Friday, January 28, 2011

Kecoh 'Samseng Umno' di felda Cemplak, PRK Tenang

'Samseng Cemplak' kecoh lagi; 'Semalam di Cemplak' terpaksa pindah lokasi

Felda Cemplak, LABIS - Setelah membuat kecoh pada malam kelmarin sewaktu Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berceramah di Felda Cemlak, petang Khamis, 27 Januari, 'Samseng Umno' membuat kecoh lagi.

Kali ini mereka membantah program 'Semalam di Cemplak, satu program malam kesenian Islam yang dianjurkan bersama oleh jentera PAS Terengganu bersama ANAK.

Ketegangan secara berdepan yang bermula kira-kira jam 5.30 petang, apabila seorang lelaki yang difahamkan selaku Pengerusi Belia Felda berkenaan memberitahu para petugas PAS dan ANAK supaya tidak mengadakan program di padang bola tersebut.

Kebetulan, sebuah bangunan yang didakwanya sebagai pusat belia terletak berhampiran pentas dimana para petugas sedang membuat persiapan program.

Selain 'pengerusi belia' itu, seorang lelaki yang dimaklumkan sebagai 'ahli Rela' telah bertindak memberi amaran.

Para petugas PAS dan ANAK berkeras akan meneruskan program kesenian tersebut kerana ANAK telah mendapat kebenaran 'permit' dari pihak polis.

Atas campurtangan 'pihak atasan' sekumpulan polis telah datang ke lokasi kira-kira jam 6.30 petang.

Atas alasan, BN telah membuat persiapan untuk suatu program yang akan dihadiri oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein, polis telah meminta ANAK berpindah ke lokasi lain.

Timbalan Presiden ANAK saudara Shamsul dalam menghadapi tekanan pihak keselamatan tersebut mengambil langkah berundur setapak dan berjanji bekerjasama untuk memindahkan program ke suatu lokasi lain.

Dengar dan lihat ucapan ringkas Saudara Shamsul

Friday, January 14, 2011

PAS akan kembali memerintah Terengganu kerana asas yang kukuh



PGU : Asas yang kukuh Untuk Kembali Memerintah

KUALA TERENGGANU - PAS akan kembali memerintah di negeri Terengganu kerana mempunyai asas kukuh yang diletakkan semasa memerintah negeri Terengganu diantara tahun 1999 sehingga 2004.

Apakah asas yang paling kukuh kepada kehidupan orang-orang Islam yang beriman, selain dari meletakkan hukum tertinggi al-quran dan sunnah, Ijma' dan qias sebagai dasar sebuah kerajaan dan pemerintahan.

Asas kukuh tersebut telah disempurnakan oleh Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin pada bulan September tahun 2002 dengan menandatangani dan mewartakannya sebagai satu undang-undang.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demikian ketika menjelaskan kejayaan PAS menjadi kerajaan di negeri Terengganu.

Katanya, dengan pertolongan Allah SWT, PAS telah dapat memerintah negeri Terengganu selama dua kali; pada tahun 1959 selama dua tahun setengah dan pada tahun 1999, selama sepenggal.

"Allah ta'ala tolong kita tahun 1959, memerintah (selama) dua tahun setengah, Allah tolong kita dalam tahun 1999, memerintah satu penggal,

"Kita telah berjaya meletakkan asas di terengganu, kita memerintah dalam masa empat tahun, kita telah meletakkan dalam perlembagaan hukum tertinggi (ialah) a-quran, Hadis, Ijma' ulamak dan qias,"katanya ketika melancarkan Jentera Pilihanraya DUN Bukit Tunggal, semalam.

Sebelum itu, beliau menyeru seluruh orang Melayu yang beragama Islam, untuk bersama-sama bekerja menegakkan Islam.

Beliau berkata, perjuangan menegakkan Islam, tetap menjadi suatu kewajipan samada kepada orang-orang Islam yang baik, mahu pun kepada mereka yang melakukan maksiat.

