Thursday, February 25, 2010

Nizar : Perak lebih kartun dari kartun

Oleh Mohd Zuharman

MACHANG, Feb 25 — Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (gambar) yang kehilangan jawatan Menteri Besar Perak setahun lalu ekoran krisis politik menyifatkan negeri itu sebagai “lebih kartun dari kartun.”

Beliau berkata demikian mengulas peruntukan undang-undang tubuh kerajaan negeri bahawa Menteri Besar hanya boleh dilucutkan jawatannya melalui pembubaran Dewan Undangan Negeri, undi tidak percaya ataupun Menteri Besar sendiri meletakkan jawatan.

“Sekarang ini negeri Perak mempunyai dua surat pentauliahan Menteri Besar, sebab walaupun saya telah digugurkan namun hingga sekarang surat tauliah saya sebagai Menteri Besar belum ditamatkan lagi.

“Tidak dibatalkan lagi. Sepatutnya tauliah tersebut dibatalkan dahulu sebelum buat pelantikan yang baru,” kata beliau ketika menyampaikan ceramah perdana Pakatan Rakyat (PR) di Padang Majis Daerah Machang dekat sini, malam tadi.

Hadir sama Naib Presiden PKR Azmin Ali, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Siti Zailah Yusof.

Konflik kerajaan negeri Perak tercetus ekoran dua ADUN PKR dan seorang dari DAP meninggalkan parti masing-masing mengisytihar sebagai calon Bebas, sekali gus menyokong BN-Umno.

Ekoran itu Nizar dititahkan oleh Sultan Azlan Shah supaya meletak jawatan sebagai Menteri Besar setelah mendapati Barisan Nasional mempunyai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri, lalu melantik Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai penggantinya.

Nizar bagaimanapun enggan berbuat demikian menyebabkan pertikaian dibawa ke mahkamah.

Awal bulan ini Mahkamah Persekutuan memutuskan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Dalam pada itu, Nizar percaya rasional rakyat dalam menilai situasi kudeta di Perak, malah yakin Barisan Nasional pasti akan berdepan dengan penghakiman rakyat pada pilihan raya umum ke-13.

“Saya percaya dengan kematangan rakyat,” kata Nizar disambut dengan laungan takbir, kemudian disusuli dengan kata cerca “Umno khianat” dari penyokong PR hampir 6,000 memenuhi ruang padang tersebut mengikuti ceramah berkenaan.


Terdahulu, kemunculan sulung Azmin pada program ceramah perdana di Kelantan selepas beberapa siri krisis yang mencetuskan pelbagai kontroversi mendakwa Ketua Polis Negara adalah musuhnya bernombor satu.

Beliau memaklumkan perkara itu susulan amaran pihak polis ke atasnya supaya tidak menyentuh kes liwat Ketua Umum PR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ceramahnya di sini.

Azmin mengesahkan amaran itu telah diberi oleh pihak berkenaan semasa berada di ruang bangunan Parlimen sebelum bertolak ke Kelantan tengah hari semalam.

Namun tegasnya, demi kebenaran dan keadilan beliau tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak melainkan rakyat.

“Saya hanya akan tunduk pada rakyat, bukan kepada Musa Hassan. Musa Hassan adalah musuh saya nombor wahid.

“Tidak ada sebab untuk saya tunduk pada mereka yang menggunakan kuasa pencacai Umno,” tegasnya.

Semalam dua Ahli Parlimen PR R. Sivarasa dan Salahuddin Ayub, masing-masing Naib Presiden PKR dan PAS disoal siasat polis di pejabat wakil rakyat di bangunan Parlimen berhubung dakwaan membuat kenyataan berunsur hasutan ketika satu perhimpunan umum di Pulau Pinang awal bulan ini.

No comments:

Post a Comment