Friday, August 20, 2010

PAS kesal SPRM enggan siasat MAS

KUALA LUMPUR : Naib Presiden PAS Pusat Salahuddin Ayub meluahkan rasa kesal terhadap keengganan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kerugian sebanyak RM8 bilion yang dialami oleh Malaysia Airline System (MAS).

"Alasan SPRM bahawa kes ini sedang disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman dan SPRM tidak mempunyai kuasa, tidak boleh diterima," katanya pada satu sidang media di lobi Parlimen hari ini, selepas mengadakan pertemuan dengan SPRM.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, kerugian MAS ini telah berlaku hampir 10 tahun yang lalu tapi pihak berkuasa masih berdolak dalih bagi melengahkan siasatan.

"Saya amat kecewa dengan alasan yang diberikan oleh Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mustapa Ali yang langsung tidak membantu untuk menyelesaikan penyelewengan MAS ini," katanya.

Ujar beliau, (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib Tun Razak perlu memain peranan menyelesaikan kemelut MAS dengan segera supaya ia akan menjadi ikhtibar kepada semua pihak.

Dua PM tidak siasat

"Dah dua perdana menteri yang bergelar Tun gagal menyelesaikan isu kerugian MAS ini, tak kan Najib pun turut melindungi dalang disebalik kerugian besar ini," ujarnya.

Salahuddin berkata, beliau akan menunggu jawapan daripada pihak SPRM kepada dokumen yang diserahkan dan jika SPRM masih gagal, perkara tersebut akan dibawa ke peringkat tertinggi iaitu Yang Dipertuan Agong.

"Saya selaku ahli parlimen yang mempunyai hak akan mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk melakukan penyiasatan terhadap kes kerugian MAS ini.

"Dalam perbincangan tadi, saya juga mengesyorkan kepada SPRM supaya memohon dipinda Perlembagaan Negara agar memberi kuasa pendakwaan kepada SPRM.

"SPRM selalu memberi pelbagai alasan dengan menyatakan pihaknya tidak dapat mendakwa orang yang tertuduh kerana kuasa pendakwaan adalah dibawah Peguam Negara," katanya.

Salahuddin sebelum ini mendakwa bahawa pendedahan maklumat sulit berkenaan kerugian RM8 bilion daripada SPRM kepada polis menyebabkan bekas Pengerusi Eksekutif MAS Tan Sri Tajuddin Ramli yang bertanggungjawab ke atas kerugian tersebut masih tidak didakwa.

“SPRM telah mendedahkan dokumen butiran yang diberikan oleh MAS kepada PDRM untuk membantu Tajuddin supaya beliau tidak akan disiasat. Ini bertentangan dengan Akta SPRM,” ujar beliau.

MAS mengalami kerugian sebanyak RM8 bilion ketika Tajuddin menerajui syarikat berkaitan kerajaan itu di antara tahun 1994 hingga 2001 sebagai pengerusi eksekutif.

No comments:

Post a Comment