Pembalak haram guna alat telekomunikasi canggih |
MIRI : Pembalak haram dan mereka yang bersubahat dengan mereka, dengan menggunakan alat telekomunikasi yang canggih "menewaskan" para pegawai agensi penguatkuasa.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, George Chan berkata mereka yang bersubahat ini menggunakan alat telekomunikasi terkini untuk mengelak dari tangkapan.
"Kami mempunyai tanah simpanan yang luas dan mempunyai prinsip yang baik…..tapi sukar untuk menangkap mereka yang "nakal" ini daripada terus menebang pokok dan membersihkan tanah dari semasa ke semasa.
"Walaupun menggunakan helikopter, namun mereka dapat mengesan dan memberi amaran kepada orang-orang mereka bahawa kami akan datang," kata Chan pada hari penutup woksyop "Amalan Pengurusan Terbaik" untuk Projek Pemilik Lembah Sungai Miri di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, menyedari hal ini maka agensi penguatkuasa seharusnya dilengkapi dengan alat teknologi canggih dan serius dalam melaksanakan dasar-dasar yang melibatkan semua sektor.
"Ketika mana kita sedang maju, kita memerlukan lebih ramai pegawai penguatkuasa untuk melaksanakan dasar-dasar kita. Ini yang perlu kita lakukan," katanya.
Beliau menambah, ketika kerajaan sedang komited untuk meminimakan kerosakan alam sekitar akibat aktiviti manusia dan pembangunan, "adalah sukar membawa petualang-petualang ini ke muka pengadilan."
Kemusnahan alam sekitar
"Kami tahu apa yang berlaku…..kami sedar aktiviti-aktiviti haram ini yang menyebabkan kemusnahan alam sekitar seperti penghakisan tanah dalam sungai-sungai seperti Sungai Rajang dan Sungai Baram.
Tapi sukar untuk menangkap petualang-petualang ini," kata Chan, merujuk kepada bencana ekologi yang dahsyat di Sarawak pada awal Oktober.
Bencana kesesakan kayu balak yang merentasi Sungai Rajang sejauh 250 kilometer telah memberi kesan buruk kepada kehidupan beribu-ribu penduduk yang kebanyakannya terdiri daripada mereka yang menetap di sepanjang sungai itu.
Ini merupakan bencana ekologi yang ketiga. Bencana yang pertama di Ga’at berlaku pada 2008 dan kedua di Sungai Tunoh tahun lalu.
Menteri Pembangunan Tanah Negeri James Masing secara terbuka menyalahkan kesesakan dan lambakan kayu balak hasil dari pembalakan haram di hutan Sungai Melatai.
Masing yang dilaporkan terbang menjangkaui gunung-gunung di Ulu Melatai berkata, kesesakan kayu balak itu berlaku akibat tanah runtuh dan hakisan tanah berikutan pembalakan yang tidak terkawal.
Beliau berkata kawasan itu seumpama "zon perang".
"Tanah runtuh dan hakisan tanah telah memusnahkan sekurang-kurang tiga bukit di kawasan itu," katanya.
Oleh Staf FMT