Wednesday, November 18, 2009

Hakim tolak kes Dr. Asri dibawa ke Mahkamah Tinggi

Azamin Amin

GOMBAK, 18 Nov : Hari ini merupakan kejayaan moral pertama buat Bekas Mufti Negeri Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin apabila Mahkamah Rendah Syariah Gombak menolak permohonan pihak pendakwaraya untuk membawa kes beliau ke Mahkamah Tinggi.

Dalam pendengaran kes itu hari ini, Hakim Wan Mahyudin Wan Mohammad menyatakan bahawa alasan-alasan pendakwaraya untuk memindahkan kes tersebut adalah tidak munasabah.

Pendakwaraya syarie dalam penghujahan mereka sebelum itu telah memberi alasan bahawa kes ini wajar dibicarakan di mahkamah tinggi di hadapan seorang hakim yang berpengalaman dan kes ini juga telah menjadi terkenal disebabkan hebahan media masa.

Peguam bela mewakili Dr. Mohd Asri, Jamal Lokman Sulaiman dalam penghujahannya pula memberitahu permohonan dan alasan pihak pendakwaraya tersebut seolah-olah dianggap menghina hakim dan mahkamah rendah syariah sebagai tidak berpengalaman.

Seorang lagi peguam bela mewakili Dr. Mohd Asri adalah Kamal Aniah Kamarulzaman dan mempersoalkan tindakan tergesa-gesa permohonan memindahkan kes tersebut oleh pihak pendakwaraya hanya 10 minit sebelum perbicaraan hari ini bermula.

Dalam keputusan hari ini, Wan Mahyudin menegur sikap JAIS yang telebih dahulu menghebahkan kepada pihak media tentang permohonan itu sebelum didengari oleh beliau sendiri.


"Pihak pendakwaraya mestilah meletakkan kepercayaan penuh kepada Mahkamah Rendah Syariah dalam mengendalikan kes ini.

"Mahkamah ini telah banyak mendengar kes mengajar tanpa tauliah sebelum ini dan tidak mendatangkan sebarang masalah," katanya memberi alasan menolak permohonan itu.

Beliau juga mahu kes ini segera dibicarakan dan dengan permohona perpindahan kes itu akan menganggu dan mengambil tempoh yang lama.

Beliau juga tidak mahu hak yang dituduh (Dr Asri) dinafikan jika dibicarakan di Mahkamah Tinggi, iaitu jika sabit kesalahan, peluang merayu yang dituduh agak terhad.

Hieraki sistem kehakiman mahkamah syariah bermula daripada mahkamah rendah, tinggi dan rayuan.

"Saya tidak mahu perpindahan kes ini akan menyebabkan ianya menjadi 'subjudice' kepada mahkamah syariah dan 'prejudice' kepada yang tertuduh

"Saya dengan ini menolak kes ini dengan lima alasan yang diberikan," katanya yang membuatkan hadirin di dalam kamar mahkamah tersebut spontan bertepuk tangan dengan reaksi gembira.

Mahkamah turut menjadi gamat, apabila mendengar hujah pendakwaraya yang disifatkan begitu lemah dan tidak meyakinkan.

Ruang kamar cukup sesak apabia orang ramai berpusu-pusu memenuhi tempat duduk dan ada di antaranya terpaksa berdiri. Mereka hadir untuk memberi sokongan kepada Dr Asri dan telah tiba awal di hadapan pintu kamar mahkamah seawal jam 8.30 pagi lagi.

Dalam pada itu, Dr. Mohd Asri mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengajar tanpa tauliah dan minta dibicarakan.

Beliau dilepaskan dengan ikat jamin sejumlah RM3,000 dengan dua orang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan perbicaraan kes ini didengar pada 5 Januari depan di mahkamah yang sama.

Bekas mufti Perlis itu ditangkap di sebuah banglo di Hulu Kelang tengah malam 1 November lalu berhubung siasatan bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 atau kesalahan menyampaikan kuliah tanpa tauliah.

Jika sabit kesalahan, beliau dikenakan hukuman denda RM3,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Hadir sama memberi sokongan pada perbicaraan hari ini bekas Menteri Besar Perlis, Shahidan Kassim, ADUN Hulu Klang, Saari Sungib, Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu Zulkifli Nordin, anak bekas Perdana Menteri, Marina Mahathir dan selebriti Azwan Ali.

Harakahdaily

No comments:

Post a Comment