mengeruhkan keadaan. Media yang dikuasai kerajaan itu tidak lagi menjadi sumber maklumat yang bertanggungjawab dan berwibawa. Sebaliknya ia lebih terjelma sebagai alat propaganda dan saraf untuk parti pemerintah.

Bertolak daripada hakikat itu, pemboikotan media tertentu oleh parti-parti politik tertentu ada asasnya. Ia mungkin sedikit terbabas dari landasan perjuangan kebebasan media. Namun isu utama di situ bukannya mencabar kebebasan, tetapi lebih kepada membantah ketidak telusan dan pencabulan etika kewartawanan diamalkan media terbabit.

artikel asal : HarakahDaily

Henti guna blog perlekeh pemimpin lain - Dewan Ulamak PAS Pusat

Selepas beberapa hari media harian yang dekat dengan Umno menggamatkan isu dicetuskan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Nik Abdul Nik Abdul Aziz, hari ini Dewan Ulamak PAS Pusat tampil meminta dihentikan polemik tersebut.

Ketuanya, Dato' Mohamed Daud berkata, amat tidak wajar sekali sekiranya laman blog digunakan untuk kebaikan parti menjadi medan mendedahkan keburukan orang lain.

"Perbuatan itu jelas merugikan parti sendiri. Kami berharap semua pihak menghentikan pelbagai spekulasi serta andaian peribadi berhubung kerajaan perpaduan dalam blog masing-masing.

"Anggota parti juga diingatkan tidak menyerang atau cuba menonjolkan orang tertentu yang diminatinya kerana ia akan mewujudkan kesan yang negatif," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Baru-baru ini Nik Abduh yang juga anak kepada Mursyidul Am PAS menulis dalam blognya menghentam pembantu bapanya berkaitan isu kerajaan perpaduan yang pernah dicadangkan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ekoran itu media berjaya mencipta fenomena baru bagi memburukkan PAS menjelang muktamar tahunan yang akan diadakan Jun depan di Shah Alam.

Mohamed yang lebih dikenali sebagai Ustaz Mat Iraqi berkata individu tidak boleh mengeluarkan kenyataan secara terbuka berkenaan cadangan kerajaan perpaduan memandangkan ia telah disepakati akan diputuskan pada muktamar nanti.

Menurutnya sebelum ini mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat, Majlis Syura Ulamak, Jawatankuasa PAS Pusat telah membuat ketetapan isu kerajaan perpaduan akan diputuskan dalam muktamar Jun ini.

"Maka orang perseorangan tidak boleh membuat sebarang kenyataan terbuka mengenai perkara itu kerana ia akan menggelirukan orang ramai.

"Bukan itu sahaja ia juga akan memberikan ruang kepada pihak musuh untuk mempermainkan isu terbabit seperti yang berlaku sekarang," ujarnya.

Beliau turut mengingatkan anggota parti tidak mengunakan blog untuk mendedahkan perkara negatif mengenai orang lain kerana ia akan menguntungkan pihak musuh.

"Kita sebagai sebuah parti Islam dan tentunya perjuangan dan cara kita juga tidak sama dengan pihak lawan," ujarnya.

Ditanya mengenai ada kawasan yang mahu jawatan tertinggi parti dipertandingkan katanya, sewajarnya jawatan utama tidak dipertanding dan terus diterajui kepimpinan ulama.

Bagaimanapun beliau berpendapat bagi jawatan naib presiden dan anggota jawatankuasa perlu ada gandingan di antara profesional dan ulama.

Ditanya lanjut mengenai kerajaan perpaduan beliau berkata, Dewan Ulamak tiada masalah untuk menyokong cadangan itu sekiranya perundangan negara dan ekonomi berjalan mengikut lunas-lunas Islam.

"Namun persoalannya adakah pihak lain boleh menerima kerajaan perpaduan itu bergerak mengikut acuan Islam," katanya.

artikel asal : HarakahDaily


Penjelasan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, AJK PAS Pusat

klip video ehsan : tvpas09

MAHFUZ SIFATKAN MCA APIKAN PERKAUMAN

Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan MCA mengapi-apikan sentimen perkauman apabila mendakwa kritikannya terhadap keputusan kabinet mengenai status agama anak kepada pasangan yang menukar agama menunjukkan pendirian PAS yang menekan hak rakyat bukan Islam.

"Saya mengecam keputusan kabinet (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) itu kerana ia membuktikan Umno dan Barisan Nasional (BN) semakin kasar terhadap rakyat sehingga ke peringkat merampas hak ibu bapa ke atas anak-anak mereka.

