Thursday, October 14, 2010

Pakatan Rakyat umum calon PAS 22 Oktober

KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat (PR) akan mengumumkan calon Pas yang bertanding di Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada 22 Oktober depan.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesemua pimpinan parti seperti Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang akan hadir di majlis tersebut.

Menurutnya, kesemua jentera PR termasuk jentera Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP telah bersiap sedia bagi membantu calon Pas mengekalkan kerusi berkenaan.

“Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Kit Siang dan saya bersama Tuan Guru (Datuk) Nik (Abdul) Aziz (Nik Mat) akan hadir dalam majlis pengumuman tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen, semalam.

Sementara itu, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang memberitahu, senarai calon telah diserahkan oleh Jawatankuasa Pas Pusat kepada Dewan Harian Pas yang bermesyuarat malam tadi.

“Malam ini (malam tadi) parti akan putuskan siapa calon Pas yang akan bertanding, dan kita akan umum pada 22 Oktober nanti.

“Calon yang kita akan pilih bukan sahaja mempunyai ketokohan, malah juga sesuai dengan keperluan lapangan,” katanya ketika ditemui di lobi parlimen.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, calon PR bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi akan ditentukan kepada Majlis pimpinan PR Sabah yang kan bermesyuarat selepas mengetahui tarikh pilihan raya tersebut.

“Kita telah mendapat penjelasan dari PR Sabah mengenai Batu Sapi, dan mereka akan bermesyuarat setelah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) umum tarikh,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa satu Persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri yang akan di adakan di Shah Alam pada 29 November ini.

SH

No comments:

Post a Comment