"Berapa banyak orang yang mengerjakan maksiat yang mengerjakan mungkar, dengan sebab dia berjihad (mengakkan Islam) Tuhan ampunkan dosanya,"jelas Ustaz Abdul Hadi.

Namun begitu, menurutnya, bagi menyelamatkan orang-orang Melayu yang beragama Islam itu, mestilah dengan bekerja menegakkan Islam.

"Kalau Melayu sahaja, macamana Umno bercakap 'ketuanan Melayu ketuanan Melayu', Islam tak tahu ke mana, kita serupa macam dia, hanyut macam dia juga, tidak selamat,"kata beliau.

Thursday, January 13, 2011

Ir Haji Nizar Jamaluddin at PKR Dinner, Cameron Highlands 10/01/2011







mediarakyat

Khusrin Jaga Selangor Ibarat Kucing Jaga Ikan


Isu pelantikan Khusrin sebagai SUK Selangor melambangkan betapa primitifnya Umno BN berpolitik. Sabotaj Kerajaan Pakatan adalah ajenda dan kerja utama Umno sejak beberapa Kerajaan Negeri jatuh ke tangan Pakatan dalam pilihan raya umum yang lalu.

Apabila Khusrin dilantik melalui kaedah pelantikan yang bertentangan dengan semangat dan roh federalisme yang merupakan ciri asas Perlembagaan Negara jelas sekali ketagihan Umno mencabul Perlembagaan sudah tidak dapat dirawat lagi.

Rakyat masih tidak lupa kerakusan kuasa Umno “merogol” bergilir-gilir Perlembagaan di Perak. Bagi menjustifikasi kudeta ( rampasan kuasa ) yang Umno lakukan di Perak , Umno membunuh doktrin “trias politica” ( pengasingan kuasa ) , doktrin raja berperlembagaan dan pemakaian konvesyen Perlembagaan iaitu Menteri Besar dan kabinetnya seharusnya dijatuhkan melalui undi tidak percaya. Adakah Umno fikir rakyat masih lupa bagaimana Umno mengganyang Speaker Perak yang sah, menyalahgunakan polis dan SPRM bagi mewujudkan ketakutan kepada Adun-Adun Pakatan di Perak dan akhirnya memanipulasi sistem kehakiman yang sudah hancur bagi mengiyakan segala “dosa” yang Umno lakukan ke atas Kerajaan Pakatan .

Jika Umno tidak ada niat untuk mensabotaj Kerajaan Pakatan di Selangor mengapakah Umno menyalahgunakan Ketua Setiausaha Negara ( yang malangnya sedia disalahgunakan ) bagi melantik Khusrin sebagai SUK Selangor.

Umno penuh sedar Khusrin telah banyak melakukan perkara yang dilihat menentang dan mencabar secara terbuka polisi Kerajaan Selangor. JAIS yang pernah dikepalai oleh Khusrin banyak melakukan tindakan-tindakan yang menyusahkan Kerajaan Selangor. Bukankan Khusrin yang telah gagal memberi nasihat dan pandangannya yang betul kepada Sultan Selangor dalam isu Ahli Parlimen DAP Serdang yang hadir di dalam Surau Al-Huda, Kajang kerana menghulurkan bantuan. Adakah Umno ingat rakyat masih lupa dengan kata-kata Khusrin bahawa “ Teo Nie Ching tidak boleh masuk ke dalam masjid kerana berhadas besar” sedangkan Nabi Muhammad sendiri membenarkan orang-orang Kristian Najran bersembahyang ( cara mereka ) di Masjid Nabi .

Adakah Umno ingat rakyat masih lupa bahawa Khusrin tidak langsung bersuara jauh sekali menggunakan “fatwa hadas besarnya” kepada Ahli Parlimen MIC dari Hulu Selangor P.Kamalanathan yang juga bukan beragama Islam apabila Ahli Parlimen tersebut berada di dalam masjid Sungai Tengi Selatan, Hulu Selangor bersama-sama Adun Umno bagi memberikan replica cek .