"Malah, keputusan kabinet yang menekan hak ibu atau bapa yang menukar agama itu juga merampas kuasa mahkamah kerana kes seperti itu boleh dirujuk kepada mahkamah untuk membuat keputusan bagi mengelakkan mana-mana pihak merasa tertindas dan dinafikan hak mereka," jelas beliau.

The Star hari ini melaporkan Timbalan Setiausaha Agung MCA, Datuk Loke Yuen Yow menyifatkan kritikan Mahfuz terhadap keputusan kabinet itu menunjukkan pendirian PAS menekan hak rakyat bukan Islam.

Beliau juga menyifatkan kritikan Mahfuz itu menunjukkan PAS tidak mengetepikan matlamatnya untuk menubuhkan negara Islam.

Mahfuz menyifatkan dakwaan Loke bahawa PAS menekan hak rakyat bukan Islam sebagai sengaja mengapi-apikan sentimen perkauman kerana apa yang beliau persoalkan itu ialah keputusan kabinet yang merampas hak ibu bapa sedangkan negara ini masih ada mahkamah untuk membuat keputusan.

"Kenyataan saya mempertahankan hak asasi ibu bapa ke atas masa depan serta pegangan agama anak-anak mereka kerana keputusan kabinet itu bukan sahaja merampas hak ibu bapa malah merampas kuasa mahkamah dengan membuat keputusan yang berat sebelah.

"Adalah tidak adil Loke mengambil kesempatan untuk mencari sokongan kepada partinya dengan menggunakan kenyataan itu untuk mengapi-apikan sentimen perkauman sempit," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz mempersoalkan mengapa kabinet mendahului kuasa mahkamah dalam soal itu.

Kabinet, katanya, membuat keputusan yang bercanggah dengan keputusannya supaya perkara itu diserahkan kepada mahkamah kerana pada masa yang sama memutuskan bahawa anak kepada pasangan yang menukar agama yang masih di bawah umur hendaklah dibesarkan mengikut agama asal ibu bapa mereka semasa melangsungkan perkahwinan.

"Mengapa kabinet Najib merampas kuasa mahkamah?

"Kalau hak ibu bapa ke atas masa hadapan anak-anak mereka dirampas, kuasa mahkamah dirampas dan kita pula mendiamkan diri, akhirnya nanti kabinet merasa bebas untuk mengambil alih dan merampas apa sahaja," katanya.

Mahfuz berkata, pihaknya tidak mampu menghalang jika Loke dan MCA mahu menyokong keputusan kabinet yang merampas hak ibu bapa dan kuasa mahkamah itu tetapi PAS tidak akan berdiam diri terhadap perkara itu.

artikel asal : HarakahDaily

Zambry oohhh Zambry...

Zambry tetap berkeras meneruskan Sidang DUN walaupun Mahkamah Persekutuan menolak permohonan beliau sebagai MB Perak dengan alasan Sultan Perak memberi perkenan untuk mengadakan Sidang DUN dan akan mengemukakan usul pemecatan Speaker V. Sivakumar



klip video ehsan : greenboc

Wednesday, April 29, 2009

Najib makin sukar mengelak campur tangan Mahathir

Bertanding di Penanti: Keputusan Najib atau Mahathir

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak semakin sukar membuat keputusan sama ada bertanding atau tidak dalam pilihan raya kecil di Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti pada 31 Mei ini.

Pertama, Najib makin sukar mengelak campur tangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pemerintahan beliau.

Mahathir mula menyusun anaknya Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz dalam Kabinet Najib dan mencantas musuh politik beliau dan anaknya. Beliau makin berani mengkritik ahli Kabinet yang tidak disukainya.

Projek Jambatan bengkok bagi menggantikan tembok Johor mula berbangkit kembali menggambarkan semakin ketara peranan Mahathir dalam pemerintahan Najib.

Kedua, walaupun baru menyertai semula Umno, Mahathir sudah campur tangan dalam soal parti tersebut. Selaku Presiden, Najib mengambil keputusan untuk tidak menyertai pilihan raya kecil di Dun Penanti.

Najib memberi alasan yang cukup kukuh sehingga pemimpin parti sekutu Barisan Nasional (BN) bersetuju dengan pendapat beliau. Malah ada yang mencadangkan BN tidak menyertai pilihan raya itu tetapi meletakkan calon bebas supaya Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menang mudah.

MCA dan Gerakan menyatakan sokongan padu supaya tidak bertanding di Penanti. Ada setengahnya berpendapat jangan dilayan karenah Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon menyokong cadangan Najib kerana mendakwa pilihan raya kecil itu berpunca daripada masalah dalaman pakatan rakyat.

