Thursday, June 17, 2010

PAS yakin PRU 13 selepas Mac 2011

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 17 Jun : PAS percaya tarikh paling awal Datuk Seri Najib Razak akan mempertimbangkan bagi diadakan pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) adalah pada April tahun hadapan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, berkata perdana menteri itu tidak mungkin mengadakan PRU lebih awal dari itu biarpun ada kajian mendakwa sokongan rakyat kepada pentadbiran Najib pada waktu ini sangat baik.

"Tidak mungkin dalam masa terdekat, paling awal pun April 2011 bersekali dengan pilihan raya Sarawak," katanya ketika dihubungi petang ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib semalam yang mendakwa tarikh PRU 13 yang bakal diumum akan mengejutkan semua pihak.

Mengulas lanjut Mustafa berkata, mengikut pengamalan para perdana menteri terdahulu, pilihan raya umum biasanya akan diadakan selepas tempoh tiga tahun dari pilihan raya umum sebelumnya.

Jika keadaan itu diambil kira, tempoh tiga tahun untuk penggal ini, katanya akan tamat Mac tahun depan.

Sementara itu, faktor lain yang akan dipertimbang Najib katanya adalah pilihan raya negeri Sarawak yang perlu diadakan sebelum Jun tahun hadapan.

Umno BN, katanya sangat takut jika Pakatan Rakyat dapat menguasai Sarawak yang kini menjadi negeri talian hayat mereka untuk terus kekal berkuasa.

Sehubungan itu katanya, Umno BN tidak akan membiarkan Sarawak jatuh begitu mudah kepada Pakatan Rakyat seperti angin perubahan yang melanda Sibu.

"Sarawak adalah faktor penting kepada Umno BN, mereka akan kurangkan tumpuan Pakatan Rakyat pada pilihan raya Sarawak dengan mengumumkan pilihan raya serentak," katanya lagi.

Bagaimanapun katanya, PAS bersedia bila-bila masa berdepan PRU 13 dengan segala persiapan sedang dan telahpun dibuat sejak selesai PRU 12 lagi.


No comments:

Post a Comment