Adakah Umno ingat rakyat sudah lupa Khusrin adalah individu yang bersungguh-sungguh melarang tokoh-tokoh ilmuan dalam Pas seperti Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Hadi menyampaikan kuliah dan khutbah di masjid –masjid dan surau-surau di Selangor tetapi dalam masa yang sama berkempen kepada Nazir Masjid Al-Ihsan , Kampun Medan supaya membenarkan permintaan Umno untuk mengundang Presiden Umno, Najib Tun Razak berceramah di Masjid tersebut

Umno sudah tentu tahu bahawa dalam mana sistem demokrasi berparlimen ala Westminster menjadi satu prinsip yang diterima pakai secara sejagat bahawa seorang Ketua Setiausaha sama ada di peringkat pusat atau di peringkat negeri bertanggungjawab berkhidmat dengan Kerajaan semasa ( government of the day ) dengan jujur dan setia. Tidak perlu diiingatkan SUK di Negeri Selangor mestilah seorang yang bersedia secara jujur dan penuh taat setia memastikan dasar Kerajaan Pakatan di Selangor dapat dilaksanakan dengan lancar dan licin. Dengan lain perkataan SUK tersebut mestilah individu yang tidak membuat tindakan yang dilihat bertentangan dengan polisi Kerajaan Pakatan.

Bertolak dari situ , menjadi satu konvesyen Perlembagaan ( constitutional convention ) mana-mana Kerajaan Negeri di Negara ini mestilah mempunyai suara dan wajar dirunding sebelum seorang SUK ingin dilantik di Selangor . Sudah tentu mana-mana Kerajaan Negeri termasuk Selangor tidak akan mahukan SUK yang dilantik adalah individu yang mempunyai track record yang buruk kepada Kerajaan Negeri yang berkenaan. Khusrin adalah seorang kakitangan awam di Negeri Selangor yang secara jelas termasuk dalam kategori individu yang tidak dapat dan tidak bersedia melaksanakan polisi Kerajaan Pakatan di Selangor. Tagline 'khusrin anti Pakatan dan pro Umno/BN ' terpampang di dahi Khusrin.

Khusrin bukan sahaja tidak boleh diharapkan untuk melaksanakan polisi Kerajaan Selangor sebaliknya beliau telah dibuktikan secara terbuka menentang , mensabotaj dan memburukkan imej Kerajaan Selangor dengan tindakan-tindakannya yang saya telah nyatakan sebelum ini. Mungkin Khusrin sesuai berkhidmat sebagai SUK jika Kerajaan Selangor masih diterajui oleh Kerajaan bobrok Umno tetapi beliau amat tidak layak untuk berkhidmat dengan Kerajaan Pakatan yang berpegang kepada paradigma politik yang baru.

Memanglah seorang SUK pada prinsip umumnya harus bersifat berkecuali dan “apolitical” ( tidak menyebelahi ). Dengan lain perkataan seorang SUK tanpa mengira parti mana pun memerintah mesti bersedia menjalankan tugasnya membantu menjayakan misi dan visi kerajaaan yang beliau bertugas di bawahnya. Adakah ada orang yang sihat pemikirannya boleh percaya Khusrin akan bersedia menjalankan tugasnya membantu menjayakan misi dan visi Kerajaaan Pakatan di Selangor.

Mungkin ada yang berhujah kenapakah tidak diberi peluang Khusrin terlebih dahulu menjalankan tugasnya sebagai SUK Selangor . Ini hujah yang agak menarik tapi penuh dengan racun. Hakikatnya hujah ini meminta Kerajaan Selangor memberi peluang Khusrin meranapkan Kerajaan Pakatan di Selangor. Menerima hujah ini samalah ibaratnya memberi peluang kucing menjalankan tugas menjaga ikan. Kalau ikan tidak dimamah sehingga hancur itu bukan namanya kucing !

