Thursday, September 30, 2010

Galas : Lantikan Ku Li umpama kata dua, kemenangan awal buat PAS

Tengku Razaleigh dilantik sebagai pengarah pilihan raya Umno bagi PRK Galas. — Gambar fail

KUALA LUMPUR, 30 Sept — PAS menyifatkan pelantikan Ketua Umno Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas sebagai “kata dua” kepada beliau yang menyokong tuntutan royalti kerajaan PAS Kelantan.

PAS memfailkan kes pertikaian royalti minyak 30 Ogos lalu.

Selain itu PAS juga mendakwa keputusan Umno itu, yang diumumkan semalam, jelas menunjukkan satu tindakan terdesak parti dominan Barisan Nasional (BN) tersebut dan kemenangan awal buat PAS.

“Ternyata Umno begitu bergantung harap pada pengaruh Tengku Razaleigh bagi merampas semula DUN berkenaan walaupun tahu Tengku Razaleigh tidak sealiran dengan pemimpin tertinggi Umno dan lantikannya adalah risiko terbesar yang perlu Umno tangani sepanjang kempen,” kata Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Tengku Razaleigh telah dilantik sebagai pengarah pilihan raya Umno-BN untuk pilihan raya kecil Galas.

Muhyiddin berkata keputusan itu diambil dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Umno semalam. Pengerusi Perhubungan Umno negeri Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed pula dilantik timbalan pengarah dengan dibantu jentera parti di peringkat negeri dan pusat.

Muhyiddin berkata beliau yakin dengan kepimpinan Razaleigh yang amat berpengalaman, berpengaruh lagi amat dihormati pengundi di DUN Galas.

Sebelum ini, kata beliau, di Manik Urai, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed telah dilantik sebagai Pengarah, namun gagal merampas kerusi berkenaan yang kekal di tangan PAS.

“Akibat kegagalan itu, beliau dinafikan hak untuk menjadi pengarah pilihan raya DUN Galas walaupun beliau adalah Pengerusi Perhubungan Negeri dan menteri Umno yang banyak menafikan hak royalti Kelantan,” kata Idris lagi.

“DUN Galas di kawasan Parlimen Gua Musang yang menjadi kubu Tengku Razaleigh di mana Umno menumpang pengaruh beliau untuk mengibarkan bendera mereka, bakal menjadi medan ujian buat Umno dan Tengku Razaleigh sendiri,” kata beliau.

Galas selama ini dikuasai Umno, namun dalam pilihan raya lalu Allahyarham Che Hashim Sulaima berjaya menawan kerusi itu dengan menewaskan calon Umno, Mohamad Saufi Deraman dengan majoriti 646 undi.

“Walaupun baru sepenggal bersama PAS, namun keyakinan rakyat Galas terhadap kemampuan wakil rakyat PAS dan juga kerajaan PAS bakal menjadi cabaran buat BN,” katanya lagi.

Idris menambah, bagi PAS pelantikan Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya Umno adalah kemenangan pertama kerana selepas Mac 2008 beliau begitu cenderung untuk bersama rakyat menyokong perjuangan kerajaan PAS Kelantan bagi menuntut royalti daripada kerajaan pusat pimpinan BN.

“Malah beliau yang juga mantan pengerusi Petronas menawarkan diri menjadi saksi bagi kes saman yang dikemukakan Kerajaan kelantan kepada Petronas.

“Beliau menjadi perhatian kerana sanggup menentang arus dan melawan Presiden Umno dan MT Umno yang duduk dalam kabinet demi membela nasib rakyat.

“PAS yakin lantikannya membuktikan Umno sebenarnya hilang keyakinan di Galas tetapi mahu memberikan tekanan kepada Tengku Razaleigh sendiri sebagai membuktikan kesetiaanya kepada Umno,” katanya.

Oleh itu kata Idris, ia umpama kata dua kepada Tengku Razaleigh sama ada berjuang untuk rakyat atau berjuangan untuk kepentingan Umno.

Sehubungan itu, kata Idris, PAS yakin Tengku Razaleigh tahu membuat keputusan dan beliau tahu jika Umno menang di Galas, belum tentu royalti minyak Kelantan akan dipulangkan.

“PAS tiada masalah jika beliau menerima pelantikan itu, tetapi mahu beliau gunakan peluang itu untuk terus memperjuangkan royalti minyak Kelantan.

“Jika dalam pilihan raya kecil nanti, isu royalti dibangkitkan, rakyat pasti tertanya-tanya, apa pula yang Tengku Razaleigh akan ucapkan?

“Sanggupkah beliau untuk menyanggah hujah Umno-BN demi kepentingan rakyat nanti,” kata Idris.

TMI

No comments:

Post a Comment