Tuesday, April 20, 2010

Nik Aziz sokong Zaid

KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi sokongan penuh kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zaid Ibrahim bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor 25 April ini.

Nik Aziz yang kini sedang mengerjakan umrah di Tanah Suci Makkah dikatakan beberapa kali berhubung dengan Zaid termasuk semasa hari penamaan calon Sabtu lalu bagi menyatakan sokongan kepada bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu.

Menjelaskan perkara itu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, Menteri Besar Kelantan itu sentiasa mengambil berat perkembangan di Hulu Selangor termasuk menghubungi Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetahui situasi yang berlaku.

“Semalam (kelmarin) Tok Guru ada bertanyakan perkembangan (Hulu Selangor), beliau juga ada bercakap dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, (malah) semasa hari penamaan calon Tok Guru ada berhubung dengan Zaid dan yang terbaru dua hari lepas, dia beri sokongan penuh kepada Zaid, “katanya.

Husam yang juga Exco Kanan Kerajaan Kelantan berkata demikian ketika ditemui semasa menyampaikan kunci kepada kedai pejabat Fasa 1A, Bandar Baru Tunjung, di sini semalam.

Zaid, bekas Ketua Bahagian UMNO Kota Bharu pernah mengemukakan petisyen di Mahkamah Persekutuan Untuk mendapatkan deklarasi bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah(11) 1993, Negeri Kelantan yang melibatkan peruntukkan perundangan jenayah seperti Rang Undang-Undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) adalah terbatal dan tidak sah.

Beliau mencabar keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Kelantan yang meluluskan enakmen itu kerana ia bercanggahan dengan Perkara 74 dan 8, serta Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada yang sama, Zaid kini berdepan dengan beberapa isu moral termasuk cabaran bersumpah untuk membersihkan namanya yang didakwa sebagai peminum arak tegar.

Dalam pada itu Husam berkata, Nik Aziz yang dijangka pulang ke tanah air 21 April ini akan turun berkempen ke Hulu Selangor pada 23 April, dua hari selepas pulang dari Tanah Suci bagi membantu kemenangan Zaid.

Dalam masa yang sama, Husam mengecam sikap pemimpin UMNO yang menggunakan isu peribadi Zaid untuk berkempen bagi mendapat sokongan rakyat di Hulu Selangor.

“Sebelum ini UMNO pernah lantik Zaid sebagai calon di Parlimen Kota Bharu. Perdana Menteri juga pernah melantik beliau sebagai menteri. Kenapa mereka tak bangkitkan masalah-masalah Zaid itu tapi hanya sekarang baru nak dedahkan,” katanya.

SH

No comments:

Post a Comment