Hakikatnya Khusrin sudah pun diberi peluang berkhidmat di dalam Kerajaan Pakatan di Selangor sebagai Pengarah JAIS walaupun tidak mempunyai kelayakan tinggi dalam bidang agama bagi memegang jawatan tersebut. Adakah sikap dan tindakan Pengarah JAIS di bawah Kerajaan Umno di Selangor yang banyak menggangu autonomi masjid berbeza selepas Kerajaaan Pakatan memerintah Selangor ? Bukankah Exco Agama Selangor pun diketepikan oleh Khusrin dalam banyak tindakan beliau ?


BO
 

Monday, January 10, 2011

Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!

Tema yang cukup menarik didengar oleh rakyat Malaysia dan tepat pada masanya ketika negara di landa dengan berbagai krisis, lantaran dipegang oleh orang yang tidak amanah dengan rakyat dan negara. Walaupun ia merupakan tawaran yang menarik untuk rakyat, tetapi meresahkan pemimpin yang berada di puncak kuasa. Sekarang pemimpin BN dilanda dengan mimpi ngeri takut kehilangan kuasa, kerana ini merupakan satu azab di dunia. Media Bn diarahkan untuk memburukkan apa yang tercatat dalam buku jingga.

Kenapa perlu ubah sekarang?

1.Pengurusan ekonomi tempang
Keadaan ekonomi negara berada ditakuk lama sejak krisis kewangan Asia Timur 1997/1998 telah ditinggal jauh oleh negara-negara Asia dan juga negara jiran, seperti Singapura malahan negara Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam. Cuma kelebihan Malaysia kaya dengan slogan yang menjadi candu supaya rakyat syok sendiri dan lupa hakikat sebenar. Antaranya slogan Model Ekonomi Baru (MEB), Program Transformasi Ekonomi (PTE). Walaupun kaya dengan slogan ekonomi negara 12 tahun berturut-turut defisit. Wang Petronas dihisap sampai hendak kering , sejak tahun 2007-2010 sebanyak RM325 bilion. Hutang negara makin meningkat berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tahun 2009 sebanyak 53.3%, melonjak naik berbanding kadar 35.1% dalam tahun 1998. Pertumbuhan ekonomi 2006-2010 hanya 4.2% sedangkan sasaran adalah 6%. Contoh pengurusan ekonomi negeri BN seperti yang dilapor oleh Ketua Audit Negara berhubung perbelanjaan melampau dan amat meragukan dalam projek pengubahsuaian Rumah Rehat Bentong sehingga disyaki berlaku penyelewengan dana kerajaan.

Dalam laporan Ketua Audit Negara menyebutkan tentang pemasangan papan tanda tandas di Rumah Rehat Bentong dituntut dengan jumlah RM871 sedangkan audit menjelaskan pada harga pasaran barang tersebut hanya berharga RM65.

Begitu juga dengan tuntutan set sofa yang pada nilaian pasaran cuma berharga RM990 telah dituntut sebanyak RM3,530. Lebih mengejutkan dalam laporan itu ialah tuntutan set lampu yang pada harga pasarannya cuma RM9,200 tetapi telah dituntut terlalu tinggi sehingga berjumlah RM38,700. Ini hanya sekadar contoh, yang menjadi bukti rakyat wajib tukar kepada kerajaan Pakatan Rakyat.

2.Institusi Kehakiman Dipertikaikan
Satu ketika dahulu institusi kehakiman negara kita adalah antara yang terbaik, kerana tidak ada campur tangan dipihak eksekutif. Ia berlaku tragedi hitam apabila pemecatan Tun Saleh Abbas 1988. Selepas daripada peristiwa pemecatan Tun Saleh keadaan sudah berubah. Apa yang dilihat oleh rakyat dalam kes Linggam dan perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah buktinya. Sebuah negara akan hancur jika institusi yang dianggap oleh rakyat untuk mendapat pengadilan telah diragui. Ianya bukan sahaja oleh rakyat yang cerdik malahan di kalangan pelabur asing yang tidak mahu datang melabur di negara ini.

3.Tahap keselamatan negara membimbangkan.
Bagaimana kerajaan boleh mengambil APCO Yahudi Israel sebagai penasihat komunikasi dengan bayaran RM77 juta setahun. Apa jaminan maklumat keselamatan negara tidak terlepas kepada mereka?. Kenyataan Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi telah pun mendedahkan berlaku pembocoran dan penjualan rahsia penting negara berkaitan keselamatan dan pertahanan negara. Setakat hari ini isu itu selesai begitu sahaja. Kononnya diselesaikan melalui saluran diplomatik.

Begitu juga dengan isu kehilangan enjin kapalterbang yang besar boleh hilang. Sasterawan Negara ke-10, Datuk Dr Anwar Ridhwan menyifatkan kehilangan enjin F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai tanda aras keruntuhan moral pimpinan negara ini.Beliau melahirkan kekesalannya kerana perkara yang tidak pernah dibayangkan boleh berlaku sebelum ini seperti kehilangan enjin pesawat yang saiznya besar tetapi mudah pula untuk diseludup ke luar negara. Kalau sampai dua enjin pesawat pejuang boleh hilang yang ahli silap mata terkenal dunia seperti David Copperfield tidak boleh hilangkannya tetapi yang menjaga keselamatan negara boleh hilangkan, ini satu gambaran tahap keselamatan negara.

4. Tahap keselamatan sosial juga merosot sehingga kerajaan terpaksa berbelanja wang sebanyak RM59 juta untuk memasang CCTV di seluruh negara. Betapa banyaknya wang rakyat terpaksa dibazirkan kerana keselamatan berada ditahap yang parah. Statistik jumlah keseluruhan orang hilang di negara ini dari tahun 2007 hingga 2010 iaitu seramai 7,312 orang yang dilaporkan PDRM amat membimbangkan rakyat.

Daripada jumlah itu, seramai 3,653 orang yang telah ditemui manakala bakinya sejumlah 3,479 masih belum ditemui.
Meskipun daripada jumlah yang ditemui tersebut lebih 95 peratus daripadanya dijumpai masih hidup, namun jumlah yang masih gagal ditemui menjadi titik persoalan yang besar.

5. Sempadan negara mudah terbolos.
Laporan Berita Harian pada 27 Ogos 2010 amat menggerunkaan tahap keselamatan negara yang mudah dimasuki dengan suapan rasuah. Dalam laporan eksklusifnya mendedahkan ada anggota dan pegawai imigresen di Jeti Penumpang Pulau Ketam, di Pelabuhan Klang menerima sogokan sehingga RM60,000 sebulan menyebabkan pintu masuk negara mudah dibolosi pendatang tanpa izin dari Indonesia.
Mengikut laporan itu, setiap penguat kuasa di percayai dibayar RM2,000 sehari untuk memudahkan urusan keluar masuk pendatang haram, termasuk melepaskan warga asing yang pasportnya mempunyai cop palsu atau tiada sebarang dokumen perjalanan. Apa jaminan pula dengan sempadan negara yang lain?

6.Rasuah telah menjadi barah negara yang sukar diubat daripada atas hingga peringkat bawah. Jika perkara ini tidak dicegah ia akan mendatangkan musibah yang besar. Semuanya berpunca daripada orang yang memimpin negara, naik dengan kuasa rasuah. Laporan audit 2008 sebanyak RM28 bilion hilang kerana ketirisan dalam pentadbiran. Indek rasuah tahun 2010 hanya 4.4 walaupun sasaran 4.9/10 berbanding dengan tahun 2009 2.9/10.


7. Gagal mewujudkan politik yang harmoni, walaupun cuba untuk berlindung disebalik slogan 1 Malaysia. Beberapa insiden yang berlaku melambangkan kegagalan kerajaan mewujudkan keharmonian kaum yang ada pada hari ini. Contohnya apa yang berlaku kepada Datuk Nasir Safar Pegawai Khas Perdana Menteri, Timbalan Pengarah Biro Tata Negara (BTN) Wilayah Persekutuan, Hamim Husin, Ucapan Ketua Umno Bahagian Titiwangsa, Datp' Johari Abdul Ghani dan ucapan dua orang pengetua sekolah. Umno dan BNlah pihak yang tidak henti-henti mengapi-apikan kebencian perkauman sama ada melalui agensi-agensi kerajaan yang dikuasai oleh kerajaan Umno BN atau media-media arus perdana yang dikuasai mereka.

Ustas Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat


BO

PAS ikrar setia dengan Pakatan Rakyat

Pemimpin tertinggi PAS berikrar akan tetap setia bersama Pakatan Rakyat dan menolak khabar angin bahawa parti itu akan bekerjasama dengan Umno.

Jaminan ini dinyatakan sendiri oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang apabila mengulas isu perjumpaan pemimpin PAS dan Umno atas undangan Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

Hadi berkata demikian ketika berpidato pada majilis solat hajat perdana di Stadium Melawati, Shah Alam, semalam. Majlis itu diadakan bagi memohon Allah menyelamatkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang hebat diserang terutama dalam isu perlantikan setiausaha kerajaan negeri Selangor.

"Majlis ini dianjurkan oleh pimpinan PAS untuk menyatakan kita akan bersama dengan rakan Pakatan Rakyat dalam sebarang cabaran dan penentangan BN.

“Kepada siapa sahaja rakan kita yang disentuh samada PAS, PKR dan DAP, kita akan bersama dalam hadapi segala cabaran. Pakatan Rakyat makin hari makin kuat. Ini kenyataan terbuka yang kita nyatakan secara praktikal pada malam ini," katanya.

Majlis anjuran PAS ini mendapat sambutan luar biasa apabila hampir 12 ribu hadirin membanjiri kawasan stadium menyertai acara solat hajat dan memberi sokongan terhadap kerajaan negeri Selangor.

Pengkhianatan Umno
Turut hadir di majlis ini adalah ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat serta pemimpin kanan dari kedua-dua parti Pakatan Rakyat ini.

Nik Aziz pula dalam pidatonya, menyentuh pengkhianatan Umno ketika PAS menjadi komponen BN.

"Dia nak bela Melayu tapi Melayu Kelantan tak nak bela. Inilah Umno. Nak suruh PAS berpadu dengan dia. Kita dah masuk BN, itupun dengan permintaan Allahyarham Tun Razak.

"Bila masuk dia tendang kita. Saya ingat pepatah Arab. 'Anjing yang kurus, bagi makan sampai gemuk, dia gigit kita balik. Oleh yang demikian bila dia minta balik bersungguh minta balik bekerjasama kita kata tidak," kata Nik Aziz.

Sementara itu, pada sidang media selepas majlis itu, Anwar berkata kontroversi pertemuan kepimpinan PAS bersama Umno sempena santapan di Istana Terengganu 24 Disember lalu sudah selesai.

Katanya, Pakatan Rakyat sudah dimaklumkan mengenai pertemuan bulan lalu, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya pada majlis santapan anjuran Yang di-Pertuan Agong.

“Tidak perlu nak panjangkan lagi, kita sudah ambil maklum.

Tiada tafsiran lain
“Tiada masalah dan tafsiran lain (pertemuan 24 Disember) itu,” kata Anwar.

Hadi pula pada sidang media yang sama berkata pihaknya telah menjelaskan “pertemuan 24 Disember itu” kepada pemimpin Pakatan Rakyat.

“Kita sudah maklumkan, kita juga sudah buat kenyataan terbuka mengenainya (pertemuan 24 Disember).

“Bila kita maklumkan tidak perlu saya beritahu, jadi jangan nak soal siasat macam polis,” kata ahli parlimen Marang itu.

Sebelum ini, Nik Aziz juga menyifatkan perkara tersebut telah selesai dan tidak perlu dibincangkan lagi.

“Tak ada dah, tutup 'book' (buku) dah,” katanya.

Mkini