3 January 2012 – Oleh Mazir Ibrahim
3 JANUARI – Suatu waktu dahulu, orang Sarawak merasa sangat terhina apabila orang Semenanjung ‘mengejek’ mereka kerana beranggapan masyarakat di sana masih bercawat dan tinggal di atas pokok. Stigma ini mencerminkan sikap rakyat Malaysia yang kurang maklumat serta kurang rasa kepedulian di samping kelemahan komunikasi.
Kini stigma itu semakin luput dan diganti pula dengan khabar yang begitu kontra. Kebanyakan orang Semenanjung beranggapan bahawa orang Sarawak kini, yang datang bekerja atau belajar di Semenanjung, adalah mereka yang sangat berkemampuan.
Hujahnya sekadar kerana mereka mampu ‘niki belon’. Apatah lagi jika mereka itu datangnya dari Miri, daerah minyak yang kaya dan mewah.
Rupa-rupanya, masih ada segelintir kita yang masih dangkal akalnya. Jika stigma ‘cawat’ dahulu tidak benar, adakah anggapan hari ini perlu dianggap benar?
Dulu dan kini
Sekitar 15 tahun yang lalu, saya sebagai orang Semenanjung pernah mengikuti satu lawatan tidak rasmi bersama seorang pegawai kanan kerajaan negeri meninjau kawasannya, dari bandar Sibu hinggalah ke daerah Mukah.
Hampir semua kampung kami redah menerusi air (bot/feri) dan darat (off road). Hanya tinggal imej petani, kebun, jeti, bot-bot dan rumah-rumah kerajaan yang masih melekat dalam ingatan.
Keadaan penduduk dan kampung sememangnya imej yang sama, baik dari segi cara hidupnya dan ekonominya. Rata-ratanya nelayan atau pekebun/petani, dan paling maju hanya pekedai dan kakitangan kerajaan. Suasananya aman damai.
Sejak itu berkali-kali saya bertandang ke Sarawak. Minggu lalu tercetus rasa hati untuk membandingkan apa yang dilihat 15 tahun lalu. Kerana kesuntukan masa, saya hanya di sekitar bandaraya Kuching dan kawasan pinggirannya.
Memang ketara sekali dalam aspek kegiatan ekonomi dan pembangunan infrastrukturnya. Perumahan, pusat perniagaan, pusat pelancongan, pasar dan sebagainya memang wujud dan baik.
Khabar-khabar tentang kekayaan dan kemakmuran sosio-ekonomi Sarawak kadang kala digambarkan secara berlebih-lebihan melalui propaganda kerajaan. Politik di Sarawak bagi manusia seperti saya yang mentah ini, tidak betah untuk memahaminya.
Namun, apa yang saya dapat lihat baik dari segi ekonomi, undang-undang dan resam politiknya, penekanan autonomi begitu tegas sekali. Mungkin ada orang dari Semenanjung melihat ini sebagai ‘kenegerian’.
Tersurat dan tersirat
Melihat sahaja tidak cukup. Perlu ditanya anak negeri sendiri apa yang sebenarnya berlaku di sekeliling mereka.
Peranan Jabatan Kerja Raya Sarawak dikhabarkan oleh penduduk setempat adalah sangat minimum. Selebihnya diselenggara sendiri oleh kumpulan syarikat CMS, yang dikatakan mempunyai kaitan langsung dengan keluarga Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud, termasuk hal jalan raya, air dan tenaga (elektrik).
Saya sempat melintasi salah sebuah gedung istana yang kukuh bertembok. Ia agak ketara kerana kewujudannya itu di sekitar kawasan penduduk dari golongan pekerja, yang sederhana dan selebihnya miskin.
Difahamkan, ini rumah salah seorang Yang Berhormat dari kaum Melayu beragama Islam. Tidak ada apa yang mencurigakan, malah saya cuba bersangka baik dengan kemewahan YB ini sekali pun pada zahir mata, kemewahannya agak melampaui bagi seseorang yang berpendapatan sekadar menjadi ADUN.
Saya juga difahamkan rumah agam ini hanyalah salah satu daripada istana hinggap yang ‘kecil’ dari beberapa teratak sang politikus ini.
Namun, ini sahajalah yang mampu dituturkan oleh penduduk di situ. Mereka bimbang jika bercerita lebih-lebih dengan saya, maka mereka akan dianggap sebagai dengki dengan kaum sendiri dan tidak mensyukuri nikmat Tuhan. Maka, imej ini hanya sekadar menjadi gosip politik penduduk di situ.
