Monday, January 18, 2010

PAS dakwa Hishammuddin, Musa gagal kawal rumah ibadat diserang

“Kegagalan mengawal kejadian pembakaran dan pencemaran ke atas gereja adalah sesuatu yang sangat memalukan negara. Keadaan ini terus memberi imej buruk kepada negara kerana dilihat tidak punya keupayaan menjamin keselamatan dan ketenteraman awam untuk rakyat,”


KUALA LUMPUR, Jan 17 – Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menggesa Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara harus meletakkan jawatan masing-masing kerana gagal mengawal kejadian serangan dan vandalisme ke atas rumah-rumah ibadat sejak lebih seminggu lalu.

“Kegagalan mengawal kejadian pembakaran dan pencemaran ke atas gereja adalah sesuatu yang sangat memalukan negara.

“Keadaan ini terus memberi imej buruk kepada negara kerana dilihat tidak punya keupayaan menjamin keselamatan dan ketenteraman awam untuk rakyat,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Setakat semalam, 10 gereja dan sebuah kuil Sikh berhadapan dengan perbuatan serangan dan vandalisme.

Sebuah masjid di Sarawak juga menjadi sasaran kerja vandalisme sehari selepas gereja di Seremban, perkembangan yang dikhuatiri boleh memburukkan lagi suasana tegang ekoran isu kontroversi penggunaan kalimah “Allah”.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menambah kegagalan ini perlu dipertanggungjawabkan ke atas Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Datuk Seri Hishammuddin Hussein selaku Menteri Dalam Negeri dan Tan Sri Musa Hassan selaku Ketua Polis Negara yang jelas gagal untuk mencapai sasaran indeks utama prestasi (KPI) kedua-dua institusi tersebut.

“Oleh itu amat wajar Datuk Seri Hishammuddin dan Tan Sri Musa melepaskan jawatan atau diberhentikan dari jawatan masing masing atas kegagalan mencapai KPI masing masing.

“Apa guna bercakap dan bermesyuarat berkenaan KPI bila KPI paling penting untuk KDN dan PDRM ialah menjaga keselamatan rakyat dan harta benda rakyat tidak dapat dijamin,” katanya.

Mahfuz memberitahu, Kabinet pimpinan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hanya bercakap tentang pencapaian KPI walaupun sudah beberapa kali membincangkan persoalan KPI, kewajipan asas kerajaan amnya dan KDN serta PDRM khasnya untuk menjamin keselamatan dan ketenteraman awam serta menjaga harta benda rakyat tidak dapat dilakukan.

themalaysianinsider

No comments:

Post a Comment