Wednesday, December 23, 2009

Enjin Jet Hilang : Najib juga perlu disiasat

"Tidak ada tempat yang paling selamat di negara kita melainkan kawasan di bawah kawalan Kementerian Pertahanan. Malangnya Kementerian ini juga gagal mempertahankan enjin jet pejuangnya, apalah yang boleh diharapkan pada pertahanan negara dan para pejuangnya untuk melindungi keselamatan negara dan rakyat jika enjin jet pejuang mereka boleh hilang dan lesap. Sungguh ini memalukan negara justeru menunjukkan sistem kawalan keselamatan negara terlalu rapuh,"


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 23 Dis : Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyelar sikap kerajaan yang hanya bertindak kepada pegawai atasan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan melepaskan Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kehilangan enjin jet pejuang F-5E bernilai RM50 juta.

Ketuanya, Nasrudin Hassan menegaskan, Menteri berkenaan harus bertanggungjawab apabila menghadapi kes seperti ini dengan meletakkan jawatannya kerana ia mengancam keselamatan negara.

"Pemuda PAS kesal sikap kerajaan yang hanya bertindak kepada pegawai atasan apabila berhadapan dengan kes-kes seperti kehilangan enjin jet pesat pejuang, sedang menteri pertahanan pada waktu itu yang juga Perdana Menteri pada hari ini di lepaskan begitu sahaja. Pihak Menteri terbabit sepatutnya mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan apabila berhadapan dengan kes-kes seperti ini kerana ianya mengancam keselamatan negara dan rakyat,"katanya dalam satu kenyataan media kepada Harakahdaily.

Nasrudin yang menyifatkan insiden kehilangan pada 2007 itu sebagai memalukan negara, turut mempersoal sistem kawalan keselamatan negara yang terlalu rapuh sehingga harta yang begitu penting kepada pertahanan negara boleh lesap begitu sahaja.

"Tidak ada tempat yang paling selamat di negara kita melainkan kawasan di bawah kawalan Kementerian Pertahanan. Malangnya Kementerian ini juga gagal mempertahankan enjin jet pejuangnya, apalah yang boleh diharapkan pada pertahanan negara dan para pejuangnya untuk melindungi keselamatan negara dan rakyat jika enjin jet pejuang mereka boleh hilang dan lesap.Sungguh ini memalukan negara justeru menunjukkan sistem kawalan keselamatan negara terlalu rapuh," katanya.

Nasrudin turut mendakwa keselamatan negara dan rakyat kini terancam dan berada dalam keadaan bahaya akibat amalan rasuah yang semakin membarah di kalangan pemimpin Umno BN.

Ini dakwa Nasrudin dapat dibuktikan dengan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa terdapat ahli politik kanan menerima rasuah RM5 juta untuk membebaskan penjenayah yang sangat dikehendaki kerana terlibat dalam pelbagai aktiviti jenayah seperti pelacuran , gengster , ah long dan lain - lain .

Persidangan Dewan Negara pada tahun 2007 juga pernah diberitahu bahawa terdapat tiga kumpulan gengster utama yang telah dikenal pasti wujud di negara ini sejak 2005 dengan jumlah anggota mencecah 17,000 orang.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Mohd Johari Baharum berkata kumpulan gengster Ang Bin Hoey mempunyai 122 kumpulan dengan 11,764 anggota, kumpulan Wah Kee mengetuai 40 kumpulan dengan 1,991 anggota manakala Thug Gang mempunyai 123 kumpulan dengan 3,497 anggota.

Pada 12 ogos 2007 pula, bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar dalam ruangan tetapnya di akhbar The Star mendedahkan bahawa terdapat 40% daripada anggota polis terlibat dengan rasuah.

Sementara pada 14 February 2004 , Datuk Seri Rais Yatim juga pernah mendedahkan bagaimana 18 kes rasuah yang melibatkan high profile sedang di peringkat akhir siasatan tetapi malang sehingga kini tidak lagi kedengaran sebarang tindakan diambil.

Manakala Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam pernah seketika dulu membuat laporan kepada BPR [ kini SPRM ] apabila laman web seorang yang dituduh penjenayah, Michael Soosai yang seketika dulu dipercayai bersembunyi di India , mendedahkan kegiatan sembilan anggota polis yang terlibat secara langsung dengan rasuah.

"Baru - baru ini pula rakyat dikejutkan dengan berita bumbung stadium Sultan Mizan runtuh di Terengganu , kemudian jambatan gantung di Dipang juga runtuh dan mengakibatkan kehilangan nyawa beberapa orang pelajar sekolah yang menggunakan jambatan tersebut .

Terbaru hentian bas di Kuala Berang juga dilaporkan runtuh . Saya percaya semuanya ini adalah bermula dan berpunca dari amalan rasuah yang membarah.

"Indeks rasuah negara di peringkat antarabangsa kini di angka 52 . Angka yang sangat memalukan dan jauh ketinggalan dari negara jiran kita Singapore .

"Lebih malang , tiada usaha yang serius dan berkesan dari kerajaan UMNO dan BN untuk menangani isu rasuah ini malah mereka kelihatan selesa dengan wabak rasuah yang kian menular ini .

"Akibatnya, keselamatan negara dan rakyat kini terancam dan berada di dalam keadaan bahaya," tegasnya.

Baru-baru ini, Menteri Pertahanan, Datuk Zahid hamidi memberitahu bahawa enjin jet pejuang F-5E bernilai RM 50 juta hilang dan beberapa barangan lain turut lesap .

No comments:

Post a Comment