Proses baik pulih Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) secara menyeluruh tidak menarik minat banyak pihak, walaupun presidennya Tan Sri Dr George Chan Hong Nam memberi jaminan akan melakukan perubahan drastik termasuk menukarkan beberapa pemimpin.
Kebanyakan penganalisis politik tidak yakin rancangan pemulihan itu akan membuahkan hasil selagi parti berasaskan kaum Cina itu tidak menyelesaikan masalah utamanya serta pelbagai isu tertangguh yang membelenggu parti itu sejak sekian lama.
"Rancangan pemulihan SUPP tidak akan berhasil jika ia diatur oleh golongan lama. Apabila pemimpin lama enggan berundur, pemimpin muda yang berpotensi akan meninggalkan parti itu", kata Prof James Chin (kiri) dari Universiti Monash cawangan Kuching.
Beliau berkata kegagalan SUPP melaksanakan pelan peralihan kepimpinan sejak lama dulu telah menyebabkan barisan pemimpin mudanya berasa mereka tidak berpeluang untuk bergiat secara aktif dan mengemukakan idea serta pendekatan baru.
"SUPP juga tidak mungkin dapat dipulihkan sehingalah isu dialek dan puak yang wujud dalam parti itu diselesaikan. Misalnya, langkah menghalang Datuk Seri Dr Wong Soon Koh (bawah, kanan) daripada menganggotai Kabinet negeri itu wlaupun beliau berjaya mengekalkan kerusinya, dilihat sebagai perbuatan menghalang anggota masyarakat Foochow daripada mengetuai parti itu," katanya.
Dr Ahi Sarok, pensyarah kanan sains politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), juga tidak yakin rancangan pemulihan itu akan berjaya kerana SUPP menghadapi masalah yang cukup besar iaitu tidak mempunyai pemimpin baru dan muda yang berkalibar akibat keengganan golongan lama melepaskan jawatan masing-masing.
"Ya, semua pemimpin lama perlu berundur, tapi apa yang saya lihat ialah mereka tidak mempunyai pemimpin pelapis. Inilah masalahnya. Kalau tidak ada pemimpin muda, bagaimana hendak memulihkan parti?," katanya.
Walaupun SUPP masih mempunyai pemimpin muda, tetapi mereka telah kalah pada pilihan raya 16 April lalu seperti bekas ketua pemuda Alan Sim, yang tewas dalam percubaan pertamanya untuk menawan kerusi Parlimen Kuching pada pilihan raya umum 2008.
"Jika begitu halnya, bagaimana hendak memulihkan parti? Untuk memulihkan parti, bukan saja ruang dan peluang perlu diberi kepada pemimin muda, tetapi juga anggota berpotensi yang setia perlu dihimpunkan, seperti dalam parti lain yang mempunyai sayap Putera dan Puteri masing-masing, sedangkan perkara itu tidak terdapat dalam SUPP" kata Ahi.
Ketika mengumumkan peletakan jawatannya, Dr Chan, yang kalah di tangan calon baru DAP Ling Sie Kiong di Piasau, mencadangkan agar calon SUPP yang kalah bagi kerusi Pending, Prof Sim Kian Hui (kiri), dicalonkan mengambil alih teraju kepimpinan parti itu.
Bagaimanapun, sesetengah anggota SUPP, termasuk golongan veteran, menuntut agar Dr Chan dan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu segera melepaskan jawatan dan menyerahkan kepada anggota perwakilan untuk memilih dan menamakan secara terbuka calon untuk menganggotai barisan baru kepimpinan parti itu.
Seperti yang dinyatakan anggota pengasas sayap Pemuda SUPP Cawangan Bintulu, Nicholas Tang, parti itu perlu memanggil mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk memutuskan perkara berkaitan kepimpinan baru SUPP.
SUPP dijadual mengadakan mesyuarat agung tiga tahun sekali (TDC) pada akhir tahun ini
"Dr Chan tidak ada kuasa untuk mencadangkan atau menamakan pengganti beliau," katanya ketika mengulas laporan bahawa Dr Chan lebih suka Dr Sim Kui Hian menjadi penggantinya dengan alasan pakar kardiologi itu tidak menggalas beban politik dan memiliki latar belakang yang menarik.
Dr Sim, anak lelaki kepada bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Sim Kheng Hong, meletak jawatan sebagai Pengarah Unit Kardiologi Hospital Besar Sarawak (SGH) untuk bertanding bagi kerusi Pending, tetapi kalah kepada calon DAP, Violet Yong, dengan majoriti 7,595 undi.
"Parti ini perlu disusun semula sepenuhnya dan pemilihan presiden dan anggota CWC mestilah diputuskan oleh anggota perwakilan. Dr Chan tidak mempunyai hak mutlak untuk memilih mana-mana calon bagi mengetuai parti ini," kata Tang.
Bekas presiden Tan Sri Wong Soon Kai, yang tidak yakin SUPP mampu menyelesaikan sesetengah masalah besarnya dalam tempoh sesingkat itu, menyarankan agar parti berkenaan mengamalkan "kepimpinan secara kolektif".
Beliau berpendapat bagi tempoh mulai sekarang hingga pilihan raya Parlimen akan datang, SUPP perlu dilihat terus relevan kepada rakyat Sarawak dan aspirasi politik mereka.
Barangkali, tidak kira sama ada parti tertua di Sarawak itu mampu mengembalikan kekuatannya, anggota SUPP perlu merenung kata-kata bekas pemimpin DAP Sarawak Sim Kwang Yang melalui laman blognya bahawa melalui pengalaman beliau, musuh nombor satu bagi mana-mana ahli politik ialah egonya sendiri.
- Bernama
malaysiakini
malaysiakini
No comments:
Post a Comment