Friday, January 22, 2010

Khalid Samad menghadap Sultan Selangor pagi ini

“Pada hakikatnya ucapan saya bertujuan untuk menghalang golongan yang berkepentingan daripada menggunakan institusi di bawah naungan Sultan Selangor untuk tujuan politik mereka. Peringatan dan teguran saya bertujuan untuk menghalang nama baik baginda Sultan dari tercemar atas perbuatan yang tidak bertanggungjawab seperti ini,”


Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR, Jan 22 — Ahli Parlimen Shah Alam dari PAS, Khalid Samad yang muncul antara personaliti “buruan” ramai dalam isu kontroversi kalimah “Allah” akan menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pagi ini.

Bagaimanapun wakil rakyat yang mempunyai pendiriannya tersendiri dalam isu semasa ini khususnya membabitkan peranan Jais dan Mais, menjelaskan beliau menghadap Sultan Selangor atas permintaannya sendiri.

Malah katanya ia juga tiada kaitan dengan isu kalimah “Allah”.

“Ia tiada kaitan dengan isu semasa ini. Saya sudah lama memohon untuk menghadap Tuanku.

“Jadi saya diberi peluang untuk menghadap, membuat kunjungan hormat sebagai wakil rakyat Shah Alam.

“Sebenarnya sudah lama saya minta untuk menghadap Tuanku,” kata Khalid (gambar) ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Angggota Lajnah Politik PAS ini menambah, dalam kunjungan hari ini beliau akan mendapatkan wawasan Tuanku berhubung pembangunan Shah Alam.

“Selain itu saya juga akan mendapatkan pandangan baginda tentang peranan yang boleh saya mainkan dalam pembangunan kawasan Shah Alam khususnya,” kata beliau.

Bagaimanapun wakil rakyat penggal pertama ini menambah sekiranya isu kalimah “Allah” dan peranan Jais dan Mais berbangkit beliau akan memberikan pandangannya.

Kunjungan hormat ini diadakan sehari selepas Khalid menafikan tuduhan 16 pertubuhan bukan kerajaan bahawa beliau memberikan ucapan mencabar, memperlekeh dan mempertikaikan kedudukan Sultan Selangor ketika menyampaikan ceramah pada 12 Jan lalu.

“Pada hakikatnya ucapan saya bertujuan untuk menghalang golongan yang berkepentingan daripada menggunakan institusi di bawah naungan Sultan Selangor untuk tujuan politik mereka.

“Peringatan dan teguran saya bertujuan untuk menghalang nama baik baginda Sultan dari tercemar atas perbuatan yang tidak bertanggungjawab seperti ini,” katanya.

Tegas Khalid, usaha mengheret institusi di bawah naungan Sultan Selangor ke dalam kancah politik dilakukan oleh golongan yang berkepentingan, bukan beliau,” katanya.

Pada 18 Jan lalu 16 NGO lagi telah membuat laporan polis terhadap Khalid berhubung isi ucapannya di MPSJ bahawa Khalid telah mencabar, memperlekeh dan mempertikaikan kedudukan Sultan Selangor, dan mengheret baginda ke kancah politik.

“Usaha mengheret institusi di bawah naungan Sultan ke dalam kancah politik jelas kelihatan apabila demonstrasi diadakan di dalam Masjid Negeri pada 8 Jan.

“Demonstrasi tersebut disebut umum sebagai anjuran Jais dan Mais walaupun dinafikan oleh mereka kemudiannya,” katanya.

Beliau juga mahu kepimpinan dua institusi agama di Selangor — Jais dan Mais — dirombak selaras dengan pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat agar isu-isu semasa menyentuh umat Islam di negeri itu dapat ditangani dengan harmoni.

Khalid berkata beliau akan membawa syor itu ke peringkat atasan termasuk kepada Sultan Selangor jika mendapat peluang.


No comments:

Post a Comment