Langit dan bumi
Tidak sampai 40 km dari kawasan tersebut, jarak masa perjalan sekitar 30 minit, saya dibawa seorang sahabat meninjau satu kawasan perkampungan. Keturunan kaum dan agama penduduk di situ sama dengan sang politikus yang mempunyai ‘istana’ seperti yang dicatatkan awal tadi.
Namun, itu sahaja persamaannya. Melihat pada persekitaran kawasan kampong itu, ia seperti tidak sesuai untuk didiami oleh manusia zaman maju. Ia kotor dan tidak terurus sekali, kampung yang sepatutnya indah dan mendamaikan tidak wujud sama sekali.
Sebaliknya ia kelihatan sebagai kawasan setinggan yang kelam-kabut. Paling ketara ialah tahap kebersihan yang amat rendah. Menurut teman yang membawa saya, kampung itu tidak berubah sejak hampir 20 tahun dahulu.
Yang banyak kelihatan adalah papan-papan tanda projek Barisan Nasional. Barangkali ini dinaikkan sewaktu pilihan raya negeri Sarawak tahun lalu. Tetapi hingga kini entah bila pula akan dilaksanakan, tanah pun tak pecah lagi!
Malah, sejak 20 tahun lalu, sudah beberapa kali pilihan raya negeri dan pilihan raya umum diadakan yang melibatkan Sarawak.
Jadi mengapa kampung kediaman penduduk Islam itu begitu daif? Barangkali kerana mereka tidak mahu perubahan dan kerajaan tidak harus dipersalahkan? Tak kan Pehin Taib yang dicanangkan sebagai pemimpin berjiwa rakyat sanggup membiarkan penduduk di situ hidup dalam keadaan tidak terurus.
Dan agak pelik, kerana kampung ini terletak tidak jauh dari bandaraya, tidak sampai 40km dari Kuching. Jika ia terletak jauh nun di pedalaman seperti di Kapit, Long Lama atau Long Laput, barangkali alasan lambat pembangunan sampai ada juga rasionalnya.
Ilusi dan realiti
Merangka pelan pembangunan bagi penduduk di mana-mana tempat sekali pun, asasnya tetap sama. Kegiatan ekonomi harus diwujudkan demi meningkatkan mutu kehidupan rakyat.
Sebagai contoh, matlamat dasar Pakatan Rakyat sudah dikira cukup jelas, iaitu untuk mendekat atau mengecilkan jurang pendapatan di antara golongan pertengahan dan pekerja termasuk petani.
Kita dapat lihat bagaimana polisi agihan ekonomi ini dilaksanakan di Selangor dan Pulau Pinang hatta di Kedah dan Kelantan sekali pun. Sungguh pun sumber bumi di negeri-negeri tadbiran Pakatan Rakyat di Semenanjung tidak semewah Sarawak, jurang di antara miskin luar bandar dan miskin bandar dengan golongan pertengahan tidak lagi menjadi keluhan rakyat, dengan kata lain ia sudah mula mengecil dan semakin seimbang.
Yang menjadikan kita hairan adalah bagaimana kampung yang tidak jauh dari bandaraya Kuching itu yang kedudukannya pula betul-betul di tepi sungai telah gagal dimanfaatkan untuk membangunkan kegiatan ekonomi penduduk setempat.
Setelah sekian lama Barisan Nasional memerintah Sarawak, keadaan kampung di pinggir bandaraya itu masih di takok lama. Maksudnya suasana kekal damai tetapi terus merosot dan kotor.
Tidak dapat saya membayangkan pula keadaan di kampung-kampung yang pernah dilalui lebih dari 15 tahun dahulu di kawasan pedalaman di antara Sibu dan Mukah.
Teman saya yang juga anak negeri Sarawak mempunyai teori yang tersendiri. Katanya kerajaan negeri BN memang mahu kampung-kampung kekal sebegitu.
“Jika maju, pasti mutu hidup meningkat. Bangsa yang maju ditakuti akan pandai mempersoalkan pihak kerajaan”.
“Maka kerana itu, kerajaan tidak perlu memajukan kawasan. Cukup sekadar kemudahan asas. Penduduk tersebut pasrah dan redha berkeadaan begitu,” ujarnya.
Terfikir pula kita, barangkali inilah yang dikatakan Sarawak sebagai ‘simpanan undi tetap’ BN. Tetapi memikirkan betapa daif keadaan rumah penduduk kampung tersebut, memang kejam dan zalim jika ianya benar kerana yang menjadi mangsa adalah rakyat dan anak negeri sendiri.
Adakah ini bala dari Tuhan?
– Roketkini.com
No comments:
Post a Comment