Tuesday, June 15, 2010

Politik katak

themalaysianinsider

15 JUN — Semasa zaman kanak-kanak dahulu, diantara lagu yang terawal diajarkan oleh orang-orang tua adalah “Lompat Si Katak Lompat”.

Lagu tersebut diantaranya berbunyi,

Lompat si katak lompat,

Lompatlah tinggi-tinggi,

Cepatlah adik cepat,

Cepatlah bangun pagi-pagi,

Lagu kanak-kanak adalah salah satu metodologi bagi ibubapa dalam memberikan pendidikan kepada anak-anak. Mesej yang baik disampaikan melalui lirik lagu dengan irama yang mudah untuk dinyanyikan.

Mesej yang ingin disampaikan oleh lagu tersebut adalah nasihat agar kita menjadi orang yang rajin dan bekerja keras.

Dalam konteks politik Malaysia pada hari ini, lagu “Lompat si katak lompat” mungkin terdapat relevannya. Cuma relevannya terletak kepada si “katak” yang melompat dan bukannya mesej yang ingin disampaikan oleh lagu tersebut.

Dalam senario politik kini, lirik lagu tersebut mungkin sesuai diubah menjadi,

Lompat si katak lompat,

Lompatlah tinggi-tinggi,

Cepatlah adik lompat,

Nanti habis penggal ini,

Diantara istilah yang paling popular dalam kamus politik Malaysia pasca tsunami 8 Mac adalah “Politik Katak”. Politik katak merujuk kepada tindakan seseorang ahli politik melompat menyertai parti lawannya. Lebih berharga lagi jika seseorang ahli politik tersebut adalah ahli parlimen, ADUN atau memegang jawatan tinggi dalam sesuatu parti politik.

Sebelum 8 Mac, politik katak seringkali dikaitkan oleh Datuk Ibrahim Ali, Presiden Perkasa merangkap ahli parlimen bebas kerusi Pasir Mas oleh kerana sejarah politik beliau yang sering bertukar parti politik. Selain itu, politik katak juga mempunyai sejarah berlaku dengan luas di Sabah dan Sarawak.

Kini, politik katak telah menjadi amalan yang biasa bagi politik Malaysia baik di pihak Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR).

16 September

Politik katak pernah menggegarkan negara. Selepas PRU 12, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau mempunyai cukup bilangan ahli parlimen BN yang akan melompat menyertai PR bagi menumbangkan kerajaan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Walaupun perkara tersebut tidak menjadi kenyataan, dakwaan Anwar tersebut telah menyebabkan BN menghantar sejumlah besar ahli parlimen mereka ke Taipei,Taiwan untuk program lawatan sambil belajar pada tarikh yang dikatakan bakal berlaku perubahan kerajaan.

PR turut menggemparkan keadaan apabila membalas dengan menghantar berberapa orang ahli parlimen mereka untuk mengadakan pertemuan dengan ahli parlimen BN di Taipei yang sedang belajar “teknologi pertanian”.

Projek 16 September telah mempercepatkan peralihan kuasa daripada Abdullah kepada Datuk Seri Najib Razak. Desakan kuat dari dalaman BN telah menyebabkan Abdullah terpaksa turun dari takhta.

Najib perlu berterima kasih kepada Anwar dan PR oleh kerana jika projek 16 September tiada, tidak mungkin beliau akan menggantikan Abdullah secepat itu.

Kerajaan PR Perak tumbang

Politik katak telah menyebabkan berlakunya peristiwa besar dalam sejarah politik di negeri Perak. Selepas kerajaan BN gagal untuk mendapat majoriti kerusi pada PRU 12 lalu, PAS, DAP dan PKR menubuhkan kerajaan.

Kelebihan majoriti yang kecil menyebabkan kerajaan PR mudah goyang. Semuanya bermula apabila ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim mengumumkan untuk keluar Umno bagi menyertai PKR.

Kemasukan ADUN Bota kedalam PR telah memperkukuhkan lagi kerajaan pimpinan Datuk Seri Nizar Jamaluddin dari segi majoriti kerusi. Pada ketika itu, diwar-warkan akan ada beberapa ADUN BN yang akan mengikuti jejak Nasaruddin.

Akan tetapi khabar angin tersebut tidak menjadi kenyataan malahan perkara yang sebaliknya berlaku.

Tiga ADUN PR, dua daripadanya adalah Exco Kerajaan Negeri Perak, mengumumkan bahawa mereka keluar daripada PR menjadi ADUN Bebas menyokong BN. Manakala ADUN Bota, Nasaruddin Hashim melompat kembali menyertai Umno.

