Monday, November 9, 2009

AMK demo desak Badrul letak jawatan

dari Mkini Salhan K Ahmad
Nov 9, 09 11:23am


Kira-kira 30 penyokong Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Angkatan Muda PKR Selangor berdemonstrasi di hadapan bangunan SUK bagi mendesak ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah meletak jawatan.

Di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mula bersidang hari ini, Badrul Hisham kelihatan duduk di belakang ADUN Barisan Nasional (BN).

Kumpulan tersebut berhimpun kira-kira setengah jam sejak jam 9.45 pagi ini untuk menyerahkan memorandum dan surat kepada Badrul Hisham.

Bagaimanapun, kerana tidak dapat menemui Badrul Hisham yang sedang berada dalam Dewan, maka mereka menyerahkannya kepada seorang pembantu khas speaker DUN Heng Yong Seng.

Mereka yang berhimpun secara aman, melaungkan slogan antara lain "Badrul tak tahu malu," dan "Badrul letak jawatan," dan "Badrul sila keluar."


Ketua AMK PKR Selangor, Khairul Anwar berkata Badrul Hisham, yang didakwanya berpaling tadah kepada Umno bulan lalu, perlu meletak jawatan segera supaya pilihan raya baru dapat diadakan.

Katanya, Badrul perlu meletak jawatan kerana mendakwa tidak menjalankan tugas sebagai wakil rakyat sejak dipilih dalam pilihan raya umum 2008.

Bercakap kepada media selepas menyerahkan memorandum tersebut, Khairul berkata ADUN Pelabuhan Klang itu juga telah beberapa kali tidak hadir sidang DUN.

Tambahnya, Badrul juga didapati tidak menghadiri mana-mana program anjuran PKR, manakala peruntukan untuk DUN tersebut juga didakwa "telah dihabiskan dengan cara meragukan."

Ditanya ketika sidang media ringkas selepas itu, Khairul berkata AMK Selangor akan terus mengadakan siri bantahan dan demonstrasi sekiranya Badrul tetap enggan meletak jawatan sebagai wakil rakyat.

Beliau yang kali terakhir bertemu Badrul kira-kira enam bulan lalu, berkata AMK "tidak akan berkompromi lagi" dengan Badrul.

Katanya, pergerakan tersebut bersama pemimpin-pemimpin tertinggi parti cuba "membantu" wakil rakyat tersebut selama ini, namun gagal.

Dalam surat yang dihantar kepada Badrul pula, Khairul berkata prestasi perkhidmatan wakil rakyat tersebut terus mengecewakan, walau telah diberi peluang memperbaiki keadaan.

"Sewajarnya di atas kegagalan saudara ini maka adalah perlu klerusi DUN Pelabuhan Klang dikosongkan segera untuk memberi laluan kepada wakil rakyat yang baru," katanya.

Sementara itu, Badrul Hisham dilhat beredar dari DUN pada kira-kira jam 12 tengahari.

ADUN Pelabuhan Klang itu juga enggan menjawab soalan pemberita, kecuali menjawab 'sebab keluar parti sudah cakap, tak payah ulas lagi'.


No comments:

Post a Comment