Friday, November 6, 2009

MP Sabah dan Sarawak diminta tegas isu royalti

"Saya menyeru rakyat khususnya Sabah dan Sarawak mendesak ahli parlimen mereka untuk menyokong dan menyuarakan pendirian dan sikap yang lebih tegas,"

kenyataan YB Khalid Samad di petik dari Hrkh


Hazayani Zakaria
Fri Nov 06, 09 12:51:39 pm MYT


KUALA LUMPUR, 6 Nov : Rakyat empat negeri pengeluar petroleum di Malaysia diminta agar tidak terpedaya dengan penjelasan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kedudukan sumber petroleum mestilah tiga batu nautika dari perairan negeri untuk mendapat royalti.

Ini kerana Akta Kemajuan Petroleum 1974 tidak meletakkan syarat bahawa untuk mendapat royalti, kedudukan sumber pengeluaran petroleum mesti terletak tidak kurang dari tiga batu nautika dari perairan negeri.

Meskipun Perdana Menteri tidak menyebut negeri Sabah dan Sarawak, namun rakyat kedua-dua negeri itu harus bersedia dengan kemungkinan royalti mereka dirampas kerana umum mengetahui bahawa pengeluaran petroleum di kedua-dua negeri terbabit juga terletak lebih dari tiga batu nautika daripada perairan negeri.

Jika takrifan tiga batu nautika yang dibuat Najib itu diguna pakai, ini bererti Sabah dan Sarawak sudah tidak layak mendapat royalti, sebaliknya turut mendapat wang ehsan.

Dr Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) berkata, penjelasan Najib yang juga Menteri Kewangan itu menggambarkan bahawa Kerajaan Persekutuan menganggap hasil petroleum berkenaan milik mereka, dan negeri pengeluar tidak berhak untuk menuntutnya.

"Implikasi dari pengumuman Datuk Seri Najib itu, bahawa hasil petroleum empat negeri itu adalah kepunyaan kerajan pusat, termasuk Sabah dan Sarawak.

"Apabila Perdana Menteri umum rakyat hanya dapat wang ehsan, bermaksud kerajaan pusat ingin memiliki hasil berkenaan secara mutlak dan berhak samaada hendak beri wang tersebut kepada rakyat atau tidak," Jelasnya dalam satu sidang media di lobi parlimen semalam.

Hatta yang juga bendahari PAS hairan kenapa tiada seorang pun wakil rakyat Barisan Nasional dari Sabah dan Sarawak membahaskan isu itu.

"Selepas pengumuman Perdana Menteri itu, belum ada seorang ahli parlimen BN dari Sabah, Sarawak dan Terengganu ambil isu ini untuk diperdebatkan,"

"Kita tak pasti samaada mereka terlepas pandang atau mereka sememangnya bersetuju bahawa apa yang diperoleh oleh ketiga-tiga negeri sebelum ini adalah wang ehsan,"katanya.

Sementara itu, Khalid Samad (PAS-Shah Alam) mahu rakyat Sabah dan Sarawak mendesak wakil rakyat mereka agar menyanggah fakta yang dikeluarkan Najib itu dan mempertahankan hak royalti yang diperoleh mereka selama ini.

"Saya menyeru rakyat khususnya Sabah dan Sarawak mendesak ahli parlimen mereka untuk menyokong dan menyuarakan pendirian dan sikap yang lebih tegas,"

"Jika takrifan mengenai syarat tiga batu nautika itu diterima, ini merupakan penyerahan hak milik negeri Sabah dan Sarawak dan jugaTerengganu kepada kerajaan pusat walaupun kita sedar ini bukan kehendak dan dengan persetujuan rakyat," katanya.

Tegas Khalid juga, jika wakil rakyat BN enggan bersuara untuk menyanggah pandangan dan tafsiran perdana menteri itu, rakyat wajar memilih wakil rakyat yang cintakan khazanah negeri.

Rabu lalu, Najib yang juga menteri kewangan mengumumkan bahawa kerajaan Persekutuan telah memutuskan untuk memberi wang ehsan petroleum kepada Kelantan mulai tahun depan.

Pemberian itu adalah berasaskan pertimbangan sama yang diberikan kepada Terengganu iaitu mengambil kira pengeluaran petroleum di luar perairan negeri berkenaan.

Bagaimanapun, ahli parlimen Pakatan Rakyat menyanggah hujah Najib itu kerana bertentangan dengan Akta Kemajuan Petroleum 1974.

No comments:

Post a Comment