KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan parti itu tidak menentang secara individu dengan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sekiranya diletak sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.
Sebaliknya Menteri Besar Kelantan itu berkata, Pas menentang UMNO yang menolak Islam sebagai asas perjuangan dan parti itu berhak meletak sesiapa sahaja sebagai calon pada pilihan raya kecil itu.
Nik Abdul Aziz berkata, walaupun Tengku Razaleigh memberi sokongan kepada Kerajaan Negeri dalam memperjuangan isu royalti minyak namun Pas tidak akan memberi laluan mudah sekiranya beliau bertanding kelak.
“Kita tetap lawan (walaupun Ku Li dicalonkan), kita lawan UMNO ni bukan batang tubuh, tetapi lawan parti yang menggunakan prinsip agama lain dan politik lain, ini bahaya,” katanya ketika ditemui di Majlis Aidilfitri 8 Briged di sini, semalam.
Tengku Razaleigh, yang sebelum ini dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya BN, disebut-sebut sebagai calon paling sesuai bertanding di Galas dan perkara itu mendapat reaksi positif daripada Timbalan Pengerusi UMNO dan Barisan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz mempertahankan kenyataannya bahawa Tengku Razaleigh tidak layak bertanding di kawasan tersebut kerana sudah mempunyai status yang besar dalam kerajaan sebelum ini.
“Ku Li pernah jadi Ketua UMNO Kelantan. Masa itu sepatutnya layak letak calon, tetapi dia tak buat. Mungkin dia tak mahu, siapa boleh sekat (hasratnya) kerana beliau menjadi ketua perhubungan ketika itu? Sebab itu saya kata kerusi itu memang bukan taraf Ku Li,” katanya.
Mengulas mengenai tarikh penamaan calon yang ditetapkan pada 26 Oktober dan 4 November sebagai tarikh pembuangan undi, Nik Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak bermasalah, malah bersedia bertanding dengan menurunkan calon yang berwibawa.
“Calon memang ada dan setakat ini makin ramai yang layak, kerana tunjuk secara fizikal dan praktikal (kebaikan) di Kelantan, usahkan orang Melayu, masyarakat Cina dan India juga tertarik. Saya yakin orang bukan Islam juga akan memberi sokongan penuh kepada Pas,” katanya.
No comments:
Post a Comment