Friday, October 9, 2009

Memilih calon yang berkemampuan dan amanah

"Jika sekadar berkemampuan sahaja, tapi tidak amanah, maka penyelewengan akan berlaku.

"Jika sekadar amanah sahaja tetapi tidak berkemampuan atau tangkas dalam tugasnya, maka tanggungjawab akan terbengkalai,"


kenyataan Dr Asri Zainul Abidin dipetik dari Hrkh


Undi calon bukan parti, pilih yang amanah - Dr Asri

Azamin Amin
Fri Oct 09, 09 8:15:04 am MYT


TELOK KEMANG, 9 Okt:"Lihat kualiti calon, bukan lihat jenama parti. Pilih calon yang baik pada nilaian agama dan berkemampuan pada nilaian politik.Jika sekadar berkemampuan sahaja, tapi tidak amanah, maka penyelewengan akan berlaku."

Demikian pandangan sisi agama oleh bekas Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin kepada Harakahdaily pagi ini bagi memilih ciri-ciri pemimpin yang wajar dipilih oleh para pengundi Bagan Pinang yang akan membuang undi Ahad ini (11 Oktober)

Beliau yang masih tetap dengan pendirian bahawa para pengundi mestilah memilih calon dan bukannya parti yang bertanding sekaligus merujuk istilah siyasah syar'iyyah yang disebut al-Quwwah dan al-Amanah iaitu yang ada kekuatan atau kemampuan atau ketangkasan melaksanakan tugas serta amanah terhadap tugasan tersebut.

Dua ciri yang disebut dalam al-Quran ini katanya bermaksud: 'Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah' (Surah al-Qasas:26).

Gabungan dua ciri ini kata Asri penting dalam apa tugasan yang dihendak diserahkan kepada seseorang.

"Jika sekadar berkemampuan sahaja, tapi tidak amanah, maka penyelewengan akan berlaku.

"Jika sekadar amanah sahaja tetapi tidak berkemampuan atau tangkas dalam tugasnya, maka tanggungjawab akan terbengkalai," katanya tegas.

Bagi Pengundi Bagan Pinang katanya hendaklah dengan teliti menilai perkara ini dan kesimpulannya ialah memilih yang berkemampuan dan amanah kerana ianya memenuhi tuntutan Islam.

Beliau di samping itu turut menasihati penyokong kedua-dua parti yang bertanding agar sentiasa memikirkan kesan tindakan mereka pada nilaian agama, tanpa dipengaruhi emosi atau semangat yang tidak terkawal.

"Jika kita sesama muslim bergaduh dan 'berperang' antara satu sama lain, apa yang akan terjadi kepada masa depan umat Islam dalam negara ini?"

Bekas pensyarah itu juga tidak mahu menyeru kepada parti kerana parti hanya nama yang dicipta yang perjalanannya ditentukan oleh insan-insan yang mendokongnya justeru menyeru kepada individu-individu yang menyokong atau mendokong kedua-dua parti bahawa tanggungjawab yang lebih utama dalam hidup adalah tanggungjawab terhadap Islam

"Maka mereka dalam apapun tindakan hendaklah memastikan masa depan Islam tidak tercalar dengan apa yang mereka lakukan.

"Mereka hendaklah selalu ingat amaran Nabi s.a.w: "Sesungguhnya darah kamu, harta kamu, maruah kamu adalah haram antara kamu (untuk dicemari), seperti haramnya (mencemari) hari ini (hari korban), bulan ini (bulan haram) dan negeri ini (Mekah)...(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)," katanya merujuk insiden pergaduhan dan provokasi yang berlaku di Bagan Pinang baru-baru ini.

harakahdaily

No comments:

Post a Comment