Sunday, May 31, 2009

"Kita akan pergi ke rumah pengundi untuk membawa mereka ke pusat pengundian," Pengarah Strategi PKR, Tian Chua

PKR tingkat usaha bawa pemilih ke pusat pengundian

Memandangkan peratus pengundian yang rendah sehingga ini, Pengarah Strategi PKR, Tian Chua berkata parti itu akan menggerakkan sepenuhnya usaha membawa pemilih keluar mengundi dalam pilihanraya kecil DUN Penanti hari ini.

"Kita akan pergi ke rumah pengundi untuk membawa mereka ke pusat pengundian," katanya.

Beliau juga berkata, kadar pengundian yang rendah itu mungkin disebabkan pemilih memikirkan bahawa PKR pasti memenangi pilihanraya kecil ini.

Jumlah pemilih yang keluar mengundi dalam pilihanraya kecil DUN Penanti sehingga jam 12 tengahari ini adalah 29.86 peratus atau 4,593 orang.

Sehingga jam jam 11 pagi seramai 23.5 peratus atau 3,590 orang, berbanding dengan 2,252 orang atau 14.6 peratus pada jam 10 pagi tadi.

SPR sebelum ini mensasarkan sebanyak 70 peratus daripada 15,385 pemilih akan keluar mengundi dalam pilihanraya kecil hari ini.

Kerusi DUN Penanti kosong ekoran peletakan jawatan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin pada 16 April lalu, selepas melepaskan jawatan timbalan ketua menteri 1 Pulau Pinang seminggu sebelumnya.

Dalam pilihanraya umum lalu, Fairus dari PKR mendapat 7,346 undi, menewaskan calon BN, Datuk Abdul Jalil Majid yang mendapat 5,127 undi.

BN tidak bertanding dalam pilihanraya kecil hari ini. Empat calon yang bertanding ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman; 59; dan tiga calon bebas - bekas ketua wanita PKR, Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56; bekas ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti, Nai Khan Ari a/l Nai Keow, 41 dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.

BN memutuskan tidak meletakkan calonnya bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut atas alasan kekosongan kerusi tersebut adalah usaha PKR untuk menyelesaikan masalah dalamannya.

BN juga mendakwa pilihanraya kecil ini satu permainan politik pembangkang.

malaysiakini

No comments:

Post a Comment