Thursday, October 22, 2009

Mengintai satu pilihanraya kecil baru…

SMS dan khabar angin wakil rakyat itu dan wakil rakyat ini sakit,nazak malah sudah meninggal dunia nampaknya menjadi semakin rancak sejak berakhirnya pilihanraya kecil Bagan Pinang 11 Oktober lalu.

Terbaru, Rabu Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan kesal dengan perbuatan yang didakwanya oleh pembangkang tergamak sebar kononnya Ahli Dewan Undangan Negeri Johol dari Barisan Nasional ,Datuk Roslan Md Yusof yang kini sedang bercuti sakit sudah meninggal dunia.

Selasa ada SMS yang berlegar dakwa kononnya Ahli Parlimen Teluk Kemang Datuk Kamarul Bahrin Abas meninggal dunia sedangkan beliau sihat sejahtera menghadiri sidang parlimen yang sedang berlangsung.

Kini ada cerita mengatakan Ahli Parlimen PKR kawasan Hulu Selangor Datuk Zainal Abidin Ahmad juga sakit.Beliau tidak kelihatan menghadiri sidang parlimen sejak ia bermula Isnin.


Keadaan kesihatan Ahli Parlimen Titiwangsa,Kuala Lumpur, Dr Lo Lo Ghazali, baru-baru ini mencuri perhatian bila beliau menjalani pembedahan paru-paru (labectomy) di IJN.

Beliau kelihatan sihat menghadiri sidang parlimen setelah berehat selama dua bulan.

Sebelum ini semasa kempen pilihanraya kecil Manek Urai berlangsung kisah kesihatan Ahli Dewan Undangan Negeri PAS kawasan Galas,Kelantan , Che Hashim Sulaima yang menjalani rawatan di sebuah hospital di Guangzhao, China bagi barah usus hangat diperbualkan.

Ramai yang sudah berkira-kira lepas Manek Urai mungkin Galas pula pilihanraya kecil.

Kisah beliau lenyap begitu saja setelah kembali ke tanahair selepas menjalani pembedahan .

Cakap-cakap mengenai tahap kesihatan ADUN Johol sudah kedengaran masa pilihanraya kecil Bagan Pinang lagi.

Untuk mematikan spekulasi liar mengenai Roslan,Menteri Besar Negeri Sembilan menjelaskan ADUN itu memang betul sakit tulang belakang.

"Saya baru sahaja bertemu beliau dan betul dia sedang sakit tulang belakang. Beliau sedang mendapat rawatan daripada pakar tulang di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan keadaannya stabil," kata Mohamad kepada wartawan selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di Seremban..

Mohamad berkata keadaan kecederaan Roslan adalah stabil dan wakil rakyat itu diberi cuti sebulan lebih untuk menjalani rawatan fisioterapi.

"Dia kena buat fisioterapi hari-hari pasal dia tak boleh bergerak sangat, tulang belakang dia itu lari sikit dan doktor beri nasihat jangan bergerak sangat," katanya.

Mohamad melahirkan rasa kecewa dengan fitnah yang kini berleluasa dan pembangkang melihat perkara sakit ini dibuat seperti seronok-seronok sehingga laman-laman web pembangkang menyebarkan bahawa Roslan sudah menyerahkan surat peletakkan jawatan dan mengaitkan kecederaan tulang beliau dengan penyakit kanser.

"Itu semua cerita karut, cerita dongeng, khayalan yang dibuat oleh orang yang tidak ada kerja. Jadi sebenarnya Adun Johol ini betul dia dalam keadaan sakit pinggang pasal dia main badminton tiga bulan lepas dan terjatuh. Tulang belakang dia lari, jadi telahpun diberpetulkan oleh pakar tulang HKL," katanya.

Kalangan pemerhati politik merasakan tumpuan kini harus diberikan kepada ADUN PKR Pelabuhan Kelang Badrul Hisham Abdullah yang kedudukannya masih menjadi misteri hingga ke hari ini.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah menyatakan beliau akan membuat suatu keputusan tentang Badrul pada hujung bulan ini.

Macam-macam versi cerita berlegar tentang ADUN PKR yang satu ini.Ada yang kata beliau nak melompat ke BN dan ada yang kata beliau mungkin nak jadi ADUN Bebas.

Namun dari kenyataan Khalid termasuk menasihatkan Badrul meletakkan jawatan jalan terbaik sekiranya sudah tidak mampu berkhidmat kepada rakyat jelas menunjukkan memang ada yang tidak kena.

“Kita tidak boleh mengarahkan seseorang untuk letak jawatan, tetapi jika itu yang terbaik untuk rakyat mengapa tidak?,”katanya.

Ada yang mengandaikan Badrul mungkin menghadapi situasi seperti bekas Timbalan Menteri Pulau Pinang Fairus Khairuddin yang diminta berundur.Banyak alasan yang boleh dicipta untuk itu.

Mengambil contoh ADUN PKR Bukit Selambau,Kedah V Arumugam sehingga kini tiada siapa tahu apakah sebab sebenar beliau mengambil keputusan meletakan jawatan hingga pilihanraya kecil perlu diadakan di situ kecuali kisah beliau menghadapi ancamam yang agak kabur.

Dari segi lojik politik kini Pakatan Pembangkang yang sangat memerlukan satu pilihanraya kecil setelah momentumnya menang tujuh dari lapan pilihanraya kecil ‘ terpotong’ di Bagan Pinang.

Apalagi BN menang besar melalui Tan Sri Isa Samad.

Soalnya apakah Badrul akan menjadi ‘ korban’ di situ untuk memberi laluan kepada pakatan meneruskan momentumnya.

Pada pilihanraya umum Mac 2008 Badrul menewaskan dua calon Roselinda Abd Jamil dan calon bebas Nazir Mansor dengan majoriti 4,407 undi. Kawasan itu mempunyai seramai 28,456 pengundi. Badrul mendapat 12,397,Roselinda 7,990 manakala Nazir 580.

Melihat pada keputusan itu pakatan senang-senang boleh kata Pelabuhan Kelang adalah ‘ kawasannya’.

Namun begitu kekosongan kerusi ala-Farius di Penanti pasti tidak akan mengundang BN masuk gelanggang.

Pakatan kena berentap dengan mana-mana calon bebas jika begitu juga halnya di Pelabuhan Kelang.

Ini kerana BN sudahpun menetapkan pendirian tidak lagi akan bertanding jika kekosongan kerusi pembangkang bukan kerana sebab-sebab ikut perlembagaan iaitu kematian.

Apapun soal yang belum terjawab ialah apakah Badrul sanggup memberi laluan yang diharapkan itu?-22/10/2009

sumber : AgendaDaily

No comments:

Post a Comment