Tuesday, April 19, 2011

S’wak : PAS intai peluang kerusi Parlimen


Ini memandangkan sokongan masyarakat tempatan di lima kawasan Dun yang ditandinginya minggu lalu semakin meningkat.
PETALING JAYA : PAS tekad mahu meletakkan lebih ramai calon untuk bertanding merebut kerusi Parlimen Sarawak dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 walaupun tewas kesemua lima kerusi semasa pilihan raya Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak Sabtu lalu.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, PAS akan melihat peluang kerusi Parlimen di lima kawasan Dun yang ditandinginya semasa PRN Sarawak minggu lalu memandangkan sokongan masyarakat tempatan di kawasan itu semakin meningkat.

Kerusi Parlimen tersebut adalah kawasan Mas Gading (P192), Kota Samarahan (P197), Batang Sadong (P200), serta Batang Lupar (P201).

Salahuddin berkata, lima kawasan tersebut akan menjadi fokus utama PAS mengukuhkan sokongannya di Sarawak berdasarkan pencapaian jumlah undi yang diterimanya semakin meningkat sejak ‘kehadiran’ parti itu di Sarawak 10 tahun lalu.

Ini kerana menurutnya selain tidak seorang pun daripada calonnya hilang deposit pertaruhan, jumlah undi majoriti PAS di Dun Beting Maro meningkat kepada 391 undi berbanding 895 undi pada tahun 2006.

Begitu juga dengan kerusi Dun Muara Tuang, Sebuyau, dan Tanjung Datu apabila jumlah undi yang diterima calon PAS meningkat jika dibandingkan dengan calon PKR yang bertanding di kawasan sama semasa pilihan raya Sarawak tahun 2006.

Umno tidak boleh masuk Sarawak

“Pencapaian ini sungguh menakjubkan. Ideologi PAS semakin diterima baik masyarakat jika hendak dibandingkan dengan Umno yang sendiri pun sampai sekarang tak boleh masuk Sarawak,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, walaupun sedikit terkilan namun PAS tidak merasa kecewa dengan kekalahan tersebut malah akan terus meletakkan harapan tinggi agar dapat menembusi cengkaman BN dengan menguatkan jentera dan barisan kepimpinannya di Sarawak.

Walaupun yakin dengan peluang lima kerusi tersebut untuk PRU akan datang, namun Salahuddin berkata keputusan itu terletak kepada suara pemimpin PAS tertinggi serta rundingan dalam Pakatan Rakyat.

“Mungkin lebih, mungkin PAS akan bertanding kerusi Parlimen yang lain. Semuanya terpulang kepada keputusan rundingan Pakatan Rakyat nanti,” katanya.

Semasa PRU12, PAS juga pernah bertanding merebut kerusi Parlimen Batang Lupar meletakkan calon Ketua Pemuda PAS Sarawak Abang Eddy Alyanni Abang Fauzi, namun tewas ditangan BN Datuk Ruhani Karim.

Buat pertama kalinya PRN Sarawak, PAS bertanding di lima kerusi Dun berbanding hanya sebuah kerusi pada tahun 2006 manakala tiga kerusi pada tahun 2001.

Lima kerusi tersebut adalah Beting Maro, Muara Tuang, Sebuyau, Sadong Jaya dan Tanjung Datu.

Berdasarkan keputusan rasmi malam Sabtu lalu, jumlah undi yang diterima calon PAS Noraini Hamzah merebut kerusi Dun Muara Tuang adalah sebanyak 3,196, manakala Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus (Beting Maro-2,678 undi), Adam Ahid (Sebuyau-1,769 undi), Abang Eddy Allyanny (Sadong Jaya-1,074 undi), dan Nani Sahari (Tanjong Datu-1,002 undi).

Namun baik kawasan Dun mahu pun Parlimen, PAS belum pernah berjaya menguasai mana-mana kerusi di Sarawak.

BN kelmarin diisytiharkan menang majoriti dua pertiga dengan 55 dari 71 kerusi Dun Sarawak, manakala Pakatan Rakyat mendapat 15 kerusi (DAP-12, PKR-3, PAS-0), dan Bebas satu kerusi sahaja.

Namun jika dibandingkan dengan tahun 2006, kemenangan BN dilihat merosot daripada 62.92 peratus kepada 55.24 peratus apabila menang 62 daripada 71 kerusi.

No comments:

Post a Comment