Naib presidennya, Huan Cheng Guan turut menyokong cadangan Najib itu bagi mengelak pembaziran wang dan tenaga, tetapi menyarankan agar kepimpinan BN supaya menghalang ahlinya daripada bertanding sebagai calon bebas.

Setiausaha agung MIC, Datuk Dr S Subramaniam, berkongsi pandangan dengan Najib bahawa tidak perlu bertanding kerana ia membazirkan masa, tenaga dan wang rakyat.

Tambah Subramaniam, masa yang dibazirkan dalam pilihan raya tersebut boleh dimanfaatkan untuk tujuan lain yang berfaedah.

Sebaliknya bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata BN tidak sepatutnya mengaku kalah dan perlu meletakkan calon dalam pilihan raya kecil Dun Penanti, Pulau Pinang.

"Saya fikir kalau kawasan itu kawasan Umno, kita tentu bertanding, ini pasal kita ingat ini kawasan parti lawan, kita tak nak bertanding. Jadi kalau kita nak tunggu kawasan Umno, nanti tidak ada kawasan Umno, kita tak bertandinglah," katanya.

Teguran Mahathir ini merunsingkan Najib. Jika BN bertanding bermakna, rakyat melihat beliau semakin dipengaruhi Mahathir . Beliau sudah tidak mempunyai pendirian tetap dan tersendiri. Beliau boleh dipengaruhi sewenangnya.

Sedangkan keputusan awal yang dibuat beliau supaya tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Penanti disokong majoriti pemimpin sekutunya dalam BN tetapi akhirnya beliau kendur dengan pendapatnya sendiri.

Kenapa? Hanya bermula daripada teguran Mahathir. Sebagai langkah selamat untuk mengelak keputusannya dikuasai Mahathir beliau dikatakan mengarah supaya dibuat tinjauan pendapat Umno bawahan sama ada setuju menyertai pilihan raya atau tidak.

artikel asal : HarakahDaily

Baik punya cadangan!!! Rais Yatim dan Jamil Khir???

Kementerian Penerangan perlu peka dengan rancangan hiburan


SAYA yakin dan percaya rakyat Malaysia masih terkejut dengan aksi berani Bintang Paling Popular 2008, Nabil apabila beliau memeluk kekasihnya Irma Hasmi di khalayak ramai yang mana siarannya ditonton jutaan rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai lapisan umur daripada anak-anak kecil sehinggalah orang dewasa secara langsung di kaca televisyen melalui Anugerah BIntang Popular- Berita Harian 2008. Alasan yang diberikan oleh beliau adalah beliau terlampau terkejut dengan kemenangan yang diraihnya dan itu merupakan aksi spontan dan beliau menyatakan itu adalah kali pertama beliau berperangai sedemikian. Saya tidak berminat untuk tahu adakah itu kali pertama beliau memeluk kekasihnya atau tidak, tetapi saya yakin dan percaya, rakyat Malaysia yang masih menghormati adat dan tata susila dan berpegang teguh kepada ajaran agama Islam dan budaya masyarakat Timur sukar menerima perbuatan Nabil yang keterlaluan.

Bukan sahaja perbuatan itu bertentangan dengan hukum syarak, bahkan merupakan perbuatan yang menggambarkan betapa masyarakat Malaysia hari ini terutamanya dalam kelompok mereka yang bergelar artis begitu mengambil mudah dan memandang ringan apa yang dipandang serius oleh masyarakat umum.

Selang beberapa minggu, satu lagi aksi 'berani mati' telah ditunjukkan oleh bekas pelajar Akademi Fantasia 7, Aril yang tersingkir pada konsert minggu ketujuh dengan memeluk tenaga pengajar wanita Akademi Fantasia iaitu Siti Hajar, Fatimah Abu Bakar dan Shafi dan rancangan itu juga ditonton oleh penonton yang terdiri daripada latar belakang masyarakat yang pelbagai khususnya kanak-kanak.

Alasan yang diberikan, Aril menganggap cikgu-cikgunya di Akademi sebagai ibunya sendiri dan pelukan itu merupakan tanda hormat. Saya berasa sedih dengan alasan yang diberikan kerana tidak bolehkan Aril hanya mencium tangan bagi menunjukkan rasa hormat terhadap orang yang dianggap berjasa kepadanya? Kenapa perlu memeluk dengan erat dan bersungguh-sungguh?

Saya amat yakin dan percaya, anak-anak kecil yang menonton rancangan tersebut telah mula ditanam dengan aksi-aksi berani dan perkara-perkara tidak mustahil mendorong mereka untuk berkelakuan demikian dan seterusnya tidak mustahil boleh menyumbang kepada keruntuhan moral di kalangan orang muda di negara kita.

