Friday, June 25, 2010

Jangan hina PAS, Hadi dengan dakwaan JI

KUALA LUMPUR, 25 Jun — Dewan Pemuda PAS menegaskan tindakan sesetengah pihak mengaitkan Presiden mereka Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan kumpulan pengganas Jemaah Islamiah (JI) sebagai satu bentuk penghinaan terhadap kepimpinan beliau dan parti berusia enam dekad tersebut.

“Mengaitkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan keganasan adalah satu penghinaan terhadap beliau, PAS serta pendokong dan penyokong PAS yang berjumlah hampir sejuta orang ini,” kata Pemuda PAS Nasrudin Hassan at-Tantawi dalam satu kenyataan hari ini.

Nasrudin juga berkata, tindakan yang mengaitkan Hadi dengan keganasan tidak lain hanya sikap manusia yang ‘terdesak' dan dengki terhadap populariti beliau.

Malah beliau, orang sebegini hanya bencikan pengaruh PAS yang semakin diterima oleh kelompok bukan Islam.

Nasrudin mengulas laporan mendakwa ada pihak yang cuba hendak mengaitkan PAS dengan pengganas, pemimpin seperti Hadi sebagai individu yang ada hubungan dengan pengganas.

“Presiden PAS adalah pemimpin PAS sejak tahun 1980-an lagi. Daripada menjadi Naib Yang Dipertua, Timbalan Presiden sehingga kini menjadi Presiden PAS sejak tahun 2002.

“Beliau juga adalah Ahli Parlimen dan seorang ADUN. Mana mungkin seorang pengganas bergerak atas platform rasmi negara.

“Semua aktiviti beliau diketahui sama ada dalam negara mahupun luar negara. Jadual beliau sendiri dimaklumkan kepada media,” katanya lagi.

Nasrudin menegaskan, pengganas tidak bersifat demikian dan seorang pengganas akan bertindak secara senyap-senyap dan tidak berani menzahirkan diri di khalayak ramai.

“... takut dirinya akan ditangkap. Segala aktivitinya juga tidak akan didedahkan.

“Ambillah contoh beberapa pihak yang dianggap pengganas dan segala aktiviti hidupnya. Sudah pasti amat jauh berbeza dengan peribadi Datuk Seri Presiden PAS,” kata beliau.

Ketua Dewan Pemuda PAS itu menambah, sekiranya Hadi seorang pengganas, maka sudah lama negara ini menjadi huru-hara.

“Sudah pasti ada kejadian membakar dan mengebom bangunan sepertimana yang berlaku di Indonesia dan Thailand berlaku.

“Pengikut PAS dan penyokong Datuk Seri Presiden PAS ada di mana-mana di Malaysia ini. Boleh dikatakan bukan setakat umat Islam, bahkan bukan Islam pun ramai yang menjadi penyokong beliau.

“Populariti beliau lebih daripada Perdana Menteri sendiri. Beliau dikenali di dunia Islam antarabangsa, walaupun beliau bukan Perdana Menteri.

“Ucapan dan tulisan beliau disukai oleh setiap lapisan masyarakat,” katanya lagi.

Pun begitu kata beliau, semua tulisan dan ucapan Hadi tidak pernah menjurus ke arah keganasan.

Katanya, Hadi juga tidak pernah meminta umat Islam Malaysia berperang dengan kerajaan Malaysia dan semua ucapan dan penulisannya adalah berbentuk dakwah dan tarbiyah.

“Beliau menjurus persoalan akidah dan tauhid, akhlak dan syariat yang menjadi pedoman umat Islam. Beliau selalu meluruskan umat Islam yang bengkok dan lari dari landasan perjuangan.

“Apakah kerana ketegasan Presiden PAS terhadap isu umat Islam di Palestin, Afghanistan, Iraq, Kashmir, Chehnya, selatan Filipina dan Thailand ini dianggap sebagai pengganas.

“Sedangkan itulah sikap sebenar sebagai pemimpin umat Islam yang tulen. Sewajarnya pemimpin umat Islam yang lainnya bersikap keras sekiranya ada negara-negara umat Islam yang diserang dan dicerobohi,” kata beliau.

Nasrudin juga menambah, keganasan bukan sikap PAS dan cara PAS mendapatkan kuasa.

“Sejak tahun 1951, PAS telah menyertai pilihan raya.

“Kaedah demokrasi berparlimen yang diamalkan sekarang itulah yang diamalkan oleh PAS.

“Tidak pernah PAS mengajak mana-mana ahli dan penyokongnya bertindak ganas dalam mana-mana aktivitinya,” katanya lagi.

Laporan media menyebut nama bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim, Hadi serta bekas mufti Perlis dan mufti semasa negeri itu dikaitkan dengan JI dan fahaman wahabi pada satu taklimat pihak berkuasa Isnin lalu.

Bagaimanapun dakwaan itu dipertikaikan oleh Asri dan mufti Perlis Dr Juanda Jaya sambil menegaskan, pendedahan wujudnya peranan JI sambil dikaitkan dengan tokoh-tokoh tokoh politik kemungkinan besar merupakan “mainan politik kotor kerajaan” untuk mengalih isu semasa.

“Dengan ini, apa yang disebut oleh beberapa tokoh masyarakat seperti SM Idris dan pihak Pakatan Rakyat bahawa isu ini tiada asasnya kelihatan benar.

“Bahkan ia bermungkinan besar mainan politik kotor kerajaan yang memerintah untuk mengalihkan isu-isu tertentu,” kata dua pemimpin berkenaan dalam satu kenyataan dikeluarkan pagi semalam.

Asri merupakan bekas mufti Perlis dan tempatnya digantikan oleh Juanda.

Asri dan Juanda menambah, buktinya laporan media yang menyatakan bahawa dalam satu taklimat keselamatan negara berhubung JI Isnin lalu telah didakwa bahawa nama kedua-dua mereka bersama Hadi dan Shahidan serta ramai lagi tokoh masyarakat dikaitkan dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

“Demikian dikaitkan pertubuhan JIM dengan rangkaian pemikiran radikal di Timur Tengah,” kata Asri dan Juanda dalam kenyataan bersama.

TMI

1 comment:

  1. UMNO mmg kaki fitnh..smn je mamat yg buat fitnah tu...slm perjuangn, mhn link shbt

    ReplyDelete