Sunday, May 22, 2011

Nik Aziz rahsiakan sokongan

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membayangkan beliau ada calon tersendiri untuk disokong sebagai Timbalan Presiden Pas menjelang pemilihan pucuk pimpinan parti itu bulan depan.

Bagaimanapun Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau tidak boleh umumkannya bagi mengelakkan kenyataannya mempengaruhi perwakilan yang akan membuat undian.

“Kalau saya minat pun (untuk angkat individu sebagai timbalan presiden), saya tidak boleh sebut sekarang. Itu rahsia,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Kuliah Jumaat di Dataran Ilmu di sini, semalam.

Nik Aziz ditanya apakah benar beliau menyokong Naib Presiden Pas, Datuk Ibrahim Tuan Man sebagai calon untuk bertanding sebagai timbalan presiden seperti disebut-sebut.

Selain Tuan Ibrahim lima lagi calon yang layak bertanding jawatan nombor dua itu adalah Datuk Seri Azizan Abd Razak, Datuk Husam Musa, Salahuddin Ayub, Mohamad Sabu dan penyandang Nasharuddin Mat Isa.

Ditanya mengenai Mohamad yang dapat sokongan lebih tinggi daripada Nasharuddin, Nik Aziz berkata, terserah kepada perwakilan untuk menentukan calon yang layak.

“Saya minta mereka yang akan membuat undian mengambil kira bahawa orang yang dipilih adalah pemimpin Islam yang layak, dengan tingkah laku dan kata-katanya. Sama ada pemimpin A atau B tidak kira, itu terpulang.

“Saya beri kebebasan sepenuhnya kepada perwakilan, mereka adalah orang yang layak dan diberi kepercayaan untuk memilih,” katanya.

Pada 2009, Nik Aziz pernah mengeluarkan kenyataan menggesa Nasharuddin meninggalkan Pas dan meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Bachok jika menyokong cadangan kerajaan perpaduan dengan UMNO.

PRU-13 dijangka paling sengit

BALING - Pilihan raya umum (PRU) ke-13 dijangka menjadi paling sengit dalam sejarah politik negara, bukan hanya kepada UMNO-Barisan Nasional (BN) tetapi juga parti politik lain yang bertanding.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Presiden UMNO, berkata, permainan politik tidak sama seperti biasa dan ia perlu disematkan di dalam pemikiran semua pemimpin dan ahli UMNO.

“PRU akan datang adalah paling sengit dalam sejarah politik negara, biar saya bagi amaran, ia (PRU) akan jadi yang paling ‘tough’ untuk UMNO dan parti-parti yang bertanding kelak, bukan seperti (PRU) biasa.

“Tengok sahaja 16 pilihan raya kecil, separuh daripadanya saya pimpin, rak­yat sudah terbuka pemikiran dan tahu apa terjadi, mereka menuntut pelbagai perkara dan disebabkan itu permainan politik kini tidak lagi sama seperti biasa, ini kita mesti masukkan dalam pemikiran kita,” katanya semasa berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Baling 2011, di Dewan Kompleks Rakan Muda, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah; Ketua UMNO Kulim/Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir dan Ketua UMNO Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Menurutnya, apa dilalui parti itu sejak puluhan tahun dahulu adalah proses politik biasa dan untuk PRU akan datang, ia menuntut UMNO membuat persiapan lebih rapi serta bersedia menghadapi tentangan daripada parti lawan.

“Adakah Pas Kedah akan serah (pentadbiran kepada UMNO) macam itu sahaja? Tidak mungkin..mereka akan pertahankan bermati-matian.

“Orang kata, Kedah di bawah Pas tidak banyak pembangunan tetapi Menteri Besar (Datuk Seri Azizan Abdul Razak) turun ke bawah (padang), orang kata he’s a good man’,” katanya.
Muhyiddin berkata, UMNO hari ini berhadapan dengan cabaran yang sangat hebat dan jika pemimpin serta ahli percaya kepada perjuangannya, mereka perlu pertahankan dan berjuang bermati-matian.

“Tidak ada paksaan sesiapa (untuk sertai UMNO), kita duduk dalam UMNO bukan pimpin puak-puak dan suku sakat tetapi memimpin masyarakat.

“Setiap satu undi, setiap satu dewan undangan negeri (DUN) mahupun parlimen, adalah penting untuk UMNO-BN, jika rasa ada masalah (dalaman), kena selesaikan segera,” katanya.
Menurutnya, selepas PRU 2008, Kedah sendiri mengalami kejutan yang tidak terduga oleh mana-mana pemimpin UMNO dan kalah kepada Pakatan Rakyat (PR).

SH

No comments:

Post a Comment