Satu persoalan yang bermain di kotak fikiran saya ialah, tidakkah Kementerian Penerangan peka dengan apa yang berlaku? Tidakkah Kementerian Penerangan mempunyai garis panduan berhubung had dan batasan penyiaran rancangan hiburan di Malaysia? Tidakkah ada tindakan yang boleh diambil terhadap mereka yang melampaui batas kesopanan an tata susila masyarat Malaysia?Bukankah tindakan juga boleh diambil kepada stesen-stesen TV yang berkenaan?

Saya menyeru agar Kementerian Penerangan duduk semeja dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam bagi menyediakan satu garis panduan khusus tentang perkara ini jika belum ada dan jika sudah ada, pihak Kementerian perlu menguatkuasakannya.

Jangan sampai timbul kes ketiga, keempat atau kelima yang menyaksikan sesiapa sahaja yang namanya lelaki memeluk wanita yang bukan muhrimnya di khalayak ramai kerana perkara ini bukan sahaja mencemarkan budaya dan adat Melayu, malah boleh merosakkan pemikiran anak-anak kecil yang menonton rancangan-rancangan seumpama itu.

HANIF MOHSEIN BIN MOHD. FAUZI NO. 2 , JALAN 10/2 TAMAN PUTRA

artikel asal : http://mstar.com.my/

LARANGAN PONDOK PANAS OLEH SPR, PAKATAN RAKYAT GESA TARIK BALIK LARANGAN

Pakatan mahu SPR batal larangan pondok panas

Pakatan Rakyat sebulat suara menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar menarik balik keputusannya semalam yang melarang parti-parti politik daripada mengadakan pondok panas dan memancing undi pada hari mengundi.

Malah Pakatan Rakyat juga sebulat suara menolak keputusan suruhanjaya itu semalam kerana beranggapan alasan-alasan yang diberikan adalah tidak munasabah.

"Kita mahu agar SPR tidak melaksanakan larangan yang mereka putuskan itu dan kita mahu sistem pilihan raya dilaksanakan seperti pilihan raya sebelum ini," kata Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali.

Mustafa berkata, Pakatan Rakyat juga mahu menemui semula SPR Khamis ini - buat kali kedua - bagi membincangkan mengenai larangan tersebut.

"SPR sebelum ini menyatakan bahawa parti-parti politik ini ialah pelanggan mereka, jadi kami sebagai pelanggan, mungkin akan pergi kedai mereka semula.

"Kami cadangkan untuk berjumpa dengan SPR Khamis ini untuk jelaskan semula dan untuk lihat apa sebenarnya perkara-perkara yang dirasakan (SPR) boleh menimbulkan masalah... kami akan berikan hujah-hujah," kata beliau selepas mengadakan mesyuarat bagi menentukan pendirian Pakatan Rakyat berhubung larangan tersebut di sini hari ini.

Semalam SPR memutuskan supaya semua parti politik tidak lagi dibenarkan mendirikan pondok panas selain dilarang memancing undi pada hari mengundi.

Langkah ini akan dikuatkuasakan mulai pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti bulan depan.

Dalam pada itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), R. Sivarasa berkata, larangan yang dibuat oleh SPR itu bercanggah dan tidak mengikut undang-undang pilihan raya.

"Kami dah teliti dari segi undang-undang dan di sini kami menyatakan untuk menolak pendirian yang diambil oleh SPR.

"Ini satu pendirian yang tidak munasabah dan bagi kita ia tidak mengikut undang-undang pilihan raya itu sendiri," katanya.

Malah jelas Sivarasa, keputusan yang dibuat oleh SPR itu juga bercanggah dengan pendirian suruhanjaya sebelum ini.

"Keputusan ini bercanggah dengan pendirian mereka sendiri yang dibuat dulu pada pilihan raya umum 2004.

"Undang-undang pilihan raya membenarkan parti politik mendirikan pondok panas mengikut Seksyen 24 B (2) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya.

Sivarasa juga berkata menerusi surat yang dikeluarkan oleh SPR pada 19 Mac 2004, jelas menyatakan bahawa semua parti yang bertanding dalam sesuatu pilihan raya dibenarkan menubuh atau menyelenggara pejabat atau pondok parti di luar kawasan sempadan 50 meter dari tempat mengundi.

"Jadi jelaslah bahawa tindakan mereka melarang untuk adakan pondok panas bercanggah dengan tafsiran mereka sendiri yang dibuat dahulu," katanya.

Hadir sama dalam mesyuarat tersebut ialah Dr. Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor), Dr. Siti Maria Mahmud (PAS-Kota Raja) dan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang).

artikel asal : http://mstar.com.my/




klip video ehsan : tvpas09