Wednesday, January 27, 2010

Zul ‘lega’ keputusan PKR, mahu PAS tindak sama ke atas Khalid

“Adalah tidak adil mengenakan tindakan ini ke atas saya seorang sahaja. PAS juga perlu mengambil tindakan seperti ini ke atas Khalid (Yang Dipertua PAS Shah Alam).

“Pakatan Rakyat tidak ada mekanisme untuk berbuat demikian tetapi boleh meminta PAS bertindak ke atas Khalid (menerusi Majlis Pimpinan Presiden),”



Oleh G. Manimaran

PETALING JAYA, Jan 26 — Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin (gambar) akur dengan keputusan pucuk kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang merujuknya kepada lembaga disiplin tetapi sebenarnya beliau menjangkakan keputusan yang lebih “drastik” hari ini.

Pada masa yang sama, beliau mahu PAS mengambil tindakan yang serupa terhadap Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang mengesyorkan agar Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) dikaji semula atas alasan sudah ketinggalan zaman.

“Adalah tidak adil mengenakan tindakan ini ke atas saya seorang sahaja. PAS juga perlu mengambil tindakan seperti ini ke atas Khalid (Yang Dipertua PAS Shah Alam).

“Pakatan Rakyat tidak ada mekanisme untuk berbuat demikian tetapi boleh meminta PAS bertindak ke atas Khalid (menerusi Majlis Pimpinan Presiden),” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Sambil mengesahkan belum menerima apa-apa makluman secara rasmi ataupun tidak rasmi setakat ini, Zulkifli menambah:

“Saya akur dengan Biro Politik memutuskan untuk merujuk saya kepada lembaga disiplin dan saya difahamkan, saya tidak boleh membuat apa-apa kenyataan mengenai tindakan saya membuat laporan polis ke atas Khalid,” kata beliau.

“Tindakan merujuk kepada lembaga disiplin adalah perkara biasa, sebenarnya saya telah menjangkakan satu keputusan yang lebih berat akan dikenakan hari ini jua... tetapi hanya dirujuk kepada lembaga disiplin.

“Saya bukan gembira dengan keputusan ini, tetapi ini sebahagian daripada asam garam perjalanan politik,” kata beliau lagi.

Petang tadi PKR memutuskan untuk merujuk Zulkifli kepada lembaga disiplin kerana mencetuskan kontroversi dengan membuat laporan polis terhadap Khalid.

Lembaga tersebut diminta bersidang dalam tempoh tidak melebihi satu bulan bagi mengkaji, menyiasat aduan dan mendengar penjelasan Zulkifli berhubung tindakannya membuat laporan polis terhadap Khalid berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

Zulkifli mendakwa Khalid telah menghina Sultan Selangor, umat Islam dan Dewan Undangan Negeri.

Lembaga disiplin terikat kepada keputusan yang berupa amaran, menggantung keahlian dan memecat keanggotaan.

Sementara siasatan itu berjalan, Zulkifli tidak harus memberi sebarang kenyataan media bagi membolehkan proses ini diselesaikan mengikut saluran parti.

Mengulas lanjut, Zuklifli berkata beliau tidak akan menyentuh isu laporan polis ke atas Khalid sebagaimana diarahkan oleh parti tetapi akan terus menyentuh isu penggunaan kalimah “Allah”.

themalaysianinsider

No comments:

Post a Comment