Saturday, October 30, 2010

“Saya harap agar berlaku peningkatan undi dalam kalangan semua kaum di Galas ini supaya menjadi isyarat kita untuk ke Putrajaya,” - DSAI

Kemenangan Galas isyarat ke Putrajaya

GUA MUSANG - Pakatan Rakyat (PR) mahu memastikan kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas menjadi isyarat penting untuk menawan Putrajaya menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang dijangka semakin hampir diumumkan kerajaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pihak perlu bekerja bagi memastikan kemenangan dicapai pada PRU-12 lalu dipertahankan dan ia perlu dimulakan di DUN Galas.

Beliau juga turut mengharapkan agar berlaku peningkatan undi dalam semua saluran mengundi pada PRK kali ini.

“UMNO-BN kini semakin terdesak apabila mengalami kemerosotan sokongan rakyat sehingga sanggup menimbulkan isu-isu perkauman yang mencetuskan masalah perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Saya harap agar berlaku peningkatan undi dalam kalangan semua kaum di Galas ini supaya menjadi isyarat kita untuk ke Putrajaya,” katanya dalam satu ceramah perdana di Kampung Sungai Terah, semalam.

Hadir sama, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Speaker DUN Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud serta Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim.

Anwar turut menegaskan kemenangan dalam PRK DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi sangat penting kepada masa depan negara.

“Ia merupakan satu tanggungjawab yang penting bagi memastikan kemenangan ini dipertahankan, kerana ia bukan sekadar sebuah pilihan raya kecil biasa.

“Pemikiran rakyat telah dijajah hingga mereka tidak boleh berfikir dan terkongkong walaupun negara mencapai kemerdekaan selama lebih 50 tahun lalu,” katanya.

Beliau turut menyentuh isu pembentangan Bajet yang didakwa tidak membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kesengsaraan rakyat.

“Bajet 2011 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak relevan apabila kerajaan persekutuan sanggup berterusan membiarkan negeri yang paling miskin di Malaysia, iaitu negeri Sabah, terus berada dalam kesempitan dan kemiskinan.

“Berdasarkan satu maklumat yang saya terima daripada kempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi sekarang, ada kampung yang hanya seorang penduduknya pergi ke sekolah,” katanya.

SH

No comments:

Post a Comment