KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyarankan masyarakat Cina yang sudah dan akan masuk Islam di negara ini turut menyampai dakwah kepada orang Melayu.
Menurutnya, persepsi masyarakat yang menganggap masyarakat Cina itu semuanya tidak Islam perlu dibuang, malah diperbetulkan kembali agar nilai-nilai Islam dapat dipupuk dengan kaedah yang benar dan betul.
Katanya, masyarakat Cina perlu menerangkan kebaikan Islam lebih-lebih lagi apabila negara China terlebih dahulu menerima agama ini lebih dahulu berbanding masyarakat di negara ini.
“Melayu boleh dakwah kepada orang Cina, apa yang pelik sekiranya orang Cina dakwah kepada orang Melayu, masyarakat Cina di negara China lebih dahulu menerima agama Islam berbanding orang Melayu di negara ini.
”Lagipun orang Cina muda menerima agama Islam bukan secara ikut-ikutan tetapi melalui ilmu dan pembacaan yang mendalam tentang agama,” katanya kepada pemberita selepas hadir di majlis Aidilfitri meraikan anak Kelantan di perantauan di sini semalam.
Ditanya sama ada cadangannya boleh mengelirukan masyarakat umum, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, ia bukan satu perkara yang pelik sekiranya Islam difahami dengan kaedah yang betul.
”Orang yang menganggap ia pelik dan luar biasa menunjukkan mereka ketinggalan dari segi kefahaman agama, masyarakat Cina di negaranya menerima Islam lebih dahulu daripada negara kita, jadi apa peliknya jika mereka berdakwah kepada orang Melayu,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Nik Aziz mengulangi pendirian bahawa beliau sedia berkempen untuk membenarkan jawatan Menteri Besar diberikan kepada orang Cina sekiranya individu terbabit mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang memenuhi kehendak Islam.
Sinar Harian Kelantan/-
Cina Islam
No comments:
Post a Comment