Tuesday, June 23, 2009

Hubungan Malaysia-Indonesia, kemana akhirnya?

www.themalaysianinsider.com

JUN 23 — Awal bulan Jun lalu, saya berada di Jakarta, Indonesia untuk menghadiri sebuah program berkenaan dengan reformasi pilihanraya yang dianjurkan oleh sebuah badan antarabangsa.

Boleh dikatakan saya tidak bernasib baik kerana ke Jakarta ketika isu “Manohara” dan “Ambalat” sedang meletup dinegara tersebut. Di media-media cetak dan elektronik kedua-dua isu tersebut hebat diperdebatkan.

Sebaik saja ke kaunter Imigresen Indonesia, saya dapat merasakan bahang kemarahan “rakyat Indonesia” lebih-lebih lagi kerana mengenakan t-shirt yang mempunyai bendera Malaysia.

Di hotel ketika saya membuka televisyen, stesen-stesen TV Indonesia memberikan liputan yang luas mengenai kedua-dua isu yang sedikit sebanyak telah memburukkan persepsi rakyat di negara tersebut mengenai jiran dekat mereka, Malaysia.

Lebih parah lagi, pada waktu itu, kempen untuk pilihanraya presiden sedang hangat berlangsung. Calon-calon yang bertanding cuba menunjukkan siapa lebih nasionalis diantara satu sama lain bagi memenangi hati rakyat Indonesia.

Ini mengigatkan saya situasi yang berlaku dalam negara dimana pada waktu-waktu tertentu, ahli-ahli politik akan menggunakan sentiment anti Singapura untuk meraih sokongan.

Teman-teman saya di Jakarta tidak ketinggalan untuk bertanyakan kepada saya mengenai kedua-dua isu tersebut. Oleh kerana kami sudah lama kenal, perbincangan dan perbahasan dapat dilakukan tanpa melibatkan emosi dan sifat-sifat nasionalistik.

Kesimpulan yang dapat kami capai melalui perbincangan mengenai isu Manohara dan Ambalat ialah kedua-dua isu tersebut ialah isu yang melibatkan pihak atasan dan tidak ada kena mengena dengan rakyat Malaysia dan Indonesia.


Program yang saya sertai turut dihadiri oleh teman-teman dari negara Asia yang lain seperti Afghanistan, Bangladesh, Cambodia, Filipina, Thailand, Pakistan, Sri Lanka dan ketinggalan juga rakan dari Mongolia.

Kebanyakan peserta program terkejut apabila melihat saya berbual-bual dengan teman-teman dari Indonesia dengan bahasa tempatan. Mereka bertanyakan apakah Malaysia dan Indonesia mempunyai bahasa yang sama? Untuk memudahkan kefahaman mereka, saya jelaskanlah bahawa bahasa Malaysia dan Indonesia bolehlah diibaratkan seperti bahasa Hindi bagi rakyat India dan bahasa Urdu bagi rakyat Pakistan.

Pertanyaan dari teman-teman tersebut menyebabkan persoalan timbul dibenak hati saya tentang mengapa Malaysia — Indonesia yang mempunyai bahasa dan kebudayaan yang hampir sama seringkali bersengketa?

Sejarah ketegangan Malaysia-Indonesia

Dari segi sejarah, Malaysia pernah berkonforntasi dengan Indonesia oleh kerana Indonesia tidak bersetuju dengan pembentukan Malaysia yang melibatkan kemasukkan Sabah, Sarawak dan Singapura.

Presiden Soekarno menganggap bahawa penubuhan Malaysia adalah satu percubaan kolonial Inggeris untuk meneruskan keuasaaan di Asia Tenggara melancarkan gerakan “Ganyang Malaysia” pada 27 Julai 1963.

16 September 1963 secara rasminya Malaysia ditubuhkan dimana Malaya bergabung dengan Sabah, Sarawak dan Singapura. Akan tetapi, Singapura meninggalkan Persekutuan Malaysia kurang dari dua tahun selepas itu pada 9 Ogos 1965.

Konfrontasi Malaysia-Indonesia berlangsung dari 1963 sehingga 1966. Dalam tempoh tersebut banyak peristiwa serang menyerang berlaku diantara tentera kedua-dua negara sehinggalah konfrontasi ditamatkan secara rasminya pada 28 Mei 1966 dalam sebuah persidangan di Bangkok, Thailand dimana pemerintah Malaysia dan Indonesia mengumumkan untuk menyelesaikan konflik tersebut. Peperangan berakhir bulan Jun, dan perjanjian damai ditandatangani pada 11 Ogos 1966.

