Thursday, February 18, 2010

Liwat : Keputusan hakim tarik diri 25 Mac

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 18 Feb : Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangguhkan lagi pagi tadi ekoran Hakim Datuk Mohamad Zabidin Md Diah enggan mengundurkan diri seperti yang diminta oleh pasukan peguambela.

Bagaimanapun, Mohamed menjelaskan bahawa Mahkamah akan membuat keputusan sama ada untuk mengetepikan beliau dari mendengar perbicaraan tersebut atau sebaliknya pada 25 Mac depan.

Sebelum pada itu, peguambela Karpal Singh di kamar perbicaraan mendesak Mohamed supaya tidak mendengar perbicaraan kerana dianggap bias terhadap anak guamannya.

Sejurus selepas perbicaraan tersebut ditangguhkan, Karpal Singh terus mengfailkan satu lagi rayuan di mahkamah supaya Mohamad Zabidin diketepikan dari mendengar penghujahan tersebut.
Bercakap di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Anwar menyuarakan harapan supaya perbicaraan mahkamah ke atas dirinya dilakukan secara adil dan saksama.

“Perbicaraan ini mesti dilakukan secara saksama sebagaimana yang ada dalam negara hukum seperti dipertegas oleh Karpal Singh (bahawa) tidak ada asas bagi (Tan Sri) Abdul Gani Patail (Pengum Negara) untuk tidak menggugurkan kes ini.”

Beliau yang juga Ketua Pembangkang mendakwa komitmen Abdul Gani itu semata-mata mengikut telunjuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau yang juga Ketua Umum PKR mempersoal komitmen mahkamah menolak sapina yang dikenakan ke atas Najib dan Rosmah, yang didakwa terbabit melakukan konspirasi dan fitnah ke atas beliau bersama-sama saksi utama, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat serta beberapa kepemimpinan tertinggi Pakatan Rakyat seperti Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar serta Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dan Datuk Kamaruddin Jaffar yang juga hadir di mahkamah.

Sebelum pada itu, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mencadangkan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menyuarakan bantahan ke atas keputusan Mahkamah yang dianggap tidak bebas terhadap Anwar.

“Sekiranya Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bercadang mengadakan suatu tuntutan atau memorandum, kita menyokong penuh kerana menganggap kes ini akan menjejaskan nama baik Mahkamah di Malaysia jika diteruskan.”

“Saya melihat Mahkamah seperti tidak bebas dan saya berasa seperti wujudnya konspirasi kerana pendakwaan tersebut bukannya berasaskan pada bukti-bukti, seperti laporan perubatan yang dikeluarkan (Hospital) Pusrawi yang jelas memberi isyarat bahawa Mahkamah wajar menggugurkan kes tersebut.”

Selaku salah seorang pemerhati mewakili PAS di kandang perbicaraan, Mahfuz mempersoal motif di sebalik tindakan pendakwaraya memohon perbicaraan kes liwat itu ditangguhkan.

“Bila Hakim menolak permohonan Karpal untuk mengetepikannya (dari mendengar perbicaraan), pendakwaraya yang bangun memohon kes tersebut ditangguhkan, sepatutnya Karpal yang perlu membuat permohonan itu demi anak guamannya (Anwar),” jelasnya.

Tindakan pendakwaraya itu, menurut Mahfuz sebagai usaha melengah-lengahkan kes tersebut dari dibicarakan dengan seorang Hakim baru yang dilihat adil dan saksama.

Beliau turut tidak menolak kemungkinan bahawa motis pendakwaraya adalah untuk membuat mempersiapan penghujahan dan skrip keterangan untuk Saiful, supaya saksi utama itu tidak lagi mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang meragukan sebagaimana di kandang saksi sebelum ini.

“Mungkin mereka (pendakwaraya) tengah cari bukti atau alasan supaya Anwar boleh dibawa ke Penjara.”

“Apabila pendakwaraya sendiri rayu supaya Hakim yang dilihat tidak adil terus membicarakan kes ini, saya nampak seperti wujud suatu konspirasi,”

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berpendapat bahawa tindakan Umno dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Melayu mengadakan demontrasi membantah sokongan Ahli Parlimen Autralia ke atas Anwar sebagai suatu perlanggaran hak kebebasan bersuara.

Sehubungan itu, beliau menganggap permohonan Karpal Singh sebelum ini supaya kes liwat itu digugurkan berasaskan laporan perubatan dari Hospital Pusrawi yang menjelaskan Anwar tidak meliwat Saiful sesuatu yang munasabah demi mengelakkan memulihara kedudukan institusi Mahkamah dan nama baik Malaysia dari terus dipertikai dunia.

Dalam perkembangan berkaitan, lebih 300 penyokong Anwar melaungkan ‘Reformasi’, ‘Anwar difitnah’ dan ‘keadilan untuk Anwar’.

Mewakili mereka, Badrul Hisham Shaharin iaitu Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia mencabar Najib dan Rosmah hadir ke Mahkamah untuk membantu siasatan kes liwat serta membersihkan dakwaan umum bahawa mereka berdua masing-masing terlibat dalam konspirasi membawa Anwar ke penjara.



Pada 8 Februari lalu, Karpal Singh di kamar perbicaraan mendesak Mohamed supaya diketepikan kerana enggan mengenakan tindakan ke atas ke atas akhbar Utusan Malaysia dan beberapa blog yang menyiarkan beberapa butiran eksklusif Mahkamh seperti gambar Saiful menunjukkan lokasi aksi liwat, iaitu di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara.

Menganggap perbuatan Utusan itu seperti menghina Mahkamah, Karpal sekaligus menganggap tindakan Mohamed itu seperti tidak melaksanakan tanggungjawab sebenar sebagai seorang Hakim yang adil dan saksama.

Sekiranya Anwar, 63 disabit bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful, 25, beliau bakal menghadapi hukuman penjara 20 tahun dan sebatan sebagaimana dirujuk pada Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment