Monday, May 30, 2011

Laluan sukar untuk 2 naib presiden PAS

"Sesak". Itu gambaran pemilihan PAS kali ini yang menyaksikan semua jawatan kecuali kerusi presiden menjadi rebutan.

Barangkali itu jugalah perasaan Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar yang dicabar Datuk Husam Musa, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, Datuk Nik Amar Abdullah dan Idris Ahmad untuk tiga kerusi naib presiden.

Mampukah prestasi Salahuddin dan Mahfuz sejak dua tahun lepas memikat 1,100 perwakilan untuk menyokong mereka pada pemilihan yang berlangsung Sabtu ini?

Rata-rata pemerhati politik yang dihubungi Bernama berpendapat dua pemimpin PAS itu menghadapi laluan sukar untuk mengekalkan jawatan mereka, kerana pencabar bukan saja nama gah dalam parti tetapi turut mendapat sokongan Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Tetapi dalam memacu parti Islam itu selari dengan matlamat penubuhannya, adalah penting bagi perwakilan memilih calon jawatan naib presiden yang boleh memberikan sokongan dan bekerjasama penuh kepada presiden," kata Abd Ghapa Harun dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pensyarah kanan Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi itu berpendapat saingan sengit bagi jawatan timbalan presiden juga menentukan nasib Salahuddin dan Mahfuz, sekalipun jawatan presiden kekal di tangan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ini kerana katanya, lambakan calon yang terdiri daripada kelompok profesional berfikiran terbuka dan ulama, memberi ruang kepada perwakilan untuk mengatur hala tuju parti yang pada masa ini dilihat dikuasai ulama.

Sekalipun Salahuddin dan Mahfuz dilihat konsisten berfikiran terbuka, namun mereka kecundang daripada segi gahnya nama Husam dan Mohamad Nizar, katanya.

Beliau juga tidak menolak ketegasan Idris selaku Ketua Penerangan PAS dan Exco Kelantan Nik Mohd Amar bakal memikat perwakilan yang cenderung kepada golongan ulama.

Sementara itu, Dr Sivamurugan Pandian membayangkan kemungkinan berlaku kompromi di belakang tabir bagi jawatan tersebut.

"Kemungkinan salah seorang penyandang dikekalkan, dan dua lagi diisi muka baru," kata pensyarah kanan Sains Politik Universiti Sains Malaysia itu.

Beliau juga bersetuju pemilihan jawatan nombor dua PAS yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara penyandang Nasharuddin Mat Isa, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Mohamad Sabu akan menentukan Naib Presiden.

"Apa yang paling penting mereka harus memilih di kalangan calon yang boleh bergandingan dengan orang nombor satu dan dua parti," katanya.

Beliau juga tidak menolak tanggapan populariti Husam, Mohamad Nizar dan Idris berupaya mempengaruhi pola pemilihan tersebut.

--Bernama


malaysiakini

No comments:

Post a Comment