Hari ini apabila berlakunya kes “Manohara” dan “Ambalat”, sudah pastinya ada rakyat diantara kedua negara yang hidup dizaman konfrontasi akan terkenang kembali sejarah hitam tersebut.

Akan tetapi, perkembangan baik diantara rakyat Malaysia — Indonesia selepas 1966 sehingga hari ini menyukarkan “sesuatu lagi perang” untuk muncul kembali.

11 Jun lalu, sebuah NGO dari republik Indonesia yang dikenali sebagai “Laskar Merah Putih” menganjurkan demonstrasi dihadapan kedutaan Malaysia di Jakarta.

Demonstrasi tersebut dianjurkan untuk menentang pencerobohan Malaysia di Ambalat. Demonstrasi tersebut digemparkan lagi apabila Manohara yang diberi gelaran Cik Puan Temengong Kelantan dengan ditemani oleh ibunya, Daisy Fajarina hadir memberikan ucapan sokongan kepada demonstran.

Terbaru, Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Erman Suparno mengumumkan pemberhentian penghantaran “pembantu rumah” dari negara tersebut untuk bekerja di Malaysia.

Pengumuman tersebut dilakukan ekoran dari kes penderaan pembantu rumah rakyat Indonesia oleh majikan Malaysia baru-baru ini. Menurut Erman, sebelum arahan tersebut dikuatkuasakan, beliau akan memanggil satu mesyuarat diantara pihaknya dan wakil dari Malaysia.

Ini sudah pasti akan megeruhkan lagi perhubungan diantara Malaysia–Indonesia.

Hubungan kebudayaan antara rakyat kedua negara

Selain politik dan ekonomi, rakyat Malaysia dan Indonesia dihubungkan melalui pelbagai medium seperti filem dan muzik.

Kris Dayanti, Peterpan, Dewa, Rossa, Melly Goeslow sudah tidak asing bagi rakyat Malaysia.

Manakala di Indonesia pula, Siti Nurhaliza, Iklim dan Search mendapat tempat dikalangan rakyat mereka.

Beberapa tahun lalu, ketika isu Pulau Sipadan dan Ambalat heboh, ada kelompok di Indonesia yang menggeluarkan slogan, “Ganyang Malaysia, Selamatkan Siti Nurhaliza”.

Pada tahun 1990, sebuah filem yang bertajuk Isabella diterbitkan dengan kerjasama Indonesia - Malaysia. Filem ini adalah berdasarkan lagu “Isabella” dari kumpulan Search yang begitu popular dikalangan rakyat kedua-dua negara pada ketika itu.

Filem arahan Boyke Roring itu dibintangi oleh Amy (Search) dan Nia Dzulkarnain sebagai bintang utama begitu popular dan mendapat sambutan yang memberangsangkan oleh rakyat kedua-dua negara.

Ini membuktikan bahawa aktiviti seni budaya mampu untuk merapatkan hubungan diantara rakyat kedua-dua negara. Jika kedua-dua pihak serius untuk memperbaiki persepsi dan hubungan diantara Malaysia-Indonesia, sesuatu tindakan harus diambil dengan segera sebelum ianya terlambat.

Aktiviti seni dan budaya seperti muzik atau filem bolehlah dijadikan salah satu medium untuk menyampaikan mesej-mesej perdamaian dan persahabatan diantara Malaysia-Indonesia.

Contohnya, konsert diantara penyanyi-penyanyi Indonesia-Malaysia bolehlah dianjurkan sebagai langkah awal untuk membunuh persepsi negatif dan merapatkan jurang perbezaan diantara rakyat kedua-dua negara.

Jika hubungan Malaysia-Indonesia kembali rapat dan akrab, rakyat daripada kedua-dua negara yang akan mendapat keuntungan jangka panjang di rantau Asia Tenggara tambahan pula bahasa yang digunakan oleh rakyat Indonesia dan Malaysia merupakan bahasa yang terbesar digunakan di Asia Tenggara dan telah dicadangkan oleh Prof Shin Yoon Hwan dari Universiti Sogang, Korea Selatan untuk dijadikan bahasa perantara bagi negara-negara Asean.


No comments:

Post a Comment