Nik Aziz sendiri memfailkan writ saman tersebut di Kuala Lumpur. — gambar fail
KUALA LUMPUR, 30 Ogos — Kerajaan negeri Kelantan memulakan tindakan perundangan dengan memfailkan saman terhadap Petronas mendakwa syarikat petroleum nasional itu tidak membayar royalty — dianggarkan RM800 setahun sejak 2005 — terhadap hasil minyak diperoleh dari luar pesisir pantai Kelantan.
Menurut kerajaan negeri Kelantan, tindakan Petronas itu bukan sahaja melanggar undang-undang sedia ada, tetapi juga mendakwa bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Kes difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sekitar pukul 9.25 pagi tadi.
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri memfailkan writ saman di Bahagian Pendaftaran Dagang.
Selepas sahaja saman itu difailkan, Nik Aziz bersama hampir kesemua ahli Exco Kerajaan Negeri serta seramai 200 penyokong mengadakan sembayang hajat di Masjid Wilayah Persekutuan berhampiran.
Kerajaan Kelantan mengambil keputusan muktamad pada 25 Ogos lalu untuk mengemukakan saman terhadap Petronas pada hari ini berhubung tuntutan royalti minyak yang diperoleh dari perairan negeri itu — di sempadan Thailand-Kelantan.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata dalam kes saman itu kerajaan negeri tidak menetapkan jumlah tuntutan yang dibuat dan terserah kepada mahkamah yang akan menentukannya.
Writ saman itu dikemukakan atas nama Petronas dan bukannya kerajaan Malaysia.
Dalam pada itu, ketika ditemui wartawan di Masjid Wilayah Persekutuan, Nik Aziz berkata tindakan perundangan diambil kerana Petronas telah melanggar perjanjian yang dibuat bagi pembayaran wang royalti kepada Kelantan.
“Sebagai ketua kerajaan negeri saya bertanggungjawab untuk menjaga kehormatan harta negeri Kelantan, kedatangan saya hari ini adalah untuk menuntut hak dan menjaga kehormatan harta kita.
“Apa yang saya lakukan ini adalah untuk mendapatkan keadilan bagi rakyat Kelantan, jadi saya perlu lakukan apa jua cara sama ada melalui rundingan atau mahkamah,” katanya.
Beliau berkata, seseorang yang mempunyai harta perlu menjaga dan mendapatkan semula walaupun telah “dicuri.”
“Tiap-tiap orang yang ada harta mesti jaga dengan baik. Kalau orang curi, kita bertindak, kalau rompak, kita tindak, kalau tipu juga kita bertindak.
“Sebab tidak mahu perkara ini terus berlaku, kita bawa ke mahkamah, atas dasar orang Islam, kalau kita tak tunaikan di muka dunia, kalau kita jahat tetap kena bayar di akhirat.
“Sebelum bayar di akhirat, baik mereka bayar di muka dunia,” katanya.
Selain Husam, turut mengiringi Nik Aziz ialah Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan Bendahari PAS, Dr Mohd Hatta Ramli.
Kerajaan negeri Kelantan diwakili oleh Thommy Thomas.
Sementara itu, Husam berkata kerajaan negeri Kelantan telah menghubungi pengurusan Petronas dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi menjelaskan kedudukan sebenar negeri tersebut dari segi hak mendapatkan royalti.
“Kita dah hubungi Petronas dan Perdana Menteri melalui surat dan rundingan untuk jelaskan kedudukan Kelantan dari segi hak petroleum seperti mana yang terkandung dalam perjanjian Akta 144 Kemajuan Petroleum 1974 yang jelas tiada kekeliruan.
“Selain itu, perjanjian tersebut turut disokong Tengku Razaleigh Hamzah selaku pengerusi Petronas yang pertama.
“Dalam perjanjian itu dinyatakan jika pengeluaran petroleum dan gas berlaku sama ad di lautan dan daratan, Kelantan berhak mendapat lima peratus setahun bayaran royalti tersebut,” katanya.
Beliau berkata sehingga kini pihaknya mendapati telah berlaku pengeluaran minyak di empat blok petroleum sejak 2005.
“Keempat-empat blok tersebut adalah di perairan Kelantan yang tidak bertindih dengan mana-mana kawasan lain, bertindih dengan Terengganu, bertindih dengan Thailand dan bertindih dengan Vietnam.
“Jadi kerajaan negeri berhak mendapat bayaran royalti di keempat-empat kawasan ini.
“Sebagai contoh di kawasan bertindih dengan Thailand pengeluarannya adalah 10 juta tong satu bulan bermaksud dengan harga semasa pendapatannya adalah AS$8.5 bilion setahun dan ini bermaksud kita berhak mendapat sebanyak lima peratus daripada hasil tersebut,” katanya.
Husam yang juga pengerusi jawatankuasa khas mengenai tuntutan minyak berkata jumlah tersebut adalah satu angka yang besar.
“Petronas telah bayar royalti kepada Terengganu selama 18 tahun, jika berlaku kesilapan pada pembayaran royalti Terengganu bermakna pengurusan Petronas adalah disangsikan.
“Jadi selepas semua usaha yang kami lakukan selama ini tidak mendatangkan hasil, kami memilih untuk memfailkan saman terhadap Petronas,” katanya.
Antara relif yang lain dituntut adalah satu penjelasan diambil atau satu siasatan diperintahkan yang menghendaki Petronas untuk membuat pendedahan penuh dan benar berhubung semua fakta berkaitan dengan bayaran-bayaran tunai yang perlu dibuat kepada Kelantan, termasuk tempoh dari mana petroleum telah dikeluarkan, didapati atau diperoleh di luar pantai Kelantan, kawasan-kawasan atau blok-blok dari mana petroleum telah didapati dan diperoleh, serta jumlah bayaran tunai yang perlu dibuat kepada Kelantan.
Kerajaan negeri turut menuntut agar semua tunggakan pembayaran tunai yang telah diperjelaskan, hendaklah dibayar dalam tempoh satu bulan daripada perintah mahkamah.
Ia juga memohon satu perintah supaya semua bayaran tunai pada masa hadapan hendaklah dibayar kepada kerajaan negeri Kelantan oleh Petronas bagi petroleum yang dikeluarkan di luar pantai Kelantan seperti mana Perjanjian Petroleum Kelantan.
Turut dituntut lima relif yang lain, termasuk relif ganti rugi dan kos. Saman pemula tersebut tidak menyatakan jumlah keseluruhan tuntutan daripada Petronas.
Dalam kenyataan tuntutan, kerajaan negeri menjelaskan bahawa Perjanjian Petroleum Kelantan yang ditandatangani pada 9 Mei 1975, secara jelas menyatakan bahawa Petronas hendaklah membayar secara tunai sebanyak lima peratus bagi segala hasil minyak sama ada di pantai ataupun di luar pantai negeri tersebut.
Mengikut klausa kedua perjanjian, bayaran tunai itu hendaklah dibayar dua kali dalam setahun, pada atau sebelum 1 Mac, atau sebelum 1 September.
Menurut Klausa 3 pula, pembayaran tersebut hendaklah terus dibayar selama mana petroleum diperoleh dari negeri tersebut dan tidak perlu membayar sekiranya petroleum tidak lagi diperoleh.
Dalam kenyataan tuntutan tersebut, kerajaan negeri turut menjelaskan bahawa hak milik sumber petroleum dan hak-hak keistimewaan untuk mencari gali bukan satu pemberian kepada Petronas tanpa sebarang balasan ataupun pampasan.
No comments:
Post a Comment