Saturday, January 9, 2010

Isu kalimah ‘Allah’ curi fokus kempen perang saraf Umno, PAS hari ini?

Oleh G. Manimaran

PETALING JAYA, Jan 9 — Di sebalik suasana tegang yang masih dirasai ekoran serangan ke atas tiga gereja di Lembah Klang semalam, dua parti politik utama negara mewakili orang Melayu — Umno dan PAS — secara kebetulan mengadakan perhimpunan di Selangor bagi menyuntik semangat menjelang pilihan raya umum ke-13.

Umno akan melancarkan program "Umno Juara Rakyat" di Bandar Bukit Sentosa, Hulu Selangor manakala PAS akan melancarkan program "Umno Pengkhianat Rakyat" di Shah Alam.

Ia akan dilancarkan oleh masing-masing ketua parti-parti itu pagi ini.

Walaupun kedua-dua program berkenaan dilancarkan secara kebetulan, yang telah diatur sejak awal bulan lalu tetapi ia menarik fokus banyak pihak ekoran isu kalimah "Allah" dan tindakan pihak yang belum dikenali pasti membakar gereja di ibu negara dan Petaling Jaya semalam.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya semalam ekoran kejadian membakar gereja berkata, pihaknya akan terus melaksanakan dakwah dan politik Islam dengan berdasarkan kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

"Ahli-ahli dan penyokong PAS di seluruh negara, serta rakyat keseluruhannya perlulah senantiasa diingatkan agar bertenang dan tidak terpengaruh dengan tindakan provokatif pihak-pihak tertentu.

"Kepada kepimpinan PAS di seluruh negara, hal ini akan dijelaskan dengan lebih lanjut dalam program penerangan PAS Pusat pada hari esok (hari ini) di Shah Alam," katanya.

Hadi juga berkata, tindakan pihak tertentu yang memilih cara ganas dengan melakukan tindakan yang ditegah oleh Islam menerusi serangan terhadap gereja adalah dikutuk dengan sekeras-kerasnya.

"Perlulah diingat bahawa Islam menerusi kefahaman dakwahnya adalah membawa konsep kebebasan beragama kepada orang yang belum menganut Islam," katanya.

Selain Hadi, turut akan hadir pada majlis Taklimat Penerangan Isu-Isu Semasa itu ialah Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Program ini diadakan khusus untuk membentangkan isu-isu nasional serta isu-isu yang berlaku di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Menurut ketua penerangan PAS Idris Ahmad dalam program ini juga segala pengkhianatan Umno dan Barisan Nasional terhadap rakyat akan dibongkar dan didedahkan kepada seluruh jentera penerangan yang hadir.

Dalam kejadian semalam selain Gereja Assumption dan Gereja Life Chapel di Petaling Jaya dan Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur menjadi sasaran serangan koktel molotov.

Bagaimanapun, lontaran koktel molotov ke atas Gereja Metro Tabernacle menyebakan letupan disusuli kebakaran.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini mengesahkan hanya menerima tiga laporan polis berhubung kejadian cubaan menyerang gereja.

Datuk Seri Najib Razak yang juga Perdana Menteri dan Presiden Umno menolak andaian bahawa kononnya ahli Umno yang cuba menimbulkan ketegangan selepas keputusan mahkmah yang membenarkan kalimah "Allah" digunakan oleh Herald.

"Jangan menuding jari kepada Umno atau sesiapa saja. Kami memang sentiasa bersikap amat bertanggungjawab. Jangan menuduh bahawa serangan ini didalangi oleh Umno.

"Apa yang baru anda nyatakan itu sangat menghina... anda bermaksud begitu. Hentikanlah," katanya.

Semalam PKR dan PAS mahu Umno bertanggungjawab atas situasi semasa.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru semua lapisan rakyat di seluruh negara untuk menyokong aspirasi parti dan kerajaan termasuklah bersedia terhadap perkembangan semasa khususnya program terbaru yang dinamakan "Umno Juara Rakyat".

Dalam hal ini katanya, semua peringkat dalam masyarakat khususnya para pemimpin termasuklah di peringkat akar umbi perlu memahami hasrat perdana menteri terutamanya untuk melihat parti ini lebih berjiwa rakyat dan terus berada di landasan perjuangannya.

“Kita telah pun menggariskan tumpuan yang bakal dilalui oleh ahli-ahli parti dan rakyat keseluruhannya dalam memastikan kesinambungan perjuangan terus relevan dengan mengaktifkan melalui progam dan aktiviti yang bertemakan Juara Rakyat,” katanya.

Dalam perancangan yang digariskan tahun lalu, Perdana Menteri telah memaklumkan bahawa ahli-ahli Majlis Tertinggi yang bermesyuarat telah meluluskan program bagi tahun 2010 akan dimulakan dengan pelaksanaan program yang bertemakan Juara Rakyat.

“Sebenarnya program yang dirancang tersebut bukanlah sesuatu yang asing tetapi ia diperincikan dengan lebih teratur dan mantap melalui pelbagai aktiviti akan dijalankan antaranya pendidikan, keagamaan, kerohanian, keusahawanan, perekonomian, sosial dan NGO serta pelbagai lagi jenis program yang telah ditentukan,” kata beliau dalam portal Umno Online.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional berkata program tersebut tidak mengkhusus kepada Umno semata-mata tetapi ia merangkumi penglibatan langsung rakan-rakan kompenan dalam BN dalam usaha untuk terus bersama-sama menggembling tenaga memastikan kerukunan dan keharmonian terpelihara.


themalaysianinsider

No comments:

Post a Comment