Thursday, January 13, 2011

Khusrin Jaga Selangor Ibarat Kucing Jaga Ikan


Isu pelantikan Khusrin sebagai SUK Selangor melambangkan betapa primitifnya Umno BN berpolitik. Sabotaj Kerajaan Pakatan adalah ajenda dan kerja utama Umno sejak beberapa Kerajaan Negeri jatuh ke tangan Pakatan dalam pilihan raya umum yang lalu.

Apabila Khusrin dilantik melalui kaedah pelantikan yang bertentangan dengan semangat dan roh federalisme yang merupakan ciri asas Perlembagaan Negara jelas sekali ketagihan Umno mencabul Perlembagaan sudah tidak dapat dirawat lagi.

Rakyat masih tidak lupa kerakusan kuasa Umno “merogol” bergilir-gilir Perlembagaan di Perak. Bagi menjustifikasi kudeta ( rampasan kuasa ) yang Umno lakukan di Perak , Umno membunuh doktrin “trias politica” ( pengasingan kuasa ) , doktrin raja berperlembagaan dan pemakaian konvesyen Perlembagaan iaitu Menteri Besar dan kabinetnya seharusnya dijatuhkan melalui undi tidak percaya. Adakah Umno fikir rakyat masih lupa bagaimana Umno mengganyang Speaker Perak yang sah, menyalahgunakan polis dan SPRM bagi mewujudkan ketakutan kepada Adun-Adun Pakatan di Perak dan akhirnya memanipulasi sistem kehakiman yang sudah hancur bagi mengiyakan segala “dosa” yang Umno lakukan ke atas Kerajaan Pakatan .

Jika Umno tidak ada niat untuk mensabotaj Kerajaan Pakatan di Selangor mengapakah Umno menyalahgunakan Ketua Setiausaha Negara ( yang malangnya sedia disalahgunakan ) bagi melantik Khusrin sebagai SUK Selangor.

Umno penuh sedar Khusrin telah banyak melakukan perkara yang dilihat menentang dan mencabar secara terbuka polisi Kerajaan Selangor. JAIS yang pernah dikepalai oleh Khusrin banyak melakukan tindakan-tindakan yang menyusahkan Kerajaan Selangor. Bukankan Khusrin yang telah gagal memberi nasihat dan pandangannya yang betul kepada Sultan Selangor dalam isu Ahli Parlimen DAP Serdang yang hadir di dalam Surau Al-Huda, Kajang kerana menghulurkan bantuan. Adakah Umno ingat rakyat masih lupa dengan kata-kata Khusrin bahawa “ Teo Nie Ching tidak boleh masuk ke dalam masjid kerana berhadas besar” sedangkan Nabi Muhammad sendiri membenarkan orang-orang Kristian Najran bersembahyang ( cara mereka ) di Masjid Nabi .

Adakah Umno ingat rakyat masih lupa bahawa Khusrin tidak langsung bersuara jauh sekali menggunakan “fatwa hadas besarnya” kepada Ahli Parlimen MIC dari Hulu Selangor P.Kamalanathan yang juga bukan beragama Islam apabila Ahli Parlimen tersebut berada di dalam masjid Sungai Tengi Selatan, Hulu Selangor bersama-sama Adun Umno bagi memberikan replica cek .

Adakah Umno ingat rakyat sudah lupa Khusrin adalah individu yang bersungguh-sungguh melarang tokoh-tokoh ilmuan dalam Pas seperti Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Hadi menyampaikan kuliah dan khutbah di masjid –masjid dan surau-surau di Selangor tetapi dalam masa yang sama berkempen kepada Nazir Masjid Al-Ihsan , Kampun Medan supaya membenarkan permintaan Umno untuk mengundang Presiden Umno, Najib Tun Razak berceramah di Masjid tersebut

