Friday, November 12, 2010

Bapa isu sosej babi nafi beragama Islam


Beginda Minda, bapa kepada pelajar 10 tahun yang dirotan baru-baru ini kerana membawa sosej babi ke sekolah mendakwa bahawa beliau bukan beragama Islam, lapor The Star.

“Saya akui, saya pernah memeluk Islam sebelum ini. Tetapi pada 1999, saya sudah tukar agama. Sekarang saya bukan Islam,” kata Beginda, semalam.

Status agama lelaki itu menjadi kontroversial apabila isu merotan anaknya timbul.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata Jakim telah diarahkan menentus status agama Beginda.

“Hanya selepas itu, kesimpulan boleh dibuat mrengapa anaknya itu dirotan,” kata Nazri.

Perdebatan dan pertikaman lidah berlarut di Dewan Rakyat sejak dua hari lalu sama ada anaknya, Basil - yang dipelihara oleh ibunya yang beragama Kristian - adalah seorang Muslim.

Namun menurut Beginda, anaknya itu bukan beragama Islam.

“Anak saya beragama Kristian. Dia dibesarkan mengikut agama ibunya,” katanya.

Beginda berkata pada tahun 2004, apabila dia memohon MyKad, beliau telah menukar namanya semula kepada Beginda Anak Minda.

Anaknya dilahirkan pada 8 Mei 2000.

Di sijil kelahirannya, tiada agama dicatatkan untuk Beginda.

Semalam, ahli parlimen Bebas, Zulkifli Noordin menggesa Kementerian Dalam Negeri supaya menyiasat kemungkinan bapa kanak-kanak yang dirotan itu mempunyai dua identiti.

Ahli parlimen Kulim-Bandar Baru itu, pada Rabu lalu mendakwa kanak-kanak itu adalah anak seorang Muslim bernama Norazman Abdullah @ Beginda anak Minda.

Beliau membayangkan kemungkinan Beginda murtad kerana dia telah didakwa mempunyai dua nama yang berlainan.

Katanya, Beginda yang dikatakan bapa kepada pelajar tersebut - pada tahun 1998, sewaktu kes Datuk Seri Anwar Ibrahim - namanya adalah Norazman Abdullah @ Beginda Minda dan beragama Islam.

Zulkifli berkata, sijil perkahwinan dikeluarkan pada 29 Julai 2009 sedangkan perkahwinan berlangsung pada 25 Disember 1999 iaitu setahun selepas kes Anwar, ketika Beginda seorang Islam.

Mkini

No comments:

Post a Comment