Tumbanglah kerajaan PR di Perak angkara politik katak. Datuk Seri Zambry Kadir telah diangkat menjadi mentri besar yang baru. Baru-baru ini, salah seorang ADUN PR yang melompat menjadi ADUN Bebas menyokong BN telah dikurniakan Darjah Kebesaran dari Istana Negeri Perak.

Krisis politik di negeri tersebut berpanjangan sehingga menyebabkan ketidakstabilan politik berlaku. Selain itu, krisis tersebut turut dibawa turun naik mahkamah.

Politik katak di negeri lain

Negeri-negeri lain tidak ketinggalan menyaksikan amalan politik katak dipraktikkan. Di negeri Kedah, dua ADUN dari PR telah melompat keluar menjadi ADUN Bebas menyokong BN.

Malahan baru-baru ini timbul desas-desus bahawa kerajaan negeri Kedah akan menerima nasib yang sama dengan Perak. Desas-desus tersebut telah menyebabkan MB Kedah mengeluarkan kenyataan akan membubarkan DUN jika berlaku satu lagi lompatan.

Selain itu kerajaan negeri Kedah turut menganjurkan perhimpunan yang dihadiri oleh barisan Exco dan ADUN bagi membuktikan kesetiaan mereka kepada kerajaan PR negeri tersebut.

Terdapat juga khabar angin mengenai ADUN BN dari Kuala Nerang ingin melompat menyertai PAS. Sehingga kini, masih belum ada apa-apa berlaku.

Negeri Selangor yang menjadi kubu kuat PKR tidak ketinggalan untuk mengalami politik katak. ADUN Pelabuhan Klang telah melompat keluar apabila timbul krisis diantara beliau dan MB Selangor. Beliau pada mulanya menjadi ADUN Bebas menyokong BN, akan tetapi baru-baru ini beliau telah menyertai Umno.

Politik katak juga berjangkit ke peringkat parlimen. Ahli parlimen Bayan Baru, Nibong Tebal, Bagan Serai dan Wangsa Maju telah meninggalkan PKR untuk menjadi ahli parlimen bebas. Selain daripada itu, ahli parlimen Kulim Bandar Baru dipecat dari PKR. Terdapat khabar angin bahawa seorang dua lagi yang bakal melompat.

ADUN Umno Perak bakal melompat?

Terbaru, Ketua Penerangan PKR Perak, Zulkifly Ibrahim memberitahu dalam satu sidang media di Ipoh tentang terdapatnya tiga ADUN Umno yang bakal melompat menyertai PKR.

Menurut beliau, rundingan masih berjalan diantara pucuk pimpinan partinya dengan ketiga-tiga ADUN Umno yang masih belum dinamakan olehnya. Beliau mendakwa, ketiga-tiga ADUN ini tidak berpuas hati dengan pentadbiran Zambry Kadir.

Zulkifly turut mendakwa bahawa 12 orang Ketua Umno Bahagian dinegeri tersebut turut tidak berpuas hati dengan Zambry dan akan melompat dalam jangkamasa terdekat.

MB Perak, Zambry Kadir telah menafikan dakwaan Zulkifly bahawa tiga ADUN Umno bakal melompat menyertai PR. Beliau mendakwa ini merupakan taktik pembangkang untuk memecah belahkan kerajaan BN Perak.

Masa depan politik katak

Cerita lompat melompat atau politik katak akan terus kedengaran sehinggalah parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRU 13 akan datang. Sehingga sampai waktu tersebut, pimpinan politik dari BN dan PR akan terus dihantui oleh politik katak.

Kerajaan-kerajaan negeri yang mempunyai majoriti kerusi tidak begitu besar akan sentiasa risau dan bimbang dengan kemungkinan tumbang akibat amalan politik katak.

PR yang menafikan majoriti 2/3 BN di parlimen akan sentiasa bimbang BN akan kembali memperolehi majoriti 2/3 dan membolehkan persempadanan semula dilakukan jika ahli-ahli parlimen mereka terus bermain dengan politik katak.

Apa-apa pun, Malaysia tidak mempunyai undang-undang untuk menghalang amalan politik katak. Dengan berleluasanya amalan politik katak di Malaysia, parti-parti politik kini terpaksa berkerja keras untuk mencari calon-calon pilihanraya yang dijamin setia kepada perjuangan mereka.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

No comments:

Post a Comment