Umno sudah tentu tahu bahawa dalam mana sistem demokrasi berparlimen ala Westminster menjadi satu prinsip yang diterima pakai secara sejagat bahawa seorang Ketua Setiausaha sama ada di peringkat pusat atau di peringkat negeri bertanggungjawab berkhidmat dengan Kerajaan semasa ( government of the day ) dengan jujur dan setia. Tidak perlu diiingatkan SUK di Negeri Selangor mestilah seorang yang bersedia secara jujur dan penuh taat setia memastikan dasar Kerajaan Pakatan di Selangor dapat dilaksanakan dengan lancar dan licin. Dengan lain perkataan SUK tersebut mestilah individu yang tidak membuat tindakan yang dilihat bertentangan dengan polisi Kerajaan Pakatan.

Bertolak dari situ , menjadi satu konvesyen Perlembagaan ( constitutional convention ) mana-mana Kerajaan Negeri di Negara ini mestilah mempunyai suara dan wajar dirunding sebelum seorang SUK ingin dilantik di Selangor . Sudah tentu mana-mana Kerajaan Negeri termasuk Selangor tidak akan mahukan SUK yang dilantik adalah individu yang mempunyai track record yang buruk kepada Kerajaan Negeri yang berkenaan. Khusrin adalah seorang kakitangan awam di Negeri Selangor yang secara jelas termasuk dalam kategori individu yang tidak dapat dan tidak bersedia melaksanakan polisi Kerajaan Pakatan di Selangor. Tagline 'khusrin anti Pakatan dan pro Umno/BN ' terpampang di dahi Khusrin.

Khusrin bukan sahaja tidak boleh diharapkan untuk melaksanakan polisi Kerajaan Selangor sebaliknya beliau telah dibuktikan secara terbuka menentang , mensabotaj dan memburukkan imej Kerajaan Selangor dengan tindakan-tindakannya yang saya telah nyatakan sebelum ini. Mungkin Khusrin sesuai berkhidmat sebagai SUK jika Kerajaan Selangor masih diterajui oleh Kerajaan bobrok Umno tetapi beliau amat tidak layak untuk berkhidmat dengan Kerajaan Pakatan yang berpegang kepada paradigma politik yang baru.

Memanglah seorang SUK pada prinsip umumnya harus bersifat berkecuali dan “apolitical” ( tidak menyebelahi ). Dengan lain perkataan seorang SUK tanpa mengira parti mana pun memerintah mesti bersedia menjalankan tugasnya membantu menjayakan misi dan visi kerajaaan yang beliau bertugas di bawahnya. Adakah ada orang yang sihat pemikirannya boleh percaya Khusrin akan bersedia menjalankan tugasnya membantu menjayakan misi dan visi Kerajaaan Pakatan di Selangor.

Mungkin ada yang berhujah kenapakah tidak diberi peluang Khusrin terlebih dahulu menjalankan tugasnya sebagai SUK Selangor . Ini hujah yang agak menarik tapi penuh dengan racun. Hakikatnya hujah ini meminta Kerajaan Selangor memberi peluang Khusrin meranapkan Kerajaan Pakatan di Selangor. Menerima hujah ini samalah ibaratnya memberi peluang kucing menjalankan tugas menjaga ikan. Kalau ikan tidak dimamah sehingga hancur itu bukan namanya kucing !

Hakikatnya Khusrin sudah pun diberi peluang berkhidmat di dalam Kerajaan Pakatan di Selangor sebagai Pengarah JAIS walaupun tidak mempunyai kelayakan tinggi dalam bidang agama bagi memegang jawatan tersebut. Adakah sikap dan tindakan Pengarah JAIS di bawah Kerajaan Umno di Selangor yang banyak menggangu autonomi masjid berbeza selepas Kerajaaan Pakatan memerintah Selangor ? Bukankah Exco Agama Selangor pun diketepikan oleh Khusrin dalam banyak tindakan beliau ?


BO
 

No comments:

Post a Comment