Tuesday, May 5, 2009

NAJIB, SELESAIKAN DULU 4 KELUH-KESAH RAKYAT

Alangkah lunaknya telinga dan damainya hati rakyat tatkala menyaksikan Perdana Menteri melontarkan keyakinan dan kesungguhan merencanakan perubahan positif dalam pentadbirannya.

Setelah sebelum ini menzahirkan keterbukaan kerajaannya terhadap kebebasan media, diikuti beberapa siri tinjau mesra beliau sendiri ke kawasan tertentu bagi mendekati rakyat, kini Dato' Seri Najib Razak beralih pula menyarankan anjakan di sektor awam.

Pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-10 di Putrajaya, Selasa (28 April) lalu, Najib meminta pentadbirannya memahami denyut nadi rakyat agar mereka berupaya menyelami keluh kesah dan gundah gulana sebenar kehidupan rakyat.

Untuk itu, beliau mengarahkan para pegawai tinggi kerajaan turut turun padang bersama pemimpin politik dari semasa ke semasa.

"Jika kita benar-benar ingin berkhidmat untuk rakyat, kita perlu mengetahui rintihan massa. Kita perlu fahami setiap masalah, kekangan dan kesulitan dihadapi rakyat. Barulah kita mampu mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah tersebut," katanya.

Wah! Syabas Perdana Menteriku, syabas! Kita percaya andainya beliau benar-benar berpegang kepada kata-katanya itu dan memastikan pentadbirannya berjalan seiringan dengan prinsip digariskannya itu, nescaya kedamaian akan menggunung di hati rakyat.

Apatah lagi Najib turut menegaskan pihaknya tidak akan mengambil sikap 'hangat-hangat tahi ayam' bagi melaksanakan pembaharuan dimaksudkannya itu.

"Saya mahu mengatakan kepada anggota perkhidmatan awam bahawa apa yang saya katakan hari ini, apa yang saya janjikan hari ini, akan berkesinambungan dengan tindakan susulan," ujarnya serius.

Kita lupakan sejenak pengkhususan beliau terhadap sektor awam. Kita ambil semangat kesungguhannya beserta lafaznya mengenai pembaharuan itu secara umum. Kita andaikan Najib mahukan perubahan positif bukan sahaja melibatkan sektor awam, tetapi juga pentadbiran politik di bawahnya.

Maka di sana sebenarnya sudah tersedia sebilangan keluh kesah dan gundah gulana rakyat untuk diselami dan diteliti Najib serta pentadbirannya. Sebahagiannya malah kita percaya sudah didengari dan dimaklumi Najib, lama sebelum punggungnya menghenyak kerusi empuk di meja Perdana Menteri, sebelum isterinya tersenyum lebar hingga ke pipi menikmati status 'Wanita Pertama' negara.

Banyak sekali keluh kesah rakyat, terlalu banyak. Kita ambil saja beberapa antaranya yang agak ketara dan mudah difahami. Pertama, kita pergi ke Perak. Tanyakan rakyat di sana apa sebenarnya keluh kesah dan gundah gulana utama mereka?

Sudah dapat diduga jawaban mereka. Bahkan, soalan itu tidak perlu ditanya sebenarnya.

Rakyat Perak mahu krisis politik tidak berkesudahan yang melanda negeri mereka ditamatkan.

Selesaikan kemelut itu secara telus dan adil. Cara sebaiknya ialah memulangkan hak menentukan kerajaan yang sah kepada rakyat. Mereka telahpun memilih kerajaan yang mereka mahu setahun lalu, namun pilihan itu telah dikhianati.

Maka cara terbaik bagi Najib memperbetulkan keadaan ialah mengusahakan pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak dan adakan satu pilihan raya semula. Nah, apakah sanggup Najib berbuat demikian?

Sehubungan itu juga rakyat berharap pentadbiran Najib lebih 'gentlemen' menerima keputusan rakyat menolak parti itu di empat lagi negeri. Hormatilah pilihan rakyat yang mahukan parti lain memerintah Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Kedah.

Jangan lagi ada usaha atau sekelumit hasrat menjatuhkan kerajaan-kerajaan itu secara tidak bermoral, yakni di luar proses pilihan raya. Jangan digugat dan digigit kerajaan pilihan rakyat itu dengan segala macam tindakan tidak bertanggungjawab. Jangan ditimpakan mereka dengan karenah birokrasi antara kerajaan, sekatan bantuan mahu pun sabotaj pentadbiran.

Kemudian, kita selami pula keluh kesah rakyat terhadap batang tubuh Najib sendiri. Maaf cakap Dato' Seri, banyak tuntutan kedengaran di luar sana agar Dato' Seri membersihkan diri daripada dakwaan dan palitan dengan satu isu moral yang sangat masyhur. Rasanya tidak perlu lagi disebut apakah isu tersebut.

Rakyat sangat gundah gulana apabila Perdana Menteri menjadi balunan dan persendaan media asing atas fitnah itu. Lalu ada rakyat menggesa Najib menyaman media asing terbabit. Buktikan Perdana Menteri kita bersih dan apa yang mereka laporkan itu fitnah semata.

Rakyat mendambakan seorang Perdana Menteri yang bersih. Bukan sahaja pada nilaian partinya, tapi dalam sanubari rakyat dan juga di mata dunia.

Panjang lagi senarai keluh kesah rakyat. Kalau dapat ditangani yang empat di atas tadi pun sudah cukup baik buat Perdana Menteriku!

artikel asal : HarakahDaily

No comments:

Post a Comment